Malam ini sekali lagi dalam tempoh seminggu, gangguan bekalan elektrik berlaku di kampung saya. Kelihatannya mengambil masa yang agak lama untuk pulih. Catatan ini dicoretkan pada hamparan elektronik, Microsoft Word. Nasib baik bateri laptop masih ada tersisa 64%. Saya ligat memikirkan apakah yang perlu saya lakukan pada ketika begini. Dengan suara rengekkan anak-anak yang silih berganti, manifestasi ketidak-selesaan anak-anak mengadapi suasana ini, saya bingkas menatap skrin komputer riba ini dan menukilkan sesuatu.
Simbahan sinaran bulan separuh penuh sedikit mengusik ingatan saya pada pelbagai pengalaman silam. Terlintas difikiran, baik juga gangguan bekalan elektrik ini!. Setelah sekian lama hidup dengan pelbagai kemudahan elektrik, malam ini seperti sengaja ‘menggoda’ saya menyelusuri semula jejak-jejak silam yang pernah saya lalui. Suasana malam ini seolah-olah........biar aku sahajalah yang tahu !
Dahulu, pada ketika jam 11.30 malam seperti ini, anak-anak kecil seperti saya ketika itu, sudahpun lena dibuai mimpi. Suasana malam sangat menggalakkan anak-anak kecil untuk tidur awal. Mungkin disebabkan penat setelah siangnya tadi dihabiskan dengan pelbagai jenis permainan. Seawal pagi lagi sehabis sahaja bersarapan dengan berkaki ayam sudah pergi ke rumah jiran untuk mengajak bermain. Apa jenis permainan tidak pernah dirancang teliti. Tetapi ‘persefahaman’ dicapai untuk bermain apa pagi itu, maka segala persiapan diatur selepas itu.
Jika permainan pada pagi itu disertai sama oleh kakak-kakak, maka alamat permainan masak-masaklah yang akan berlaku pada pagi itu. Kebiasaanya, abang-abang akan menyediakan ‘rumah-rumah’ yang selalunya didirikan dibawah pokok kelapa atau pokok mangga. Manakala kakak-kakak pula bertugas menyediakan segala peralatan memasak. Kami adik-adiklah yang selalunya menjadi mangsa untuk mengambil bahan masakan dari rumah masing-masing. Kami, adik-adik selalunya akan ditugaskan mengambil ubi kayu, beras, gula, kopi atau teh, minyak masak, ikan masin dan tidak lupa minyak tanah yang digunakan untuk menyalakan api.
Tidak disedari, rupanya tugasan yang kami buat adalah strategi para abang-abang dan kakak-kakak. Sekiranya semasa kami menjalankan tugasan disedari oleh ibu-ibu kami, alamat kamilah yang kena batang penyapu oleh ibu-ibu kami. Manakala abang-abang dan kakak-kakak ‘meloloskan diri’ tidak mengaku menyuruh kami mengambil barang makanan untuk permainan masak-masak itu. Jika kami berjaya mendapatkan barangan yang ditugaskan, alamat jadilah permainan masak-masak itu. Sebaliknya, jika kami ‘kedapatan’ alamat akan bertukarlah permainan pada pagi itu.
Demikian antara babak kehidupan yang pernah saya lalui. Suatu yang sangat saya hargai, pengalaman kreatif kanak-kanak pada ketika itu membuat dan memilih permainan dalam keadaan serba-serbi kekurangan. Permainan yang dipilih kelihatan seperti replika kehidupan harian dalam versi kanak-kanak. Tidak heran rasanya mengapa generasi masa itu, yang telah dewasa kini cukup menghargai ‘keperitan’ hidup yang dilalui, lantas bersungguh-sungguh semasa melalui zaman persekolahan. Walaupun tidaklah direncana seteliti itu, mencipta keseronokan dan kegembiraan seadanya namun masih mampu berjaya, walau dengan 1001 jenis kekurangan.
2 comments:
Assalamu'alaikum
dua 'post' yang tuan masukkan semuanya berkenaan dengan kenangan silam. Ya, kenangan tinggal kenangan. Namun apa yang dikenang itu merupakan pengalaman yang sangat berharga.
beruntunglah bagi generasi yang hidup di arus kemodenan. akan tetapi, generasi terdahulu lebih berharga kerana pengalamn hidup yang mematangkan fikiran sedari awal usia membuatkan jiwa itu lebih memahami apa erti kehidupan.
semoga bermanfaat.
wassalam
benerasi dulu kreatif, generasi skrg tak sempat nak kreatifkan minda, disumbat dgn game dan internet =P
cepat sangt majunye
Post a Comment