Thursday, June 16, 2011

Sambutan Hari Guru SMK. Tagasan......

Hari ini adalah hari kemuncak sambutan Hari Guru peringkat sekolah saya, SMK. Tagasan. Sambutan yang telah bermula penganjurannya pada 16 Mei 2011 yang lalu, dijalankan selama sebulan bagi membolehkan warga sekolah bersama-sama merayakan dan menzahirkan partisipasi dan apresiasi dalam sambutan yang cukup bermakna kepada warga guru ini.


Sambutan selama sebulan ini membolehkan penganjuran pelbagai aktviti yang berkaitan. Jawatankuasa penganjur telah menyenaraikan aktiviti-aktiviti yang melibatkan pelbagai aras warga sekolah. Antara aprogram yang dianjurkan adalah Pertandingan Menulis Esei, Pertandingan Melukis Poster, Pertandingan Mereka-cipta Kad Hari Guru yang dikhususkan kepada para pelajar, dan Pertandingan Bola Sepak, Pertandingan Bola Jaring dan Pertandingan Badminton yang dikhususkan untuk warga guru.

Paling istimewa adalah aktiviti anjuran Panitia MPV, yang menyediakan tempahan kek khas untuk guru-guru. Aktiviti ini dibuka kepada para pelajar yang ingin memberikan hadiah istimewa kepada para guru mereka. Gambar-gambar berkaitan akan saya apungkan kemudian!

Selamat Hari Guru....Cikgu!, demikian anak-anak murid seringkali ucapankan sepanjang hari ini. Terasa amat dihargai...pulak!

Posted using BlogPress from My iPad's

Location:Dewan Pelajar SMKT, Semporna

Gerhana Bulan Penuh...

Ketika ini sedang berada di sekolah. Mencuri masa untuk mencoretkan sesuatu pada laman blog ini bagi menyertai kemeriahan sembang-sembang gerhana bulan di fb Malaysia Lunar Eclipse. Saya tidak sempat untuk mengedit gambar-gambar yang berjaya saya rakamkan awal pagi tadi. Tidak banyak gambar yang berjaya saya rakamkan kerana keadaan cuaca yang tidak berapa mengizinkan.

Gambar-gambar yang saya paparkan disini adalah gambar yang saya petik tanpa edit dari laman FB Malaysia Lunar Eclipse. Kredit kepada pemilik-pemilik, hasil kerja keras mereka awal pagi tadi. Gambar-gambar adalah dinamakan berdasarkan pemilik dalam keterangan gambar dilaman berkenaan. Congrat's.....





















Posted using BlogPress from My iPad's

Location:Tapak Perhimpunan Sekolah, SMKT, Semporna

Wednesday, June 15, 2011

Sah...tak ada can!

Nampak gayanya....kami di Semporna, terlepaslah lagi...... Awan tebal masih menyelimuti permukaan bumi Semporna, berawan.....

Posted using BlogPress from My iPad's

Location:Seri Ilham, Kg. Kabogan, Semporna.

Hujan, awan dan gerhana bulan....





Alahai....kalau keadaan ini berterusan, nampaknya kempunanlah kami di Semporna menyaksikan fenomena gerhana bulan penuh subuh nanti. Sebagaimana pesta planetari yang berlaku sepanjang bulan mei yang baru lalu, bumi Semporna kelihatannya dilimpahi rahmat yang berterusan apabila tak henti-henti menerima hujan.

Suasana mendung yang berlaku disini ketika ini tentunya mencabar rasa teruja menyaksikan lunar eclipse awal pagi nanti. Nampaknya terpaksalah kita mengharapkan maklumat dari tempat lain, yang akan membuat rakaman secara 'live' kejadian itu nanti. Teruslah sahaja berharap agar tiupan angin ini akan cepat membawa awan berlalu pergi dan menurunkan hujan seawal mungkin....agar apa yang kita harapkan agar berlaku nanti!

