Pernah pada suatu pagi, lebih 30 tahun yang lalu, saya dan abang berjalan pergi ke sekolah untuk kelas tambahan kononnya. Sekolah terletak lebih kurang 10 minit berjalan kaki ke kawasan daratan. Rumah saya di kampung yang terletak di muara sungai berhampiran dengan kawasan laut yang menjadi laluan utama ke Tawau pada ketika itu. Alasan Kelas tambahan inilah yang sering digunakan kerana ia adalah antara alasan yang tidak akan melalui proses siasatan lanjut oleh ibu. Ibu memberi kepercayaan penuh kepada anak-anaknya, asalkan sahaja alasannnya untuk pergi ke sekolah.
Pagi itu sebenarnya bukan hendak ke kelas tambahan sekolahpun. Kelas tambahan sememangnya tiada. Saya dan abang pergi ke sekolah pagi sabtu itu adalah semata-mata untuk bermain. Sesampai sahaja di sekolah, kebiasaanya abanglah yang memberi arahan ‘logistik’ di mana dan bila berjumpa apabila hendak pulang nanti. Sehabis arahan itu difahami, abang pergi dengan rakan-rakan sekelasnya dan saya pula pergi dengan rakan-rakan sekelas saya.
Pertemuan dengan rakan-rakan sekelas kebiasaanya bermula dengan cerita tv malam tadi. Cerita koboi ‘The Lone Ranger’ adalah antara yang popular pada masa itu. Salah seorang rakan sekelas saya mempunyai televisyen. Rumahnya sahajalah satu-satunya di kampung saya yang mempunyai peti televisyen. Teman inilah yang menjadi tukang lipur lara moden berdasarkan skrip cerita di televisyen malam tadi. Sebab itu jugalah teman ini sering menjadi tumpuan rakan-rakan sekelas saya. Bukan sebab dia baik sangat, tetapi untuk mendapatkan ‘privilage’ atau keistimewaan apabila menonton tv ke rumahnya nanti. Suatu yang pasti, rakan yang tidak ‘sebulu’ dengan teman ini, pasti akan kempunan menonton tv...sehinggalah dia ‘bertaubat’ dan memulihkan hubungan dengan teman yang mempunyai peti televisyen itu tadi.
Pernah suatu ketika, kami bermain bola di padang sekolah. Kebiasaanya teman-teman lelaki sekelas saya akan dibahagikan kepada dua kumpulan. Taruhan permainan bola sepak ini adalah susu coklat yang dibahagikan kepada setiap pelajar pada setiap hari selasa dan khamis setiap minggu. Pasukan yang kalah akan diambil susu coklatnya. Maka perlawananpun bermula. Jika yang kalah itu adalah pasukan teman yang mempunyai televisyen dirumahnya. Selalunya taruhan itu akan diabaikan, dan yang menang itupun tida berani menuntut taruhan susu coklat kerana bimbang hilang ‘kelayakan’ menonton televisyen kelak!. Tapi jika sebaliknya, yang kalah akan menerima padah hilang ‘kelayakan’ menonton televisyen jika mengingkari taruhan permainan bola sepak tersebut.
Pengalaman ini benar pada ketika itu, tetapi mengasak sedikit soal prinsip jika ia dibicarakan pada usia kita kini. Sungguhpun ia kisah yang penuh nostalgik untuk dikenang, tetapi tanpa sedar, saya ‘mempelajari’ kenangan itu dengan penuh makna kini. Kita hendak yang bagaimana?
No comments:
Post a Comment