Sungguhpun sambutan Earth Hour di kampung tidaklah seperti mana sambutan Earth Hour di bandar-bandar besar, namun saya berpakat sekeluarga untuk menyahut gesaan Earth Hour ini. Positifnya, mungkin pada kali ini kefahaman pada peringkat keluarga kecil saya sahaja. Bergelap sahaja jika di kampung ini mungkin agak kurang terasa. Maklum sahaja masih banyak kawasan dalam kampung ini yang sememangnya masih bergelap. Belum lagi cerita bekalan elektrik yang acapkali terputus. Rasanya, di kampung sememangnya sering diraikan Earth Hour ini. Cumanya....orang kampung tentu sahaja kurang mengetahui apa itu Earth Hour dan tanpa sedar mereka sudah mendahului WWF agaknya dalam hal menjimatkan tenaga dan menyelamatkan bumi ini.
Bergelap selama sejam ini mungkin hanya bersifat simbolik pada sesetengah orang. Ketika ini, disini...kelihatannya hanya sebuah rumah yang menyertai masyarakat dunia lainnya mengimarahkan idea dan gagasan Earth Hour ini. Dapatkah anda bayangkan, berapa juta kos penjimatan tenaga yang berjaya dilakukan hanya dengan bergelap selama sejam ini. Mesej ini mungkin bersifat jangka pendek untuk menghantar mesej menyayangi bumi yang semakin tercemar ini. Bayangkan pula, andai gesaan Earth Hour ini difahami oleh masyarakat keseluruhannya. Rasanya inilah nilai sebenar gesaan Earth Hour ini. Masyarakat dunia secara kolektif dan penuh kesedaran wajar mengambil tindakan yang proaktif untuk menyelamatkan bumi daripada terus dibebani pencemaran yang bermaharajalela.
Selain mengambil kesempatan untuk meneropong bulan dan warga angkasaraya lainnya, ruang bergelap selama sejam ini kami isi dengan bercerita dengan anak-anak tentang zaman persekolahan kami yang sememangnya sinonim dengan situasi Earth Hour ini. Ummilah yang paling banyak menceritakan pengalamannya belajar dalam kegelapan. Anak-anak hanya terlopong mendengar betapa ummi belajar di rumah hanya dengan bercahayakan dua batang lilin. Pastinya, menonton televisyen sesuatu yang mustahil bagi keluarga yang berpendapatan sara diri sahaja.
Siangnya sarat dengan mengerah kudrat membantu ibu ayah mengumpul hasil mahsyul tani untuk dijual dan menjadi pendapatan. Malamnya tentu sahaja dipenuhi suasana gelap, menyingkatkan masa belajar kerana pekat malam bukan sahaja mengajak untuk tidur dan melelapkan mata seawal malam yang masih muda, tetapi juga pada pekat malam itulah ’anugerah’ yang cukup nikmat lantaran siangnya yang bermandi keringat. Sungguhpun demikian, kisah gelap malam tidak berakhir dengan tidur malam yang awal dan kepenatan yang menjadi kebiasaan sehari-hari. Kegelapan malam juga menghidangkan cerita-cerita misteri dan seram yang kekadang menjadi kelucuan pada usia dewasa kini. Pada akhirnya, betapa kehidupan lestari masa itu suatu ketika dahulu cukup dirindui kerana meskipun serba serbinya kekurangan, namun kekurangan itulah yang sentiasa membahagiakan!.
Kini, tanggungjawab menjaga bumi yang lestari ini menjalar kepada semua manusia dewasa hari ini, yang pernah menjadi kanak-kanak suatu ketika dahulu. Sebagaimana kita mampu membuat penilaian kedhaifan hidup masa kanak-kanak dahulu, adalah kehidupan sebenar yang dirindui kerana kaya lestari, maka menjadi tanggungjawab kita juga untuk memberi kefahaman kepada anak-anak hari ini, tanggungjawab menjaga bumi indah ini bakal membebankan mereka suatu hari kelak andai mereka cuai menghuni dunia yang mereka bakal warisi. Lantas, wajar menanamkan bibit ini seawal usia yang muda, agar dewasanya kelak....bersama kelestarian alam yang tidak lagi menangis kerinduan. Hatta sekecil belajar membuang sampah dengan cara yang betul adalah sebesar-besar sumbangan yang boleh diwakafkan untuk kerinduan pada bumi lestari yang semakin terancam!. Bersama menyayangi alam sekitar yang harmoni!.
Foto Kredit : Lano Lan
Posted using BlogPress from my iPad
Location:Seri Ilham, Kg. Kabogan, Semporna