Tuesday, March 6, 2012

Terbang semahu...

Semalam, dalam belai hujan yang berterusan sejak dari malam, saya bergerak memenuhi undangan teman-teman di sebuah sekolah menengah di sebuah pulau. Undangan sejak seminggu yang lalu disepakat dengan iltizam ini kesempatan untuk saya menyatakan sesuatu kepada anak-anak pulau. Rasanya saya harus realistik menanggapi persoalan ini kerana tiada siapa yang akan mengubah apa-apa melainkan kita sendiri yang mengusahakannya!. Lantas, saya bunuh perasaan was-was untuk menyakini langkahan saya menuju destinasi, meski sarat bersama persoalan 'mampukah saya memberi impak' tidak saya hiraukan. Tentu sahaja kocakan ombak tidak akan mengubah hasrat destinasi kali ini.

Kesempatan bersama anak-anak pulau saya gunakan untuk melampiaskan beberapa perkara penting. Pertamanya, keperluan untuk kita mempunyai perspektif yang positif menanggapi setiap halangan dan persoalan yang kita hadapi. Hakikatnya tiada manusia yang lolos dari menghadapi kemelut dalam kehidupannya. Hatta anak-anak kecil yang tidak tahu apa-apa pun, berisiko dijamah kesulitan, apatah lagi manusia yang normal tentunya tidak akan terlepas dari melakukan pelbagai aktiviti yang akan turut mengundang pelbagai halangan dan cabaran. Saya tegaskan bahawa setiap kesukaran yang kita hadapi harus ditanggapi secara positif walau sesukar mana kita mengalaminya. Tentunya kesukaran yang dihadapi sepadan dengan usia dan keupayaan kita. Sebaliknya, masalah memang akan menjadi masalah andai kita melihatnya menggunakan fikiran negatif yang hanya tahu memikirkan masalah, dan tidak produktif mencari penyelesaian!.

Kedua, saya tegaskan juga potensi besar yang tidak dimanfaatkan yang ada pada setiap diri kita. Saya analogikan lukisan dua wajah untuk memperlihatkan 'kita sebenarnya dalam menjalani kehidupan masa kini, tanpa sedar atau tidak, sedang tekun melukis diri sendiri'. Saya tegaskan demikian kerana tindak laku kita hari ini akan menghasilkan rupa wajah kita pada hari esok!. Dalam bahasa mudah, apa yang kita usahakan pada hari ini akan menentukan apa yang akan kita miliki pada masa depan. Kita menjadi individu yang sukses dan bahagia dalam tafsiran umum, dicorakkan oleh inisiatif dan kreativiti kita ’mengusahakannya’ pada hari ini!. Saya pacakkan ’kefahaman’ ini kerana menyedari hanya pencapaian yang baik dalam akademik sahaja yang memungkinkan peluang mencipta pelbagai kebaikkan mampu dijelmakan. Tanpa menolak peluang lain yang mungkin terhidang, saya tegaskan unsur pencapaian akademik sebagai pra-syarat utama kepada anak-anak ini untuk keluar dari kepompong yang melingkari mereka. 

Atas prinsip sesuatu perubahan yang kita inginkan itu hanya boleh berlaku andai diri kita sendiri yang beriltizam mengusahakannya, saya paparkan kisah Nick Vuijicic, manusia tanpa kaki dan tangan yang berupaya melakukan pelbagai perkara meski sentiasa bersama dengan kekurangan sepanjang usianya. Betapa kita kerdil dalam melayari kehidupan ini saya hamparkan lewat mini dokumentari 'Comparison of Size', guna menjelaskan keperluan kita bergerak menggunakan 'extra step' agar sama seiring dengan manusia lain. Tiada siapa yang dilahirkan malang, bezanya cuma sama ada kita menganggap diri malang berbanding orang lain. Ayuh….anak-anak....terbanglah semahumu!.  Serlahkan sayapmu menebar angkasaraya!.

No comments: