Wednesday, February 11, 2009

Seketika itu di Pantai Tinagat......

Petang ahad yang baru lalu, saya sekeluarga berkesempatan melalui jalan pantai Tinagat. Pantai Tinagat ini bukan asing bagi saya. Walaupun saya tidak menetap atau dilahirkan disini, tetapi zaman kanak-kanak saya mempunyai secalit pengalaman manis disini.
Bila saya dewasa dan sedar kini, barulah saya terfikir dan terdetik di hati, rupa-rupanya kehidupan kita kini sudah cukup berubah, sepesat berubahnya lanskap pantai Tinagat ini. Sekadar mengimbas kembali kisah lama, pada awal tahun 70-an dahulu, mak dan ayah menyara kehidupan dengan mengamalkan pertanian pindah dan padi bukit. Sudah tentulah sumber pendapatan hasil pertanian yang paling popular pada masa itu adalah bertanam jagung.
Masih segar diingatan saya, rumah kami di kampung Tarapuli, yang dibina ayah secara bertingkat dan tingkat bawah dijadikan stor jagung tua yang sudah dituai. Apabila buah jagung sudah habis dituai, maka akan diadakanlah pula gotong-royong dikalangan orang kampung untuk meleraikan biji jagung tua dari tongkolnya. Bila giliran kebun ayah digotong-royong, selalunya ayah akan adakannya secara pertandingan.
Stor jagung tua rumah kami pada ketika itu mempunyai 2 fungsi. Atapnya yang diperbuat daripada daun nipah, boleh dibuka untuk menjadi pelantar jemuran terbuka!. Apabila hujan pula, atap itu ditutup untuk menjadi stor pula. Apa lagi ketika gotong-royong, semua orang kampung berkumpul di rumah kami, masing-masing datang dengan alat untuk meleraikan bijirin jagung dari tongkolnya. Istilah tempatannya alat ini dipanggil 'li-isan'. Pertandingan diadili berdasarkan siapa yang paling banyak dan paling cepat.!.
Hari ini barulah saya sedari bahawa tujuan pokoknya pertandingan itu diadakan adalah untuk 'mempercepatkan' proses meleraikn jagung dari tongkolnya, dan membolehkan jagung itu dijual terus ke kedai. Proses menjual jagung inilah saya mempunyai kisah silam bersama pantai Tinagat. Pada ketika itu, hendak pergi ke Tawau untuk menjual jagung tersebut, samalah seperti kita pergi keluar negara pada hari ini. Sangat jarang kita dapat peluang sebegini.
Menjual jagung yang berguni-guni banyaknya itu diangkut dengan bot besar ke Tawau. Bayangkan sendiri, pada ketika itu penuh bot besar itu dengan guni bergaris hijau. Satu kelurga pula ikut serta beramai-ramai ke Tawau. 'Shopping sakanlah' kononnya pada masa itu. Saya masih ingat lagi pada masa itu, terasa perjalanan ke Tawau dari Kampung Tarapuli itu terasa amat jauh, sehingga malam barulah tiba di kawasan Pantai Tinagat.
Di Pantai Tinagat inilah selalunya, bot besar ini berlabuh, sementara menunggu hari esoknya untuk mudik ke pelabuhan di bandar Tawau, dan memunggah hasil jualan jagung yang berguni-guni itu. Melankoliknya, pantai Tinagat ini kerana disinilah ayah membawa kami untuk mandi disampingkan mengambil air untuk bekalan memasak di bot sepanjang berlabuh di Tawau ini. Apabila pulangpun akan singgah dahulu di pantai ini untuk mengambil bekalan air sebelum memulakan perjalanan panjang dan memboringkan balik ke kampung halaman.
Demikian, kisah cintaku dengan pantai Tinagat, saya tidak pasti berapa umur saya pada ketika itu. Tetapi pengalaman itu cukup segar dalam ingatan saya. Hari ini pantai itu sudah banyak berubah!. Tetapi pengalaman mandi-manda di pantai Tinagat, dengan biskut 'pistol-pistol' tersemat digenggaman tangan, antara catatan pengalaman yang rasanya mendewasakan saya, belajar menanggapi 'harga' sebuah kemajuan dan pembangunan, dan keperluan kita 'mensyukuri' nikmat yang kita rasai kini.
Tanggungjawab berat kita hari ini, mewariskan pengalaman begini kepada generasi hari ini, agar mereka juga dapat 'rasa' dan seterusnya tahu 'menilai' luasnya daerah kemajuan dan pembangunan dan meletakkan 'harga' yang perlu dilangsaikan untuk mengecapinya!. Sambil memandu menyusuri jalan dan sekali sekala turun untuk mengambil gambar, semua kisah ini saya ceritakan kepada anak-anak saya. Mungkinkah aku yang sudah berubah? atau pantai Tinagat yang perlu diubah?. Terima kasih.....pengalamanku !.

1 comment:

Anonymous said...

Salam dari Kamik...

" Mana aaaa Pantai Tinagat ne?..
Oooo Baru Saya Ingat."

Cuit sikit terhadap minda dan pengelaman Dr. Tarapuly berkaitan "Seketika itu di Pantai Tinagat..."..

Lagipun
Seperti Dr. Tarapuly perkatakan agar beliau menceritakan kesa ini kepada anak-anaknya.

Ini adalah satu perkara yang baik untuk disampaikan kepada anak-anak kita.

Lagipun mereka sedar pengelaman anak-anak dahulu adalah lebih besar berbanding pengalaman anak-anak pada hari ini.

Supaya..?
Anak Tegur Bapa Ada Batasnya...Konoh Laa..
Tak kesemua boleh tegur..

Cuit sikit sajak ini,

"Bangsaku bukan kecil hati dan jiwanya
bukankah sejak zaman berzaman
mereka menjadi PELAUT, pengembara
malah penakluk terkemuka?
Bukankah mereka sudah mengembangkan sayap,
menjadi pedagang dan peniaga"

PYBS oleh Tun Dr. Mahathir.

BUAT KERJA