Wednesday, February 17, 2010

Sepatutnya...

Saya sering menghadapi situasi 'sepatutnya' dalam pelbagai keadaan. Malah sehingga menyebabkan saya terkadang beraksi sepontan sebagai reaksi protes kepada perlakuan jelek dan songsang dalam kehidupan yang kononnya 'moden' kini. Mungkin anda juga pernah mengalaminya. Situasi yang kerap saya alami adalah perlakuan gaya pemanduan yang tidak beretika dan mengikut peraturan jalan raya. Saya sering menghadapi situasi dipotong jalan secara tidak sopan dan berhemah. Sudahlah memotong 'Q', memotong pula langsung tidak mempamer rasa 'mohon permisi' daripada yang dipotong, cara memotong pula hampir-hampir mencetuskan perlanggaran.

Telahan yang terpamer dalam kotak pemikiran saya adalah....pemandu ini mungkin tiada lesen memandu. Tiada menghadiri sekolah memandu, lantas banyak etika dan perlakuan sopan di jalan raya yang tidak diketahuinya. Kalau dia ada lesenpun, telahan saya kemungkinannya pemandu itu adalah kebaru-baruan memandu kereta. Lebih dari itu, sememangnya pemandu itu adalah pemandu samseng yang ingin mempamerkan kehandalan pemanduannya di jalan raya sesak ini atau dalam bahasa mudahnya 'minta puji'. Reaksi spontan saya menghadapi makhluk samseng, spesies yang semakin bertambah ramai ini adalah dengan membunyikan hon panjang dan jika ada ruang memang saya akan menutup jalan dan peluangnya untuk memintas jalan di hadapan saya.

Kadang-kadang saya merasa malu sendiri melakukan perbuatan seperti itu. Apatah lagi pastinya tindakan atau reaksi sontan saya diperhatikan orang lain, dan psti mengundang tafsiran dan persepsi yang pelbagai. Tetapi saya segera 'membunuh' rasa bersalah sebegitu. Pada fikiran saya, lagi tidak bermoral jika tidak menghalang perbuatan seumpama itu daripada berlaku. Tindakan kita memberi ruang kepada spesies pemandu seumpama itu seolah-olah 'menggalakkan' mereka melakukan perbuatan jelek berkenaan. Lantas amat patut rasanya untuk kita mempamerkan rasa protes kepada perlakuan songsang yang berlaku di jalan raya, apatah lagi jika kita yang menjadi 'mangsanya'. Sepatutnya tidak begitu......tetapi itulah yang patut!.
Pernah juga saya melihat sepasang suami isteri yang bertengkar di tempat awam. Pada ketika itu, saya duduk dalam kereta menunggu isteri yang singgah untuk membeli beberapa barang keperluannya. Sayapun tidaklah pasti apa dan mengapa pertengkaran itu berlaku. Cuma saya rasa amat jelek melihat lelaki berkenaan menampar perempuan tersebut, apatah lagi dikhalayak ramai begitu. Walau apapun alasannya, wanita sewajarnya mendapat perlindungan dan bukannya diperlakukan sebegitu. Sepatutnya begitu.....tetapi itulah yang berlaku !. Banyak lagi situasi 'sepatutnya' yang saya alami atau perhatikan. Namun kebanyakannya mendorong saya hanya mampu berkata 'sepatutnya tidak begitu.....tetapi itulah yang berlaku'.
Lantas saya membuat pendirian, perkara 'sepatutnya' berlaku itu....pastikan 'begitu' pada ruang mana kita mampu mengawalnya. Selebihnya....sungguhpun 'tidak sepatutnya' tetapi itulah yang berlaku, maka buatlah 'apa yang sepatutnya' berlaku. Betulkah..?

1 comment:

Rafi Harumin said...

Salaam..

bercerita tentang 'sepatutnya', saya ada sedikit untuk dikongsikan. Baru-baru ini, saya terjumpa kawan kawan lama di laman sosial. banyak benda yang diceritakan, terutamanya hal hal kenangan sewaktu sekolah.

sedih sekali, apabila kisah kisah yang diceritakan itu agak tercemar. maksud saya, cerita itu semakin meleret ke topik topik tentang guru guru yang tidak disukai. rupa rupanya kebencian itu telah dibawa sehingga ke tahap sekarang, (bayangkan kalau meninggalkan persekolahan pada tahun 1998). lebih teruk, rasa benci itu membawa kepada dendam.

rasa kurang senang bila melihat tulisan komen2 yang berunsur menghina, menyumpah dan mengutuk kekurangan seorang pendidik. saya akui, sebelum ini pun (bergelar pelajar) ada ketikanya saya benci, memberontak atau tidak suka dengan guru guru saya. tapi itu berlaku atas sebab sebab tertentu. mungkin disebabkan tindakan yang diberi, peraturan yang mungkin menyusahkan ataupun sebarang perbuatan yang hanya berkisar pada waktu itu sahaja. maklum saja kalau 'darah muda'. tapi setakat itu sajalah. (Syukur Alhamdulillah kerana sikap itu sekadar di situ), saya tetap hormat guru guru saya Insya Allah.

apa yang terdetik ialah, mengapa sehingga ke tahap sebegitu? lebih teruk lagi, mereka membenci sedangkan benda itu 'tiada apa-apa' sebenarnya. hal hal remeh dan kebanyakannya yang tidak berkaitan dengan diri mereka. lebih tepat lagi, orang lain punya hal, orang lain yang sibuk! cikgu dihina dengan pelbagai kata kata yang sangat buruk tanpa sedar, kedudukan mereka sekarang atas curahan ilmu dari siapa?

SEPATUTNYA, perkara itu TIDAK PATUT berlaku.

(Peringatan untuk diri saya sendiri juga)

Wallahu'alam