Sabar, Jom teropong!. Standby....action!

( Foto Kredit : Fred Espenak )

Posted using BlogPress from My iPad's

Location:Koridor Blok B, Tingkat 2, SMKT, Semporna

Test....Lunar Eclipse!




Awal pagi tadi sempat untuk menjenguk keadaan langit. Kelihatannya cuaca agak kurang mengizinkan andai beginilah keadaan langit pada awal pagi esok, 16 Jun. Hanya mampu berharap, agar keadaan langit berubah menjadi 'mesra' pada hari esok. Peralatan teleskop juga nampaknya berada dalam keadaan sedia. Begitupun masih tidak pasti bagaimana kejadiannya pada hari esok.

Terkadang, keadaan ini menjadi 'tricky' dengan beberapa situasi. Namun tiada apa yang boleh dibuat andaikan cuaca tidak juga berpihak kepada kejadian yang akan berlaku. Namun, hebahan secara langsung yang dibuat oleh Langkawi National Observatory melalui FB Malaysia Lunar Eclipse, Falak Online dan Lingkudau.net akan menjadi sumber maklumat andai keadaan tidak memihak kepada kita.


Jom....mencerap!.

Posted using BlogPress from My iPad's

Location:Seri Ilham, Kg. Kabogan, Semporna

Monday, June 13, 2011

Assalamualaikum.....Cikgu!

Assalamualaikum....Cikgu!

Selamat kembali bertugas kepada semua warga guru dimana sahaja berada!. Musim persekolahan semester kedua bermula hari ini. Minggu-minggu berikutnya tentu sahaja penuh dengan tugasan apatah lagi menjelang hadirnya peperiksaan awam PMR, SPM dan STPM. Tentunya senarai tugasan panjang telah sedia menanti teman-teman seprofesion sebelum pun meninggalkan sesi persekolahan dua minggu yang lalu.


Mungkin bagi kebanyakan sekolah, minggu ini adalah minggu kritikal. Kritikal kerana angka-angka akan dipamerkan pada minggu ini, mencerminkan pencapaian yang telah diperolehi anak-anak murid sepanjang satu semester yang lepas. Apa sahaja saiz angka dan pencapaian anak-anak murid, implikasinya tetap akan merempuh kredibiliti guru dalam tugasan asasnya sebagai guru.

Kadang-kadang kita merasa terkilan kerana apa sahaja perkara buruk yang menimpa pelajar, guru sering menjadi titik tudingan jari masyarakat sebagai tidak berfungsi dengan sepatutnya. Sebaliknya, apabila anak murid ini membuat pencapaian yang baik, watak yang sering dikesampingkan dalam membantu mencorakkan pencapaian anak murid itu ialah perit jerih seorang guru. Sungguhpun saya mengakui tidak semuanya begitu.....tetapi 'advantage' sepatutnya diberikan kepada seorang guru.

Bukan berniat untuk meminta balasan dan ganjaran. Usah juga dimomokkan dengan kerja mulia dan berpahala semata-mata untuk 'membiarkan' guru memikul bebanan berat dan sarat. Sebab itu, wajar untuk kita 'menimbang semula' sumbangan yang telah kita lakukan untuk membantu warga guru menyempurnakan tugasan mereka di bilik darjah.

Tanpa selektif kepada sesiapa, rasanya tiada seorangpun individu normal yang tidak terlepas daripada dilingkari kerja tangan seorang guru. Berjawatan awam atau tidak, guru atau bukan guru, selagi dia mempunyai anak yang bersekolah, maka dia tidak akan terlepas daripada berurusan dengan seorang guru. Saya cenderung untuk menganjurkan gagasan yang paling minima dapat kita sumbangkan. Sebagai ayah dan ibu sewajarnya kita membantu guru dalam soal akhlak dan adab sopan, dan tentunya soal wang ringgit.

Harapannya nanti, guru akan mempunyai kesempatan yang cukup lumayan 'menggaul dan menguli' adunan pelajaran anak-anak kita, dan tidak terbuang masanya menguruskan perkara-perkara yang tidak berkait langsung dengan soal pencapaian akademiknya di sekolah.

Teman-teman guru sekalian, ayuh....kita sudahkan tugasan kita dengan hati yang ceria dan gembira. Bersamalah kita melampiaskan kecintaan kita kepada profesion ini, dengan sentiasa memberikan yang terbaik semampu kita yang boleh!

Selamat bertugas....Cikgu!

( Dedikasi untuk guru-guru yang terpaksa berjauhan dari orang-orang tersayang...demi tugasan untuk nusa dan bangsa.....! )

Posted using BlogPress from My iPad's

Location:Bilik Peperiksaan Sekolah SMKT, Semporna.

Good Morning Semporna!


Tuan-tuan dan puan-puan, kita akan mendarat sebentar lagi. Sila tegakkan tempat duduk ke posisi asal, pasangkan tali pinggang.

10 minutes later......

Ladies and gentlemen, we have landed at Semporna Bus Terminal. Thank you for travel with us and we hope you will travel with us soon. Have a nice day!











Posted using BlogPress from My iPad's

Location:Semporna,Malaysia

Generasi Multi-tasking...

Saya memulakan catatan ini lebih 15 minit yang baru lalu, dalam perjalanan kembali ke Seri Ilham. Rehat hampir setengah jam di restoran yang menjadi stesen transit Manis Ekspres dihabiskan dengan 'mengumpul tenaga' untuk lebihan tempoh perjalanan fasa kedua. Sembang dengan teman mengenai beberapa topik. Antara yang menarik perhatian saya adalah fakta keberanian orang-orang terdahulu dan bagaimana generasi ini menjunjung nilai, maruah dan harga diri.

Keberanian orang-orang ketika itu untuk belayar merentasi lautan lepas menuju ke kepulauan selatan Filipina dengan menjadikan bulan dan bintang sebagai alatan navigasi utama mereka, memang luar biasa. Tentunya pelayaran ketika itu ada tujuan-tujuan spesifik. Selain aktiviti perdagangan dan perhubungan sosial, pelayaran itu juga bagi tujuan pendidikan khususnya ilmu agama. Anugerah imam, khatib dan bilal yang pada masa itu adalah berstatus pembesar diberikan oleh kesultanan sulu. Orang yang berpergian untuk berguru dan selepas itu dianugerahkan gelaran berstatus pembesar seolah-olah replika kepada konsep penganugerahan ijazah pada masa ini. Demikian konsep pelayaran pada masa itu adalah replika kepada konsep berpergian ke bandar besar seperti Kota Kinabalu dan Kuala Lumpur yang berlaku pada hari ini.


Saya juga masih mengingati bagaimana majlis kenduri kendara dan majlis perkahwinan dan persandingan pada ketika itu adalah medan yang akan mempertemukan para pembesar setempat. Setiap kampung akan diundang ke majlis tersebut. Ketua Kampung yang diberikan status panglima akan diberi layanan dan sambutan istimewa manifestasi penghormatan terhadap tetamu yang diundang. Semasa upacara persandingan, setiap pembesar ini akan menyediakan wakil untuk pelbagai acara sepanjang majlis itu. Andai tiada wakil, ia akan memberi kesan kepada maruah dan penghormatan.

Saya tertarik membicarakan perkara ini kerana setiap yang berlaku pada zaman itu....ada sinonimnya dengan aktiviti masyarakat pada hari ini. Evolusi yang berlaku tidak dapat dihalang daripada berlaku, lantaran keperluan masyarakat hari ini sudah jauh berbeza berbanding keperluan masyarakat zaman itu. Lantas, bagi kita warga tua dan generasi transisi yang akan beranjak ke era ICT hampir dalam setiap ruang lingkup kehidupan wajar mempunyai dimensi fikiran positif menghadapi perubahan keperluan dan zaman.

Benar kata sifu, jika kita kekal dengan pendekatan lama dalam mendidik generasi siber hari ini.....seolah-olah kita memberikan ilmu dan persediaan yang tidakpun generasi ini gunakan dalam kehidupan dewasa mereka 10 atau 20 tahun akan datang. Bukankah lebih bijaksana jika kita memberikan sesuatu didikan dan nilai yang akan berguna atau diperlukan oleh generasi siber. Maknanya, kita harus beranjak dalam kapasiti yang besar untuk melakukan tranformasi. Tindakan segera diperlukan kerana kepantasan generasi siber menguasai sesuatu bidang sentiasa mengejar inisiatif yang sedang diusahakan oleh generasi transisi ini.

Benarlah bahawa generasi multi-tasking ini memerlukan reformasi dalam cara dan pendekatan malah kandungan perisian yang akan diinstalasikan kepada mereka. Tepat sungguh bahawa anak-anak yang dilahirkan hari ini adalah anak-anak yang dilahirkan untuk hidup pada zaman yang sama sekali berbeza dengan zaman kita!

( Catatan dilakukan dalam perjalanan dari Beluran ke Kunak )

Posted using BlogPress from My iPad's

Location:Batu 32, Checkpoint Sandakan.

Sunday, June 12, 2011

It's Final Journey....




Selamat tinggal Kota Kinabalu!. Setelah berada disini selama 2 hari, Insya-Allah...esok akan berada di pangkalan hadapan......Seri Ilham. Sepanjang berada disini...berdiskusi bersama dengan teman-teman dengan kehadiran sifu tentunya tidak pulang dengan tangan kosong. Selain kandungan diskusi yang akan saya perkatakan kemudian nanti... ilmu ICT turut bertambah. Saya turut teruja dengan penemuan pointer yang juga diperolehi dalam sesi diskusi kali ini. It's the amazing finding on this journey!. Memang tepatlah.....perjalanan kali ini dinamakan Knowledge Mission, yang akan ditamatkan, insya-Allah menjelang hari esok!.

Posted using BlogPress from My iPad's

Location:Terminal Bas Luar Kota Kinabalu, Jalan Undan,Kota Kinabalu

Santai Ahad.....

Kesempatan hujung minggu diisi dengan berpergian bersama-sama teman diskusi ke lokasi pencil dan terasing, Salut Seafood Restaurant. Saya merasakan minggu kedua cuti sekolah pada kali ini 'sangat produktif' atas beberapa perkara. Antaranya aktiviti blogging yang nampaknya lancar dengan ciri-ciri baru blogpress. Siapa sangka.....setakat 12 haribulan, entri saya sudah melewati 30 posts. Mungkin pada orang lain pencapaian itu tidaklah seberapa atau tiada makna apa-apa....namun pada saya ia adalah pencapaian yang agak luar biasa.

Mana tidaknya, sepanjang berada di Maliau, tiada kesempatan yang saya biarkan berlalu tanpa blog. Malah dalam label journey saya....rasanya trip ke Maliau inilah yang paling terperinci catatannya. Lebih dari itu, tiada rasa penat yang menghambat....sungguhpun keletihan nampaknya mula menagih rehat dan rasa santai. Perjalanan dari hari jumaat bermula dari Maliau ke Semporna, dan kemudian menyambungnya ke Kota Kinabalu.....adalah pencapaian peribadi yang luar biasa pada saya. Benarlah kata teman-teman diskusi....rasa seronok sepanjang perjalanan panjang ini menjadikan trip ini benar-benar bertenaga dan bermakna.

Ok....nak makan dulu!. Udang dan ketam menunggu untuk diratah. Jom!.

Posted using BlogPress from My iPad's

Selamat Berjuang.....Kakak!

Baru sebentar tadi saya menerima panggilan telefon dari isteri di Semporna, memberi tahu kakak akan bertolak sebentar lagi untuk pulang ke sekolahnya. Saya sayu....kerana dalam kepayahan macam manapun, saya sentiasa berkesanggupan untuk menghantar sendiri kakak balik ke sekolahnya. Lebih dari itu, setiap kali menghantar kakak saya sentiasa memberikan pelukkan sayang, tetapi nampaknya tidak pada kali ini. Sungguhpun keadaan ini jarang berlaku......cuma saya cuba menyelami perasaan kakak, adakah kakak 'bersetuju' dengan keadaan ini. Saya tidak pasti....dan saya tidak akan bertanyakannya sendiri kepada kakak.



Sebagai ayah....tentu sahaja ini menjadi tanggungjawab saya. Tetapi, rasanya satu nilai yang saya ingin anak-anak saya perlu pelajari adalah ilmu dan kemahiran berdikari. Nilai ini bukan sahaja menjadikan mereka individu yang boleh berdiri sendiri, tetapi paling penting pada hemat saya .....kemahiran dan nilai inilah yang menjadikan mereka insan yang berguna dan bermanfaat kepada diri dan sekelilingnya. Benarlah kata pepatah, sayangkan anak tangan-tangankan, sayangkan isteri tinggal-tinggalkan!.

Diskusi ringkas bersama Sifu ada benarnya. Sistem pendidikan di rumah dan di sekolah tentu sahaja sangat berbeza dari pelbagai segi. Mengambil kira silibus sahaja sudah cukup untuk membuat perbandingan. Di sekolah, ada silibus yang telah ditetapkan. Lantas ujian-ujian dan pengukuran boleh dilaksanakan kerana ada kandungan tetap yang boleh dinilai. Berbeza dengan pendidikan di rumah, silibusnya ialah proses dan contoh teladan yang anak-anak perolehi di rumah. Tanpa sukatan tetap, proses yang berlaku adalah bab demi bab yang sentiasa berlaku dan boleh jadi bab itu berubah serta merta.

Seorang ibu yang memasak di rumah adalah antara bab yang wajib berlaku. Daripada proses memotong bawang, menyediakan ramuan, memasak dengan sukatan tertentu hinggalah akhirnya proses makan adalah silibus yang hanya boleh 'diajarkan' melalui proses bukan tutorial dan teori. Bayangkan sahaja sukarnya mengajarkan bab memasak jika kita menggunakan 'sistem sekolah' untuk menyampaikannya kepada anak-anak. Lantas, jelas bahawa proses yang berlaku di sepanjang kehidupan kita anak-beranak di rumah adalah silibus yang sedang anak-anak kita tekuni. Disinilah kewajaran, mengapa kita ibubapa mereka mesti sentiasa mempamerkan contoh teladan yang baik.....kerana setiap inci perlakuan kita adalah silibus kepada pendidikan anak-anak di rumah.

Saya hanya berharap, sepeninggalan saya dari rumah pada hari jumaat yang lalu...anak-anak mengetahui tujuan perjalanan saya dan dalam masa yang sama juga mengharapkan mereka melihat situasi ini sebagai sebahagian daripada silibus yang mereka pelajari!. Ya....Allah...berikanlah aku kekuatan untuk melaksanakan tanggungjawab ini. Semoga Allah sentiasa memberikan perlindungan. Ameeen.

Kakak, Selamat kembali ke sekolah, selamat kembali bertugas. Doa ayah sentiasa mengiringi setiap usahamu! Ayah sentiasa yakin....kakak boleh melakukan yang terbaik untuk diri! Rindu selalu!.

( Dedikasi untuk anak-anak yang ditinggalkan... )

Posted using BlogPress from My iPad's

Location:Lorong 16, Taman Putera Jaya, Kota Kinabalu.

Makna kesenangan!

Suasana pagi Kota Kinabalu hari ini agak tenang, setenang hiruk pikuk kenderaan yang kurang kedengaran mungkin kerana pada pagi ahad sebegini orang mengambil kesempatan untuk berehat bersama keluarga dan menjauhi rutin harian kerjaya. Namun, kota tetap kota!. Setiap ruang lingkup kehidupan dikota ada harganya. Tinggal lagi.....bagaimana tafsiran kita tentang harga. Tentunya kita mempunyai sudut pandang masing-masing.



Seharian berjalan dikota pada hari kelmarin, mendorong saya menukilkan sesuatu sebagai catatan harian. Saya berniat untuk mencoretkannya semalam sekembali dari perjalanan panjang itu. Tetapi kondisi badan tidak mengizinkan saya 'melampiaskan' sudut penglihatan saya lewat catatan sebegini. Seusai sesi pertemuan dengan teman-teman, saya memilih untuk ditinggalkan di Centrepoint, maka bermulalah 'perjalanan' panjang saya menelusuri bandaraya Kota Kinabalu berjalan kaki.

Saya mengamati suasana orang yang lalu lalang di pusat membeli belah tak sudah-sudah. Lagaknya seolah kelihatan tiada lagi hari esok, dan segalanya mesti disudahkan hari ini!. Orang ramai berpusu-pusu ke setiap pelusuk 'entah' apa sahaja urusan yang mereka lakukan. Menjelang waktu urusniaga hendak berakhirpun kelihatannya masih ramai orang yang bergegas dan bergerak pantas menyudahkan tugasan masing-masing. Saya bermonolog seketika, agaknya beginilah kesukaran untuk menguruskan sekelompok manusia yang memiliki variasi ragam dan karenah yang pelbagai.



Terdetik dalam pemikiran saya, sebab itulah agaknya, tidak mudah menguruskan manusia. Dalam konteks sekolah, bukan mudah bagi seorang pemimpin sekolah atau pengetua mengendalikan guru-guru, staf, pelajar dann sekolah itu sendiri. Saya membuat resolusi sendiri, berperananlah membantu 'memudahkan' tugasan pengetua.....tentu sahaja bukan dengan mengambil alih tugasnya, tetapi memastikan diri kita sebagai salah seorang daripada 'unsur' dalam organisasi itu berperanan dengan 'kapasiti' sepatutnya.

Selepas mengunjungi beberapa kedai barangan, saya mengambil keputusan untuk beralih ke destinasi lain, 1B tentunya. Oleh kerana telah berada berhampiran Wisma Merdeka, saya memilih untuk menaiki City Bus. Bukan mudah untuk saya bergerak menaiki kenderaan awam ini. Apatah lagi dengan sistem yang tidak diketahui. Pengalaman bertanya dengan seorang untuk mendapatkan 'direction' yang baik, juga kurang kebolehpercayaannya. Berbeza dan kurang tepat. Akhirnya, kerana sudah kepenatan, menunggu City Bus....untuk pergi ke Terminal Bas Kota Kinabalu. Dan sekali lagi saya terpaksa menaiki bas untuk ke 1B. Sudahlah, bersesak, berdiri pula tu......

Saya terfikir seketika, agaknya saya untung atau rugi kerana untuk tempoh yang telah saya lalui, terasa saya kehilangan inisiatif dan ikhtiar hidup lantaran kesenangan hidup pada hari ini. Tentunya berjalan menaiki kereta ada bezanya berbanding menaiki bas awam. Saya tidak membicarakan perkara lain.....secara khusus saya terasa sudah kehilangan 'ability' itu. Lantas, kesenangan yang dinikmati hari ini......rupanya menghilangkan kemahiran hidup saya...... Agaknya....apakah makna kesenangan?

Posted using BlogPress from My iPad's

Location:Jalan Tun Razak,Kota Kinabalu,Malaysia