Pertemuan minggu lalu bersama sifu dan teman-teman diskusi menghidangkan beberapa pemikiran segar dalam menjadikan kehadiran kita dalam sesuatu organisasi lebih bermakna dan dirasai. Suatu yang sifu tegaskan dalam diskusi kali ini adalah elemen memberi sumbangan. Kapasiti kita sebagai penjawat perkhidmatan awam tidak memisahkan kita daripada realiti keterbatasan upaya dan kemampuan kita sebagai manusia. Lantas, realiti ini harus sentiasa disedari bagi mengelakkan kita daripada terperangkap dalam sangkar ciptaan tindakan kita sendiri.
”Push the right button!”. Rasanya istilah itu tidaklah terlalu luar biasa. Tetapi kuasa tersembunyi pada istilah itu adalah luar biasa andai kita tahu menggunakannya. Seorang pemimpin organisasi kelihatannya hanya perlu bertindak bijaksana memilih tindakan yang tepat untuk menggerakkan anggota organisasi menjayakan fungsi dan objektif organisasi itu sendiri. Kadang-kadang tindakan yang bersifat belaian dan sentuhan kemanusiaan pun sudah memadai untuk menjadikan seseorang energetik menjalankan tugasnya. Logik akalpun mudah menjelaskan betapa pendekatan yang bersifat humanistik ini lebih mudah diterima dan mendapat kerjasama. Siapa tahu hanya dengan menguntum senyuman, memberi seribu makna kepada orang bawahan. Siapa tahu juga sapaan dan tepuk bahu seorang ketua kepada orang bawahannya seumpama menerima suntikan super tonik yang menjadikannya segar dan hidup semula seperti baru.
Sempat juga bersembang dengan teman-teman diskusi semasa membuat pengisian di sebuah sekolah menengah beberapa hari yang lalu, betapa trend masa kini tidak lagi menggunakan pendekatan 'kuasa' dan 'ugutan'. Mungkin kelihatan agak kasar dan masih boleh dibahaskan. Ada benarnya pendekatan ini mungkin sesuai pada kelompok tertentu yang biasa dengan cara yang agresif. Namun, sebagai seorang pemimpin organisasi, elemen yang lebih perlu sebenarnya adalah keupayaan menggerakkan orang bawahan dan organisasi untuk mengupayakan fungsi sebenar mereka. Pada peringkat inilah 'clear direction' atau hala tuju yang jelas harus diformasikan kepada organisasi.
Bersambung.....
No comments:
Post a Comment