Hari ini saya merasa cukup bertuah. Bertuah atas beberapa ‘kejadian’ yang berlaku!. Program Membasahkan Daerah Gersang bersambung pagi ini dengan slot awal pagi diisi oleh Unit Perpustakaan dan Unit Media & Teknologi Pendidikan ( UMTP ) kemudiannya. Menjelang tengahari program diisi dengan aktiviti bebas.
Program bermula dengan niat mencari tempat yang sesuai untuk makan tengahari. Berkunjung ke Restoran Sutera Bayu. Bonus pertama, sambil makan tengahari bertemu dengan kawan lama. Teman lama yang sering terlibat sama dalam program motivasi. Bercerita sudah tentu antara kesempatan yang tidak akan disia-siakan. Sudahnya, berpisah dan kami bergegas ke tempat penyerahan diri yang paling baik dalam dunia, Masjid Negeri.
Tentulah dengan niat membuat penyerahan diri untuk waktu Dzohor. Selepas itu, niatnya akan mengisi borang yang akan dihantar ke pejabat sejurus pukul 2 petang. Sesudah solat, bertemu pula dengan teman lama semasa bersekolah. Teman lama ini juga bercerita panjang tentang banyak topik. Pusing 360 darjah!. Belum sempat habis bercerita, bertemu pula dengan sifu-sifu lama yang juga bekas pensyarah. Bertambah rancaklah cerita.
Sepeninggalan bekas pensyarah saya, sebelum meninggalkan masjid, bertemu pula dengan teman lama juga. Teman usahawan ini juga mempunyai cerita tersendiri. Pertemuan berakhir, saya mengisi borang dan bergegas ke pejabat. Jam ketika itu menunjukkan hampir pukul 3.00 petang. Berurusan di Pejabat Pelajaran Negeri, segalanya dilalui mudah dan cepat. Teman-teman yang bertugas di pejabat, sungguhpun baru kali pertama berjumpa tetapi tetap mempamer 'rasa' ingin membantu urusan kami. Segalanya kelihatan lancar dan mudah.
Kemudiannya, bergegas untuk keluar dari Bangunan Persekutuan kerana dibimbangi terperangkap oleh kesesakan lalu lintas menjelang waktu pulang pejabat. Di lobi bangunan Persekutuan, bertemu pula dengan teman lama yang juga hendak bergegas melarikan dari kesesakan bersama anak sulungnya. Sempat bersembang dan usik mengusik tentang perkembangan terbaru masing-masing. Kemudiannya, berpisah dengan masing-masing berkirim salam kepada teman-teman. Aduh.....terasa cukup membahagiakan punya ramai teman ini.
Saya melangkah keluar dari perkarangan Bangunan Persekutuan dengan langkahan yakin, seronok, gembira dan cukup berpuashati dengan kelancaran segala urusan hari ini. Alhamdulillah......terasa kerdil dengan segala kenikmatan ini. Sebelum pulang, berkunjung sekali lagi ke Perkarangan Masjid Negeri, membuat penyerahan diri!. Syukur Alhamdulillah !
( Catatan ini adalah ekspresi peristiwa pada hari selasa, 18 Januari 2011 )
No comments:
Post a Comment