Wednesday, March 28, 2012

Bijaksana dan bijaksini......

Semalam saya berkesempatan bersama anak-anak pelajar dari SMK. Abdullah II. Program anjuran HEM dan Unit Disiplin Sekolah ini berlangsung dalam suasana santai. Para peserta adalah terdiri dari kalangan pengawas-pengawas sekolah dari seluruh tingkatan. Peserta yang mencecah lebih 100 orang adalah antara individu pelajar yang terpilih dalam program khusus untuk menginstitusikan anggota pengawas sekolah agar berketrampilan, berani dan yakin serta rasa berbangga dipilih dan dipikulkan tugas sebagai pengawas sekolah.


Saya tegaskan pada anak-anak pengawas ini betapa peluang yang mereka miliki untuk berada dalam badan pengawas sekolah adalah peluang keemasan yang tidak harus disia-siakan. Saya timbulkan persoalan, mengapa dari lebih 1000 orang pelajar, kita yang terpilih menjadi pengawas?. Tentu sahaja ada karekteristik yang kita miliki menepati apa yang disyaratkan untuk menjadi pengawas sekolah. Peluang berada dalam kelas pembinaan kepimpinan ini harus dilihat dari sudut menggunakan kesempatan mengasah bakat kepimpinan disamping memperkukuhkan kemahiran interaksi sosial sesama rakan dan warga sekolah lainnya. Menjalankan tugas kepengawasan itu hanyalah alatan yang digunakan untuk melampiaskan ’bagaimana kita mengoperasikan tugas dan peranan sebagai pengawas sekolah, berhadapan dengan tanggungjawab diri, tanggungjawab terhadap rakan-rakan dan tanggungjawab terhadap guru dan sekolah keseluruhannya.

Sungguhpun begitu, saya tegaskan juga elemen yang menjadikan tugas sebagai pengawas sekolah ini adalah amat berfaedah. Pengawas sekolah perlu menjadi contoh kepada pelajar lainnya. Kalaupun kita tidak mampu untuk menjadi yang terbaik, tetapi kita harus meletakkan diri dalam posisi yang kekal kompetitif dalam pelbagai lapangan. Prestasi akademik, penglibatan kokurikulum serta perlakuan dan perwatakan sahsiah yang baik dan terpuji harus sentiasa dipamerkan. Darjah kesukarelaan pengawas sekolah juga harus sentiasa melebihi kesukarelaan pelajar-pelajar lain. Elemen ’disenangi teman-teman dan guru’ harus menjadi indikator kepada semua pengawas sekolah yang boleh menjadi contoh kepada pelajar lainnya.


Secara jelasnya, pada satu dimensi....pengawas harus berbangga dan berani menjalankan tugasnya sebagai pengawas. Masa yang sama, pada satu lagi dimensi, pengawas tidak harus menjadikan alasan sibuk bertugas sebagai justifikasi mengapa pengawas tidak boleh mencapai prestasi akademik dan kokurikulum yang baik. Malah, pengawas yang prolifik sewajarnya menggunakan peluang ini untuk mencabar diri agar sentiasa mendahului teman-teman kedatipun mereka mempunyai masa yang cukup terhad, kerana perlu bijaksana dan bijaksini untuk menjalankan dua tugas pada masa yang sama,Pengawas dan pelajar!.

Saya tegaskan kepada anak-anak pemimpin yang dalam pembikinan ini untuk sentiasa sabar dalam menjalankan tugas mereka, disamping sentiasa berusaha untuk menjadi individu yang seimbang dalam semua segi kehidupan mereka. Bukan tugas mudah.....tetapi mereka perlu berusaha dan belajar mempermudahkan tugas!. Itulah....anda dan pengawas sekolah. Harapnya ada yang mendapat manfaat!

Posted using BlogPress from my iPad

No comments: