Tuesday, March 27, 2012

Menyumbang I

Seringkali isu kepimpinan menjadi polemik dalam organisasi. Tentunya konflik wujud dan mudah berlaku kerana kapasiti kepimpinan menjadi pembolehubah yang memberi impak dalam skala yang besar kepada organisasi. Namanya pun pemimpin, dan daya kepimpinan seseorang pemimpin tentu sahaja akan menjadi perhatian dan perhitungan dalam organisasi sama ada oleh ahli atau bukan ahli organisasi berkenaan. Kemenjadian organisasi nampak seolah-olah terpikul dibahu pemimpin organisasi berkenaan.


Pada masa yang sama, kurikulum latihan kepimpinan organisasi terus tumbuh bagai cendawan selepas hujan pagi. Pelbagai gaya kepimpinan dibicara dan dibahaskan lewat kelas dan praktikal berhadapan dengan realiti sebenar budaya dalam organisasi. Tentu sahaja pelbagai pendekatan dan aplikasi dicadangkan untuk diguna-pakai. Malah sesetengah pakej latihan organisasi siap mencadangkan solusi-solusi tertentu untuk masalah-masalah tertentu. Namun realiti yang berlaku,sangat berbeza dengan implimentasi yang diusahakan.

Agaknya pada tahap inilah peranan dan fungsi kepimpinan pendidikan amat ditagih dan diperlukan. Peranan pemimpin pendidikan yang menjadi lapisan yang mempertemukan kehendak dan hasrat kementerian pelajaran dan falsafah pendidikan negara di satu pihak, dengan guru-guru dan kumpulan pelaksana lainnya di satu pihak lain, bukanlah satu tugas mudah. Hubungan intim ini memerlukan perantara yang benar-benar berkesan, sentiasa peka dengan proses mutasi yang berlaku dalam dunia pendidikan dan paling kritikal lagi berupaya, memberi dorongan dalam bentuk hala tuju yang jelas dan mudah difahami.

Sebenarnya, sebagai pemimpin pendidikan, kita tidak memerlukan kuasa untuk diperagakan kepada orang bawahan. Apatah lagi pada era maklumat sudah menjadi perkara yang mudah dicapai pada kebanyakan orang, tidak lagi membenarkan pemimpin pendidikan menggunakan kuasa semata-mata untuk mendorong orang bawahan dan sub-ordinatnya berfungsi dan berperanan selayaknya. Dalam konteks berorganisasi, rasanya kita wajar untuk memberi sepenuh kepercayaan kepada orang bawahan kita, hatta jika orang bawahan itu kurang bereputasi baik!.

Daripada kita terus bersikap skeptikal dengan orang bawahan yang bekerja bersama-sama kita, adalah lebih baik kita memberi kepercayaan sekali lagi dan sekali lagi, sehingga akhirnya kakitangan ini akan terasa sendiri akan potensi dan keupayaannya dipikulkan tugas. Tiada manusia normal yang ingin menjayakan hidupnya dan dirinya, sanggup berbuat khianat kepada apa yang diusahakannya sendiri. Rasanya kita harus memiliki kepercayaan kepada sub-ordinat dibawah bidang atau unit kita. Kepercayaan yang kita pacakkan kepada mereka ini bukan sahaja akan mendorong keyakinan diri yang tinggi dikalangan sub-ordinat, malah juga berupaya 'menggerakkan' diri mereka untuk menjadi individu yang responsif kepada peranan dan tugasnya dalam organisasi......

Posted using BlogPress from my iPad

No comments: