Agenda besar yang tersirat di sebalik kejohanan elit ini adalah merapatkan hubungan sesama peserta kejohanan, disamping sebagai program pengisian Kelab Staf sempena sambutan Hari Guru peringkat sekolah saya, SMK. Tagasan. Terkadang tertanya-tanya juga sejauh mana objektif dan matlamat sesuatu program itu disedari, dihayati dan direalitikan oleh semua ahli atau warga organisasi tersebut.
Pada saya penghayatan dan dukungan para ahli terhadap kewujudan sesuatu organisasi adalah elemen yang sangat penting dan dominan. Ahli-ahlilah yang mencorak dan menentukan kecapaian matlamat dan objektif organisasi. Sebab itulah komponen penting yang mesti ada dalam konsep berpersatuan adalah kewujudan perlembagaan yang menjadi rujukan bagaimana organisasi itu dioperasikan. Perlembagaan ini pula akan menentukan saf kepimpinan dan seterusnya memperjelaskan batas dan hak saf kepimpinan.
Dalam merencana kemakmuran dan kewujudan organisasi, saf kepimpinan memikul beban tugas yang tidak mudah sebenarnya. Selain memastikan soal pokok objektif organisasi dicapai, kreativiti saf kepimpinan amat ditagih terutama dalam rangka memenuhi kemahuan semua ahli dalam organisasi itu. Bukan soal mempelbagaikan aktiviti untuk menunjukkan ‘keupayaan dan kemampuan’ saf kepimpinan bekerja, tetapi jauh lebih penting lagi adalah bagi ‘menarik dan mengundang’ rasa kekitaan para ahli untuk menganggotai persatuan itu.
Perhatian para ahlilah rasanya yang akan ‘mengusung’ bersama kesedaran dan penghayatan para ahli kepada organisasi. Natijah dari kesedaran dan penghayatan ini adalah penglibatan ahli dalam menjayakan pelbagai aktiviti. Sudah tentulah saf kepimpinan ‘memikirkan’ kepentingan para ahli dan fungsi organisasi semasa merencana dan merancang program ini. Namun, tidak mungkin bagi saf kepimpinan mampu memenuhi kemahuan semua pihak. Lantas, ahli-ahli perlulah lebih ‘berjiwa besar’.
Saya nyatakan ‘berjiwa besar’ kerana keperluan untuk sesiapa sahaja yang menganggotai sesuatu organisasi, mempunyai pelbagai dimensi dan definisi ‘keuntungan’. Ada jenis keuntungan dalam bentuk ‘wang ringgit’, ada juga dalam bentuk ‘manfaat’ kesihatan, keseronokan dan seumpamanya. Namun keuntungan yang lebih bernilai pada saya adalah ‘keuntungan’ yang bersifat kejiwaan. Rasa seronok, gembira, berusaha, bersungguh, bersaing, mahu menjadi juara, redha dan akur setelah berusaha, menghormati kawan dan lawan, sabar dan pelbagai lagi manfaat bersifat ‘kejiwaan’ adalah antara bentuk ‘keuntungan’ yang sering tidak dilihat ‘menguntungkan’. Kita cenderung menilai ‘keuntungan’ dengan mazhab material, tetapi amat jarang kita menilainya dengan definisi ‘kejiwaan’. Ayuh kita didik jiwa kita…..
No comments:
Post a Comment