Semalam bertemu dengan teman lama. Kesempatan teman berkunjung ke tempat saya dimanfaatkan semaksimanya. Diskusi kedai kopi yang santai tetapi sarat dengan idea dan kritikan, selayak ahli politik yang berbuih memperkatakan itu dan ini, namun pada akhirnya pelaksanaan jua yang akan menjadi ukuran dan perhitungan. Pastinya dalam semua situasi ini hanya masa yang mampu menjadi saksi kepada setiap idea dan pelaksanaannya, sungguhpun amat pasti banyak pembolehubah lain yang akan menjadi penentu berjaya atau tidaknya segala idea yang dicadangkan.
Seketika kemudian teman ini menerima panggilan telefon dari temannya. Perbualan kami terhenti dan kerana tiada apa yang boleh saya lakukan, saya hanya memerhati dan mendengar-dengar perbualan mereka. Berlagak seolah-olah saya mengiktui perbualan itu, saya cuba meneka apakah topik perbualan mereka. Tentu sahaja sukar untuk saya mentafsirkan isi perbualan mereka, tetapi daripada soalan dan jawapan yang teman ini berikan saya mengagak orang yang menelefon teman saya itu ingin bertemu dengannya. Pendekkan cerita, seraya meletakkan telefon, teman ini tertawa kecil dan menamakan teman yang menghubunginya.
Seketika kemudian kami berbicara tentang isu 'mengajar dan pengajaran', rentetan daripada perbualan kami, ada benarnya apa yang teman ini bicarakan. 'Mengajar' dan 'pengajaran' itu sememangnya dua terma yang cukup berbeza. Mengajar ini selalunya diaplikasika untuk anak-anak murid. Kelompok ini sememangnya berstatus 'sedia menerima' apa sahaja yang diberikan oleh gurunya. Anak-anak murid ini mudah menerima tanpa soal kerana sememangnya situasi mereka 'bersedia' menerima muat turun perisian yang ingin disampaikan kepada mereka. Sebab itu terma 'mengajar' ini sesuai untuk anak-anak muda yang bersedia untuk menerimanya.
Sebaliknya menurut teman ini lagi, untuk orang tua, yang sudah dewasa, malah yang sentiasa merasakan tahu segalanya tidak lagi sesuai diajar, tetapi perlu diberi pengajaran!. Orang tua sebegini, apatah lagi yang berstatus guru menurut teman ini lagi, hanya perlu diberi pengajaran kerana melalui pengajaran yang dialaminya itulah dia akan mengajar dirinya sendiri. Saya berfikir sejenak, betul juga!. Perkara ini sebenarnya bukanlah luar biasa sangat, tetapi penekanan dan penegasan yang diberikan untuk mengurus manusia dewasa dan manusia kanak-kanak sememang perlu berbeza. Pastilah berbeza cara kita menyuruh kanak-kanak membuat kerja dengan cara kita menyuruh orang dewasa membuat kerja.
Betapa cara dan amalan ini memberi impak yang juga berbeza seperti kurang difikirkan. Mungkin juga disebabkan kebiasaan yang dilakukan, kadang-kadang kita terlanjur menggunakan pendekatan mengajar kepada orang tua dan sebaliknya menggunakan pendekatan pengajaran kepada kanak-kanak, dan kesannya mungkin kita akan berhadapan dengan konflik yang akan membebankan komunikasi kita dengan dua kelompok berbeza ini. Tidaklah terlalu mengherankan andai kita berhadapan dengan terlalu banyak konflik komunikasi jika sekiranya inilah pendekatan yang mungkin seringkali kita amalkan. Think different!. Jom!.
No comments:
Post a Comment