Tuesday, February 17, 2009

Virtual Block !

Sukacita saya menzahirkan keazaman untuk menjadi blogger dengan cara sendiri. Biarpun hanya tinggal saya seorang yang berkunjung…….saya tidak akan patah semangat, jauh sekali untuk berniat tidak lagi memanfaatkan laman siber ini!. Selemah-lemah usaha……..saya tidak akan membiarkan hari-hari yang berlalu tanpa saya melakukan sesuatu……paling tidak untuk diri, isteri dan puteri-puteriku!.
Dan, laman siber ini salah satu daripadanya!. Saya berada di Kundasang selama 3 hari untuk bersama-sama dengan sahabat-sahabat menjayakan satu program, dan hanya kembali pada pagi isnin dan menyambung tugas disini pula.

Dengan citra penuh sukacita saya menyematkan rasa terima kasih kepada para pengunjung kerana kesudian menyingsing hijab, menjengah laman ini, tanpa kisah apapun niatnya!. Dengan rasa rendah diri juga…..…..saya menghidangkan bicara hati dari alam fikir dan daerah kefahaman dan pengalaman sendiri untuk saya kongsikan dengan sesiapa sahaja di planet bumi ini!.

Sekadar menyatakan nama, tanda ingatan dan penghargaan kepada Dr. Raj, Pn. Waani, Cikgu Mazila, Edwid, Pn. Junaitah, Pn. Shaliliah, Wilma, Pn. Lee Chai Ying dan gadis pendiam Raynee. Di alam siber ini sekali lagi saya mengucapkan terima kasih atas curahan pengalaman, perkongsian kisah hidup dan sudut pandang setiap ahli kumpulan 8 ini. Hanya satu yang saya amat pasti…….bersama mereka pengalaman saya bertambah!.

Sebagaimana kebiasaanya, pengalaman mengendalikan LDK ini banyak membenihkan perpektif dan pendekatan baru dalam menanggapi sesuatu perkara. Tetapi pada kali ini…..saya nak point kepada apa yang saya panggil sebagai ‘virtual block’ atau ‘halangan maya’. Ada kecenderungan dikalangan kita untuk lebih berani membuat keputusan yang membawa kerugian, kerana lebih bimbangkan ‘virtual block’. Sedang kita sepatutnya lebih berani membuat keputusan yang membawa kebaikan atau positif walaupun mungkin saiz ‘virtual block’ yang kita bayangkan itu lebih besar, namun peluang itu jangan disia-siakan.

Ambil situasi dalam simulasi, apabila kita diberi cek kosong oleh seorang dermawan dan diminta untuk menuliskan sendiri nilai cek kosong itu, kecenderungan kalangan kita ialah lebih mempersoal perkara lain seperti kenapa dermawan itu beri cek kosong?, siapa dermawan itu?, apa motifnya memberi duit? dan pelbagai lagi kebimbangan lain yang akhirnya menjurus kepada keputusan negatif dan tidak mahu mengambil cek kosong itu. Lebih bimbangkan perkara-perkara negatif dan membawa kemunduran inilah yang saya maksudkan sebagai ‘Virtual Block’!. Sungguhpun sekadar andaian, yang belum lagi pasti benar tidaknya, tetapi seringkali keputusan lebih memilih 'tidak' hanya kerana bimbangkan 'virtual block' ini.

Kenapa kita tidak lebih berani mengambil cek kosong itu……dan jika bimbangkan ‘virtual block’ pun, rencanakan dengan baik pengurusan dan perjalanan duit dari cek kosong itu. Mungkin dengan cek kosong itu kita mempunyai sangat banyak peluang lain untuk membuat kebaikan dan manfaat bukan sahaja untuk diri dan keluarga, malah juga untuk agama, bangsa dan Negara!.

Kita mungkin pernah berhadapan dengan situasi yang memerlukan kita membuat keputusan atau tindakan. Kecenderungan kita membuat keputusan pastinya akan dipengaruhi oleh pengetahuan sedia ada kita atau pengalaman masa lalu kita sendiri atau mungkin juga pengalaman orang lain. Sudah tentu setiap keputusan atau tindakan yang kita buat, dipengaruhi oleh saiz risiko yang mungkin kita terpaksa hadapi.
Kecuali bagi keputusan dan tindakan yang nyata risiko dan akibatnya, sebenarnya kita banyak dipengaruhi oleh 'virtual block' ini. Buat diri saya, rasanya kita patutnya mengurangkan 'virtual block' yang belum tentu benar tidaknya, saya menganjurkan pada diri saya sendiri dan sesiapa sahaja, marilah kita sedia dan berani berdepan risiko jika hanya 'virtual block' yang menjadi halangan. Tak tau lah.........!

2 comments:

Anonymous said...

teruskan blogging :)

Anonymous said...

to do nothing changes nothing...

by: pemikir oakar...