“Perjalanan ini aku anggap sebagai satu cabaran terbesar dalam sejarah hidup. Atas dasar itu aku memulakan misi secara spontan tanpa mengambil waktu yang panjang untuk membuat keputusan. Kekuatan mental itu penting. Jika mental telah mengarahkan dan jiwa merelakan maka jasad akan bertindak melaksanakan. Itu teori hidupku”.
Demikian antara susunan kata-kata yang mengotakan iltizam dan keyakinan diri yang luar biasa yang dinukilkan dalam halaman 3 buku Rindu Eropah tawan Damascus. Saya tertarik untuk memperihalkannya atas pelbagai premis. Sungguhpun saya baru menekuni pembacaan buku ini, saya menjangkakan pelbagai tribulasi dikisahkan dalam buku setebal 353 muka surat ini. Telahan saya bukan bersandar kepada genre travelog buku ini semata-mata, anda bayangkan sendiri bagaimana mungkin kita mempunyai keberanian luar biasa menyusuri laluan bumi asing dengan bekalan yang amat terhad!.
Agaknya, jika situasi ini benar-benar berlaku dengan kita?. Rasanya pelbagai versi jawapan boleh kita lemparkan. Namun kekuatan mental itu penting!. Saya amat bersetuju dengan pancaran dan paparan minda dalam buku ini. Dalam kebanyakkan hal, kekuatan mental itu amat mendasar dan kelihatan menentu-halakan fokus dan tumpuan kita ‘menggapai sesuatu’.
Saya amat terkesan dengan coretan penulis dalam buku ini. Saya menyimpul dan meyakini beberapa perkara pasca beberapa peristiwa penting yang berlaku kepada diri saya. Sememangnya…….bukan mudah untuk mengakui sesuatu, apatah lagi jika ‘sesuatu’ itu amat besar maknanya pada diri kita. Jauh sekali untuk saya memperhitungkan sesuatu dengan ukuran dan indeks material yang tentu sahaja bernaluri fatamorgana.
Namun, saya hanya mampu berkata, jangan sekali-kali mudah ‘terpedaya’ dengan ajakan rasa ‘berputus-asa’. Rasa sebeginilah yang acap kali mendorong kita untuk mudah merasa berpuas hati dalam bahasa yang lunak dan lembut. Natijahnya, kita sentiasa perasan bahawa kita berada dalam situasi yang baik. Memanglah kita dalam situasi yang baik. Tetapi tidak memadai dengan situasi yang baik semata-mata. Dunia ini terlalu luas untuk dikisahkan.
Saya teringat diskusi minda bersama dengan sifu beberapa hari menjelang peralihan tahun 2010 yang baru lalu, sejarah itu adalah salah satu detik yang telah dicatatkan, diingat dan didokumentasikan untuk apa-apapun tujuan. Namun, sejarah itu sendiri digarap untuk tujuan-tujuan tersendiri. Dalam isu pembinaan Negara bangsa contohnya, tentu sahaja setiap detik kisah dan peristiwa yang membawa kepada tercetusnya kemerdekaan Negara adalah catatan yang penting.
Ironinya, pada ketika dan detik yang sama dengan catatan dan detik kemerdekaan Negara, ada berjuta-juta lagi detik sejarah yang sedang berlaku. Cumanya detik sejarah itu tidak akan mendapat status istimewa seperti catatan sejarah Negara. Dari perspektif individu, apakah setiap detik sejarah yang berlaku dalam hidup kita itu berlalu begitu sahaja, tanpa makna dan erti apa-apa?. Sebagai manusia normal, tentu sahaja ‘sejarah’ itu tetap ada makna.
Pada tahap inilah kekentalan mental itu diperlukan!. Jika mental kita mampu menukarkan setiap detik sejarah yang telah kita tinggalkan, menjadi sesuatu yang akan meningkatkan kita, mental yang stabil itu kelak akan menerbitkan jiwa yang bebas dan merdeka. Kekuatan mental itu jugalah yang akan menyiram segar jiwa kita, menjadi perisai dari segala jenis cabaran dan halangan. Hanya jiwa yang tenang dan stabil sahaja akan kelak menerbitkan tenaga tambahan yang akan mendorong setiap jasad kita mencapai apa yang dibincangkan. Benarkah begitu. Anda fikirlah sendiri……..mental, jiwa dan jasad serta kekuatannya.
No comments:
Post a Comment