Wednesday, February 24, 2010

Bagaimana ya........

Teman saya, menukilkan coretan terhadap beberapa kemusykilan yang masih bersarang dalam benak fikirannya. Tentunya...berlegar di sekitar kefahaman tentang nikmat besar mengalami kesedihan, kegagalan dan kekecewaan. Suka saya menggariskan daerah kefahaman ini terhad hanya kepada ruang pendapat saya, dan tidak semestinya tepat pada orang lain.

Anda pernah sedih?. Kita semua rasanya pernah mengalaminya. Kesedihan kehilangan ayah atau orang tersayang, mungkin antara kesedihan yang acapkali kita lihat atau kita rasai sendiri. Tak kisahlah kepada siapa perkara ini berlaku. Seringkali orang berkata, "Bersabarlah....semua kejadian ini ada hikmahnya". Benar kata sahabat saya itu, dimana nikmatnya kesedihan jika kita mengalami detik sukar kehilangan orang tersayang. Bersedih dengan 'pemergian' orang tersayang bukanlah bermakna kita tidak boleh menangisi perpisahan itu. Bagaimana mungkin kita boleh menafikan fitrah manusia yang dilengkapi dengan perasaan sayang dan menyayangi.

Namun kesedihan itu wajar meningkatkan kesedaran kita terhadap 'rasa kehilangan' orang tersayang itu. Tentunya dengan peristiwa ini kita akan menghisab diri. Betapa kita sayang dengan orang yang meninggalkan kita. Betapa kita patut menyayangi orang-orang yang disekeliling. Betapa kita patut menghargai setiap detik yang kita pinjam dan gunakan di dunia ini. Betapa kita patut memperbanyakkan amal ibadat kita. Betapa kita patut meninggalkan nama dan warisan yang baik kepada zuriat kita......dan banyak lagi!. Pada saya, inilah nikmat kesedihan kehilangan orang tersayang!.

Demikian juga....mungkin kita pernah mengalami kegagalan. Gagal dalam pelbagai lapangan. Gagal bercinta, gagal mendapat pekerjaan, gagal dalam peperiksaan dan pelbagai lagi 'spesies kegagalan'. Memang wajar kita melayani 'rasa kecewa' lantaran kegagalan itu. Tetapi tidaklah sehingga ke tahap 'frust menonggeng'. Mungkin untuk kita mudah memahami 'rasa kecewa' itu......kita seolah-olah membiarkan 'jarum jam' berhenti berputar, entah selama beberapa hari. Malah dalam sesetengah keadaan, sehingga tidak lalu menjamah walau secubit makanan!. Normal le tu!.

Tetapi, orang yang menggunakan akal fikirnya, tentunya ia akan cepat bingkas dan bangun untuk memulakan langkah baru. Tentu sahaja 'pengalaman' gagal pada tahap sebelumnya memberi pengajaran yang bukan sedikit, dan pengalaman itu menjadikannya lebih dewasa dan matang menghadapi cabaran baru dalam kehidupannya. Bukanlah bermakna 'kalau sudah gagal, maka tidak mungkin akan gagal lagi'. Rasanya pendapat itu tidak berapa berpijak di bumi yang nyata. Kegagalan tentu sahaja akan 'mengintai' sesiapa yang leka dan alpa serta mudah lupa pada apa yang telah dilaluinya. Sekali lagi......pada hemat saya, inilah nikmat kegagalan!. Sungguhpun rasa kecewa tebal 'menyelimuti' diri, tetapi hatinya tetap berbunga-bunga dengan kuntuman harapan, hari esok mungkin hari saya!. Saya mesti berusaha lebih untuk 'menuainya'. Saya yakin itu!.

Orang kata, "melihat sesuatu peristiwa, dengan mata hati". Sekali lagi saya tegaskan, amatlah rugi untuk kita melalui hari-hari mendatang dengan rasa suram dan kecewa. Kita berpeluang untuk membuat pilihan. Rasanya, .....amatlah bijaksana jika kita melalui 'kesukaran', dan ketika kita masih 'berkabung' menangisi rasa kesukaran itu, kita dengan penuh sedar bertatih merencana kebangkitan!. Dalam bahasa motivasinya, redha, berlapang dada, tidak mengenal putus asa, berfikiran positif mungkin adalah kosa kata yang paling hampir menggambarkan apa yang saya maksudkan lewat catatan ini. Moga difahami dan merungkai kekusutan hati!. Amin.

( Titipan rasa kasih untuk sahabatku, Ashrafi! )

4 comments:

Rafi Harumin said...

Assalamu'alaikum..

Mulai dari perenggan awal, saya dah dapat tangkap apa yang nak disampaikan. Alhamdulillah, terima kasih banyak banyak Tuan. Syukur ilmu saya bertambah lagi. Semoga bermanfaat, Insya Allah.

Rafi Harumin said...

Tuan,

Mohon izin untuk saya link/copy tulisan tuan. itu pun kalau ada keizinan.

wan haminuddin said...

Salam tuan..

jutaan terima kasih banyak2 diatas segala yang dicurahkan..2 hari adalah masa yang terlalu singkat u kami sume memanfaatkan ilmu yang diberikan..tq byk2

wan haminuddin said...

SALAM TUAN..
SAYA NAK MENYATAKAN ISI HATI SAYA..WALAPUN SAYA NIE KAYU DALAM MENULIS N BERKATA2, TP BILA SY JUMPA SESEORANG, SY RASA NAK SGT MENULIS SESUATU PERKARA TENTANG DIRI DAN KEHIDUPAN SY.TP SELEPAS KENAL DENGAN SESORANG, SY BETUL2 SEDAR N INGIN SGT NAK MENGENALI DIRI SY.ORNG ITU ADALAH TUAN SENDIRI. BOLEH BG TUNJUK AJAR PADA SY..TQ

WAN HAMINUDDIN
SANDAKAN, 4.04PM, ISNIN( 01/03/10?