Seringkali seseorang pemimpin memperkenalkan gagasan kepimpinannya. Sama ada dengan niat untuk memperkenalkan pendekatan yang berbeza dan diluar kebiasaan, atau atas apa alasan sekalipun, perkara paling pokok dalam konteks ini adalah untuk menggerakkan setiap tingkat dalam komponen organisasi itu digembleng untuk mencapai satu cita-cita secara bersama. Lantas, sebagai pemimpin, keupayaan untuk menjelmakan kefahaman hala tuju organisasi kepada orang bawahan itu suatu yang bersifat mandatori. Setingkat lebih dari itu, pemimpin organisasi juga tidak harus terlepas pandang daripada aspek bantuan dan sokongan mengoperasikan hala tuju yang digariskan, menjadi tindakan yang dikongsi secara bersama.
Pada kebiasaannya, setiap anggota organisasi akan lebih mudah berfungsi andai dia tahu bagaimana mengoperasikan peranannya, walau sekecil manapun tugas yang dipikulkan kepadanya. Lantas, sedapat mungkin kepimpinan wajar menghampirkan setiap gagasan yang ingin dijelmakan kepada realiti pengetahuan dan pengalaman yang mereka miliki. Hakikatnya, dalam organisasi tentu sahaja wujud kelompok dari dua zaman yang berbeza. Golongan lama yang kelihatannya agak perlahan tetapi kaya dengan pengalaman. Satu golongan lagi, sangat bertenaga dan energetik tetapi kurang pengalaman. Tentu sahaja kombinasi yang paling ideal ialah kelompok yang berpengalaman dan penuh energetik!. Tetapi kemungkinan mempunyai kombinasi ini ibarat mencari permata dihamparan pasir.
Lantas, tindakan yang paling hampir boleh dioperasikan adalah mengadunkan dua kelompok ini menjadi satu ramuan untuk satu tujuan. Pengalaman orang lama harus diberikan dimensi baru agar pengalaman itu mampu dilampiaskan dengan cara dan aplikasi yang betul. Pada masa yang sama, tenaga penuh yang dimiliki kelompok muda mesti diinstalasikan dengan perisian yang sesuai dan menepati keperluan organisasi agar mereka menimba pengalaman baru yang kelak mengoperasikan mereka. Andai kedua-dua pendekatan ini berjaya digerakkan oleh pemimpin organisasi, tentu sahaja jurang antara dua kelompok ini mungkin berjaya dikurangkan ketahap yang paling minima. Natijahnya, organisasi itu kelak memiliki pasukan yang mantap untuk mengupayakan operasi mereka mencapai hasrat dan cita-cita organisasi, disamping hasrat dan cita-cita individu dalam organisasi itu sendiri.
Bersambung.....
No comments:
Post a Comment