Tuesday, May 25, 2010

Had kuasa menguasai....

Hidup mesti diteruskan!. Frasa ini mungkin mengundang pelbagai tafsiran dan gambaran. Tidak dapat dinafikan, ada situasi dan peristiwa yang berlaku sebelumnya yang mendorong kepada hadirnya frasa tersebut. Tetapi kita mungkin bersetuju pada satu perkara umum iaitu hidup mesti diteruskan!. Lantas, apa sahaja yang ‘bertembung’ dengan kehidupan kita, sama ada ianya perkara yang baik atau perkara yang tidak baik, opsyen kita hanya satu, hadapinya!.

Mungkin terdetik dalam kotak pemikiran kita, kalau menghadapi perkara yang baik, sememangnya kita tiada masalah untuk menghadapinya, kerana ia perkara yang baik!. Tetapi kalau perkara yang tidak baik…..ohh..itu harus difikir semula!. Jika begitulah pentaakulan kita, rasanya kita harus memahami satu sains mudah yang juga akan mempermudah kefahaman kita ‘meneruskan hidup’.

Perkara baik dan perkara tidak baik itu sendiripun sudah mencakupi daerah kefahaman yang sangat luas dan subjektif. Tafsiran perkara baik pada seorang pencuri tentunya sangat berbeza dengan tafsiran baik kepada seorang yang pernah kecurian. Jika kita memahami batasan dan daerah pengaruh kita dalam menanggapi segala permasalahan baik buruk yang kita hadapi, rasanya kita akan menjadi mudah mengharungi kehidupan kita.


Mungkin kita pernah terlibat dalam perbincangan dan perbahasan pendapat dan seumpamanya. Hak kita sebagai individu adalah menzahirkan pendapat dan pandangan kita terhadap hal yang diperdebatkan. Tentu sahaja pendapat yang bernas dan mudah diterima baik oleh semua orang adalah pendapat yang bersandar pada fakta yang benar dan tidak menyanggahi hukum dan tabi’e kewujudan manusia itu sendiri. Tetapi sering menjadi masalah kepada perdebatan dan perbincangan seumpama ini adalah apabila kita memaksakan ‘pendapat dan pandangan’ kita diterima oleh semua orang.

Perkara ini agak berat untuk dibicarakan. Namun kita harus menyedari bahawa, sama ada pendapat kita diterima atau tidak harus didasarkan kepada penerimaan individu itu sendiri. Bukanlah menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan setiap individu mengikut dan mendengar pendapat dan pandangan kita. Tugas kita terhad kepada sekadar memberi pendapat dan pandangan. Selebihnya, serahkan sahaja kepada individu itu untuk membuat pilihan. Dia menerima atau tidak terserah pada dirinya sendiri.

Pada diri saya sendiri, zahirkan sahaja pandangan dan pendapat kita. Selebihnya biarkan orang itu sendiri membuat pilihan. Timbul masalah apabila kita mahu memaksakan pandangan kita diterima oleh orang lain, sedangkan ‘pengalaman’ yang dialami orang lain itu berbeza dengan ‘pengalaman’ kita sendiri. Lantas, selayaknya kita belajar mendengar dan memahami pandangan orang lain, dan dalam masa yang sama jangan memaksa orang lain mendengar dan menerima pandangan kita. Bukankah berdiam diri itu juga….salah satu cara kita ‘menzahirkan’ pandangan dan pendapat kita!. Let’s think it!.

1 comment:

Rafi Harumin said...

Sudi menerima pandangan, berlapang dada atas segala kritikan (membina) dan bersedia untuk menyumbangkan idea serta pandangan. apa-apa yang berlaku selepas itu, hadapi dengan positif dan matang.

'Hidup Mesti Diteruskan!' (Insha Allah)

Wallahu a'lam