Monday, February 15, 2010

Imuniti....!

Semalam saya berkesempatan mencuba lens kamera yang bersaiz 55 – 200 mm. Lens yang digunakan untuk mengambil objek jarak jauh dan sederhana, kelihatannya amat sesuai untuk menangkap gambar burung atau seumpamnya. Ciri jelas lens ini adalah tidak memerlukan kita menghampiri objek yang menjadi sasaran ( kerana ia mungkin lari dan liar ), tetapi objek masih kelihatan jelas, dan gambar juga tidak pecah ( blur ). Itu pentaakulan saya dengan kekuatan lens ini.

Sebelah petangnya, saya ke lokasi yang menjadi gelanggang saya untuk mencuba ilmu dan pengetahuan baru dalam dunia fotografi ini, Kampung Ko-Nelayan. Secara kebetulan terserempak dengan sekumpulan kanak-kanak sebaya anak saya yang sedang mandi-manda di jambatan kampung ini. Apa lagi saya menyorong lensa kamera dan mula menangkap beberapa aksi mereka yang kelihatan sungguh girang gembira!. Tidak berapa lama kemudian, kemungkinan mereka menyedari kehadiran saya, aksi mereka semakin galak.

Saya terfikir, kegembiraan kanak-kanak ini adalah pameran rasa hati mereka yang terzahir dari dalam lubuk hati mereka. Saya terfikir juga, mungkin inilah antara kegembiraan yang mampu mereka cipta dan hasilkan sendiri. Kemahiran mereka mampu berenang, terjun dan melompat dari jambatan, menyelam untuk beberapa ketika tidak timbul dipermukaan laut adalah kemahiran yang diperolehi sendiri dengan latihan dan kemahuan sendiri. Saya amat pasti mereka tiada jurulatih untuk berguru segala kemahiran itu. Jika adapun jurulatih mereka, rasanya jurulatih yang paling hampir dengan mereka adalah ibu ayah mereka dan keperitan hidup mereka sendiri.

Mereka lebih tabah menghadapi kekurangan hidup. Sebab itu rasanya mereka mudah untuk mempelajari sesuatu, asal sahaja ianya memerlukan kudrat dan tulang empat kerat. Saya membuat kesimpulan dalam hati, agaknya inilah bentuk imuniti yang sepatutnya kita berikan kepada anak-anak khususnya, sebagai seorang guru kepada anak muridnya atau seorang bapa kepada anak-anaknya atau apa-apa sahaja posisi kita. Imuniti seumpama ini rasanya bukan sahaja memberikan ruang yang lebih selesa kepada anak-anak ini untuk belajar, lebih penting lagi menjadikan mereka 'menyediakan' diri mereka sendiri untuk mentadbir alam mereka.....tentunya dengan bimbingan, teguran dan pemerhatian kita ( orang dewasa atau guru mereka! ).

Imuniti mereka untuk mempelajari sesuatu harus dihormati, walau mereka mungkin tidakpun meminta demikian!. Tak tahulah......

No comments: