Saturday, May 22, 2010

Replika hidup.....

Malam ini sekali lagi dalam tempoh seminggu, gangguan bekalan elektrik berlaku di kampung saya. Kelihatannya mengambil masa yang agak lama untuk pulih. Catatan ini dicoretkan pada hamparan elektronik, Microsoft Word. Nasib baik bateri laptop masih ada tersisa 64%. Saya ligat memikirkan apakah yang perlu saya lakukan pada ketika begini. Dengan suara rengekkan anak-anak yang silih berganti, manifestasi ketidak-selesaan anak-anak mengadapi suasana ini, saya bingkas menatap skrin komputer riba ini dan menukilkan sesuatu.

Simbahan sinaran bulan separuh penuh sedikit mengusik ingatan saya pada pelbagai pengalaman silam. Terlintas difikiran, baik juga gangguan bekalan elektrik ini!. Setelah sekian lama hidup dengan pelbagai kemudahan elektrik, malam ini seperti sengaja ‘menggoda’ saya menyelusuri semula jejak-jejak silam yang pernah saya lalui. Suasana malam ini seolah-olah........biar aku sahajalah yang tahu !

Dahulu, pada ketika jam 11.30 malam seperti ini, anak-anak kecil seperti saya ketika itu, sudahpun lena dibuai mimpi. Suasana malam sangat menggalakkan anak-anak kecil untuk tidur awal. Mungkin disebabkan penat setelah siangnya tadi dihabiskan dengan pelbagai jenis permainan. Seawal pagi lagi sehabis sahaja bersarapan dengan berkaki ayam sudah pergi ke rumah jiran untuk mengajak bermain. Apa jenis permainan tidak pernah dirancang teliti. Tetapi ‘persefahaman’ dicapai untuk bermain apa pagi itu, maka segala persiapan diatur selepas itu.

Jika permainan pada pagi itu disertai sama oleh kakak-kakak, maka alamat permainan masak-masaklah yang akan berlaku pada pagi itu. Kebiasaanya, abang-abang akan menyediakan ‘rumah-rumah’ yang selalunya didirikan dibawah pokok kelapa atau pokok mangga. Manakala kakak-kakak pula bertugas menyediakan segala peralatan memasak. Kami adik-adiklah yang selalunya menjadi mangsa untuk mengambil bahan masakan dari rumah masing-masing. Kami, adik-adik selalunya akan ditugaskan mengambil ubi kayu, beras, gula, kopi atau teh, minyak masak, ikan masin dan tidak lupa minyak tanah yang digunakan untuk menyalakan api.

Tidak disedari, rupanya tugasan yang kami buat adalah strategi para abang-abang dan kakak-kakak. Sekiranya semasa kami menjalankan tugasan disedari oleh ibu-ibu kami, alamat kamilah yang kena batang penyapu oleh ibu-ibu kami. Manakala abang-abang dan kakak-kakak ‘meloloskan diri’ tidak mengaku menyuruh kami mengambil barang makanan untuk permainan masak-masak itu. Jika kami berjaya mendapatkan barangan yang ditugaskan, alamat jadilah permainan masak-masak itu. Sebaliknya, jika kami ‘kedapatan’ alamat akan bertukarlah permainan pada pagi itu.

Demikian antara babak kehidupan yang pernah saya lalui. Suatu yang sangat saya hargai, pengalaman kreatif kanak-kanak pada ketika itu membuat dan memilih permainan dalam keadaan serba-serbi kekurangan. Permainan yang dipilih kelihatan seperti replika kehidupan harian dalam versi kanak-kanak. Tidak heran rasanya mengapa generasi masa itu, yang telah dewasa kini cukup menghargai ‘keperitan’ hidup yang dilalui, lantas bersungguh-sungguh semasa melalui zaman persekolahan. Walaupun tidaklah direncana seteliti itu, mencipta keseronokan dan kegembiraan seadanya namun masih mampu berjaya, walau dengan 1001 jenis kekurangan.

Suatu ketika dahulu....

Pernah pada suatu pagi, lebih 30 tahun yang lalu, saya dan abang berjalan pergi ke sekolah untuk kelas tambahan kononnya. Sekolah terletak lebih kurang 10 minit berjalan kaki ke kawasan daratan. Rumah saya di kampung yang terletak di muara sungai berhampiran dengan kawasan laut yang menjadi laluan utama ke Tawau pada ketika itu. Alasan Kelas tambahan inilah yang sering digunakan kerana ia adalah antara alasan yang tidak akan melalui proses siasatan lanjut oleh ibu. Ibu memberi kepercayaan penuh kepada anak-anaknya, asalkan sahaja alasannnya untuk pergi ke sekolah.

Pagi itu sebenarnya bukan hendak ke kelas tambahan sekolahpun. Kelas tambahan sememangnya tiada. Saya dan abang pergi ke sekolah pagi sabtu itu adalah semata-mata untuk bermain. Sesampai sahaja di sekolah, kebiasaanya abanglah yang memberi arahan ‘logistik’ di mana dan bila berjumpa apabila hendak pulang nanti. Sehabis arahan itu difahami, abang pergi dengan rakan-rakan sekelasnya dan saya pula pergi dengan rakan-rakan sekelas saya.

Pertemuan dengan rakan-rakan sekelas kebiasaanya bermula dengan cerita tv malam tadi. Cerita koboi ‘The Lone Ranger’ adalah antara yang popular pada masa itu. Salah seorang rakan sekelas saya mempunyai televisyen. Rumahnya sahajalah satu-satunya di kampung saya yang mempunyai peti televisyen. Teman inilah yang menjadi tukang lipur lara moden berdasarkan skrip cerita di televisyen malam tadi. Sebab itu jugalah teman ini sering menjadi tumpuan rakan-rakan sekelas saya. Bukan sebab dia baik sangat, tetapi untuk mendapatkan ‘privilage’ atau keistimewaan apabila menonton tv ke rumahnya nanti. Suatu yang pasti, rakan yang tidak ‘sebulu’ dengan teman ini, pasti akan kempunan menonton tv...sehinggalah dia ‘bertaubat’ dan memulihkan hubungan dengan teman yang mempunyai peti televisyen itu tadi.

Pernah suatu ketika, kami bermain bola di padang sekolah. Kebiasaanya teman-teman lelaki sekelas saya akan dibahagikan kepada dua kumpulan. Taruhan permainan bola sepak ini adalah susu coklat yang dibahagikan kepada setiap pelajar pada setiap hari selasa dan khamis setiap minggu. Pasukan yang kalah akan diambil susu coklatnya. Maka perlawananpun bermula. Jika yang kalah itu adalah pasukan teman yang mempunyai televisyen dirumahnya. Selalunya taruhan itu akan diabaikan, dan yang menang itupun tida berani menuntut taruhan susu coklat kerana bimbang hilang ‘kelayakan’ menonton televisyen kelak!. Tapi jika sebaliknya, yang kalah akan menerima padah hilang ‘kelayakan’ menonton televisyen jika mengingkari taruhan permainan bola sepak tersebut.

Pengalaman ini benar pada ketika itu, tetapi mengasak sedikit soal prinsip jika ia dibicarakan pada usia kita kini. Sungguhpun ia kisah yang penuh nostalgik untuk dikenang, tetapi tanpa sedar, saya ‘mempelajari’ kenangan itu dengan penuh makna kini. Kita hendak yang bagaimana?

Friday, May 21, 2010

Sayangi Bumi Kita....

Ketika catatan ini dinukilkan, saya sedang duduk menunggu kereta, myvios, yang diselenggara di Toyota Service Tawau. Sebelum mengha
dap screen myMac, saya sempat duduk dan 'melihat-lihat' teknologi dan kecanggihan kereta hibrid Toyota
yang sedang dipamerkan, Toyota Prius. Tengok harga sahajapun sudah tahu teknologi yang dipadankan pada kereta sedan yang mencetuskan kegemparan dunia beberapa bulan lalu, kerana terpaksa ditarik balik dari pasaran kerana beberapa masalah teknologi.

Walau apapun imejnya, Prius telah mencetuskan satu evolusi baru dalam teknologi permotoran di Malaysia. Teknologi hibrid yang diwar-warkan sangat 'mesra alam' ini bakal mendominasi jalan raya di Malaysia beberapa ketika akan datang, apatah lagi dengan 'ikrar' inisiatif Proton yang sedang membangunkan teknologi ini ( jika benar apa yang saya dengar dari orang kuat Proton beberapa bulan yang lalu ). Tapi itu.....saya tak berapa kisah !

Perkembangan ini sudah tentunya mengundang beberapa impikasi
, walaupun muungkin penggunaan hanya akan merata beberapa tahun akan datang. Persoalan menangani 'kemusnahan' alam sekitar atau lebih tepat lagi 'bumi' kita ini adalah satu agenda yang sangat murni. Cetusan daripada inisiatif menangani isu bumi inilah antara yang membawa kepada penciptaan teknologi hibrid ini. Namun dikala kita membicarakan soal 'pemanasan global' dan 'pencairan ais di kutub utara' dan pelbagai lagi simptom kemusnahan bumi, berapa ramai dikalangan kita yang mengambil peduli hal ini.
Apa kala kita berniat menggunakan teknologi hibrid untuk kelestarian alam ini, kos yang perlu kita tanggung juga bukan sedikit. Lantas, kita jangan lupa untuk menggunakan pendekatan yang ekonomik, asli dan natural. Bukankah lebih kekal lama dan ekonomik jika kita mengajar anak-anak kita untuk menyayangi 'alam' yang kita huni ini. Ajar mereka cara untuk mendepani kemusnahan alam sekitar dengan pendekatan-pendekatan yang lebih ekonomik dan praktikal dan termampu mereka lakukan.

Saya terkesan isu ini, dengan beberapa inisiatif yang terpaksa diambil pihak berwajib untuk mendidik masyarakat menyayangi bumi ini, sekurang-kurangnya dipersekitaran rumah kita sendiri. Bagaimana mungkin kita 'mewariskan' planet biru ini untuk menjadi tempat tinggal generasi akan datang.....sama-sama kita fikirkan. Salah satunya, asingkan sampah-sarap kita untuk memudahkan 'proses kitar semula' dijalankan. Mudah saja........

Big Mystery: Jupiter Loses a Stripe

Misteri kehilangan tali pinggang atau gelang yang melingkari planet ini cukup mengujakan!. Gambar yang dirakam oleh astronomi dari Australia, Anthony Wesley, ini menimbulkan pelbagai tanda tanya kemana menghilangnya 'gelang' berkenaan dan apakah yang berlaku di planet yang dipenuhi gas ini. Adakah gelang itu telah 'terkumpul' ataukah ia benar-benar hilang.!. Planet ini cukup menggamit rasa ingin tahu yang amat sangat. Apa yang berlaku disana ?. Cerita lanjut dapatkan di laman ini.

Thursday, May 6, 2010

Bintang...oh bintang!

Semalam saya mengambil kesempatan untuk mengambil gambar keindahan jutaan bintang di langit tentunya dengan ilmu yang baru diperolehi dari Dr. Mustapha. Kebetulan juga semalam adalah jadual untuk saya bermain badminton. Tetapi sebelum turun dari rumah, bekalan elektrik ke kampung saya terputus, dan kelihatan agak lama untuk pulih. Lantas, saya mengambil kesempatan mendongak ke langit dan sedikit teruja dengan hiasan jutaan bintang di angkasa. Benar kata Dr. rupanya suasana gelap gelita beginilah yang paling baik untuk kita mencerap pelbagai misteri yang ada di langit yang terhampar luas itu.
Lantas saya bingkas mengambil Canon 1000D dan Manfrotto NGC saya dan memilih lokasi 'open shoot' saya. Sekadar permulaan, untuk menggunakan ilmu yang telah dipelajari disamping meningkatkan kemahiran mengoperasikan peralatan yang selama ini tidak diketahui kelebihannya. .......dan inilah antara gambar-gambar yang berjaya saya rakamkan, hiasan bintang yang cukup mengujakan!. Let's feel it!




Wednesday, May 5, 2010

Gerhana Zuhrah !


Kandungan entry laman ini dipetik daripada Laman Falak Online, tentang gerhana Zuhrah pada 16 Mei 2010 ini.

Kejadian ini berlaku kerana Bulan sebenarnya sedang bergerak perlahan-lahan ke Timur, secara relatif dengan bintang-bintang di langit. Kebetulan di Malaysia, pada waktu tersebut, Zuhrah betul-betul berada pada kedudukan laluan Bulan.

Kemudian, lebih kurang 1 jam kemudian, iaitu pada pukul 8.33 PM, Bulan sudah bergerak agak jauh ke timur, dan mula menampakkan kembali planet Zuhrah. Kali ini ia muncul di bahagian bawah Bulan pula.

Proses ini secara jelas menunjukkan kepada kita bahawa Bulan sememangnya sentiasa bergerak ke timur, walaupun jauh lebih perlahan jika dibandingkan pergerakannya menuju ke ufuk barat (akibat dari putaran Bumi), namun ia tetap berlaku.

Kejadian ini berlaku kerana Bulan sebenarnya sedang bergerak perlahan-lahan ke Timur, secara relatif dengan bintang-bintang di langit. Kebetulan di Malaysia, pada waktu tersebut, Zuhrah betul-betul berada pada kedudukan laluan Bulan.


Demikian antara lain kandungan artikel Falak Online. Apa yang berlaku sebenarnya....dapatkan maklumat lanjut di sini?



Tuesday, May 4, 2010

Galaksi....


Explanation: Some spiral galaxies are seen almost sideways. NGC 3190, one such galaxy, is the largest member of the Hickson 44 Group, one of the nearer groups of galaxies to our own Local Group of galaxies. Pictured above, finely textured dust lanes surround the brightly glowing center of this picturesque spiral. Gravitational tidal interactions with other members of its group have likely caused the spiral arms of NGC 3190 to appear asymmetric around the center, while the galactic disk also appears warped. NGC 3190 spans about 75,000 light years across and is visible with a small telescope toward the constellation of the Lion (Leo).

Source : Astronomy Picture

Monday, May 3, 2010

Aktiviti Mencerap Langit!




Slideshow yang dipaparkan Dr. Mustapha, Puskal, Ranau rasanya cukup informatif. Dr. memulakan ‘talkshow’ malam tadi dimulakan dengan persoalan ‘How big our planetary?’. Gambaran yang Dr. berikan dengan slideshow dan perbandingan antara setiap planet termasuk planet kita, bumi menjadikan semua hadirin teruja mengikuti penerangannya.

Bayangkan sahaja, apabila semua planet disusun secara berbaris lurus mengikut saiz daripada kecil sehinggalah yang bersaiz besar, bumi kita hilang dari pandangan dek kerana terlalu kecil dibandingkan dengan matahari.

Begitu besarnya matahari itupun, apabila pula dibandingkan dengan bintang lain seperti Ceres, Rigel dan lain-lain (lupa sudah….), begitu kecilnya pula bintang matahari kita!.

Apa yang cukup menarik perhatian saya, setiap kali Dr. menayangkan objek atau gambar planet di slide, dengan menggunakan laser pointer menunjuk pula ke angkasa lepas lokasi dan kedudukan planet-planet dan bintang yang sedang dibincangkan! Benar-benar seperti berada di dalam bilik darjah yang mengandungi pelbagai bahan bantu yang hanya ditunjukkan di angkasa!.

Terasa kerdilnya kita dengan ciptaan tuhan yang maha esa ini!.

Selesai talkshow, saya mengambil kesempatan untuk bertanya dan berguru sebanyak mungkin tentang planet, teleskop dan kamera untuk meningkatkan kemahiran saya menekuni bidang penuh misteri ini.

Kembara saya ke Karnival Pendidikan Sains ini rasanya cukup berbaloi kerana Dr. memberikan saya beberapa tips dan petua berguna dan lebih penting lagi saya ditunjukkan potensi dan kegunaan kamera saya yang rasanya tidak begitu maksima saya gunakan. Antara yang berjaya saya rakamkan adalah gambar angkasa dengan warna penuh yang menunjukkan kedudukan planet Zuhal. Dengan bantuan teleskop Celestron Nexstar, sempat juga kami merakamkan planet Zuhal sungguhpun dengan gambar yang kurang jelas dan terang! Terima kasih Dr. atas ilmu yang cukup berguna itu!. Malam nanti mencerap lagi!.

Nota : Catatan ini sepatutnya diapungkan pada malam ahad yang baru lalu.

Wow...brilliant Robo!



Artikel ini saya perolehi dari Laman Falak Online dengan tajuk R2 D2 di ISS,
Saya pernah bertanya, agak-agaknya bila masanya robot akan mula melakukan kerja-kerja di angkasalepas, terutama di persekitaran orbit bumi. Jangan cerita berkenaan kejayaan robot Spirit dan Opportunity yang sedang merayap-rayap di planet Marikh, kerana itu merupakan satu kehebatan teknologi yang menakjubkan. Angkasa lepas, bagi saya tempat yang begitu banyak risiko terutama untuk manusia.
Kemudian, baru-baru ini NASA telahpun membuat langkah pertama. Mereka bersama-sama dengan General Motors, telah merekacipta sebuah robot berbentuk humanoid yang diberi nama Robonaut-2 , atau R2.
Menarik sekali, kerana sebaik sahaja penghantaran dilakukan ke ISS pada bulan Sep 2010 nanti, krew-krew di ISS akan ada teman sebilik yang baru, tetapi kali ini bukan manusia..tetapi sebuah robot.
Maklumat seterusnya dari NASA menyatakan R2 akan melakukan kerja-kerja rutin, seperti penyelenggaraan. Ia akan memberi peluang kepada krew ISS melakukan tugasan yang lebih rumit dan membiarkan tugasan yang mudah kepada R2.
Satu perkara yang menarik perhatian saya ialah kemampuan R2 ini yang dikatakan boleh melihat objek, merasa keadaan sekeliling dan melakukan adaptasi penyesuaian! Kawalan R2 sebenarnya turut akan dipantau dari bumi. Kawalan ini hampir kepada masa-nyata, yang mana hanya ada kelewatan 2-6 saat sahaja untuk video dari ISS sampai ke bumi.
Lebih banyak info boleh didapati di sini.
Mungkin suatu hari nanti, ISS akan dipenuhi oleh R2, yang akan dikawal secara jauh oleh manusia di bumi. Tapi tak syoklah, pasal tak ada peluang nak jadi angkasawan pulak masa itu!

Sumber & Foto Kredit: NASA