Petang kelmarin, lebih kurang jam 1.30 petang saya berkesempatan berbual bicara dengan anak-
anak pelajar Tingkatan 6 ( sebahagiannya bakal menduduki STPM hujung bulan ini ) di SMK. Bugaya. Program anjuran bersama sekolah berkenaan dan JHEAINS Semporna pada saya cukup signifikan dengan senario masa kini yang memerlukan 'formula' penyelesaian yang bukan sahaja mujarab tetapi juga bertindak balas dengan 'cepat' dan 'segera' terhadap pelbagai kegagalan dan kerosakan sosial yang melanda masyarakat Malaysia kini.
Sedapat mungkin, Seminar Kecemerlangan Insan 2010 ini saya cuba tempatan kan isu dan perspektifnya agar sesuai dan realistik dengan keadaan setempat. Beberapa sudut pandang saya berikan penegasan. Pertamanya, saya mengajak anak-anak pelajar ini untuk menggunakan 'kelebihan' memiliki akal fikiran. Saya tegaskan betapa, fungsi 'berfikir' pada komponen badan manusia ini adalah antara bahagian yang paling jarang digunakan...berbanding perut dan mulut, selain kaki dan tangan kita serta bahagian anggota badan yang lain.
Keduanya, saya tegaskan juga kecenderungan yang ada pada manusia untuk mudah meniru perkara yang tidak baik, tetapi kelihatan amat sukar untuk meniru dan melakukan perbuatan yang baik. Saya ambil contoh, mudahnya pelajar meniru guru atau ayahnya merokok, tetapi amat payah untuk meniru perbuatan baik yang dibuat ayah atau gurunya.
Saya berikan tumpuan khusus untuk memberikan perspektif alternatif dan berbeza daripada kebiasaan kerana kelihatannya amat kurang apresiasi diberikan kepada pemupukan nilai dan budaya ilmu yang, pada hemat saya, amat mendasar keperluannya kepada kehendak dan keperluan manusia masa kini, khususnya dalam masyarakat disini.
Semudah senyum dan menghormati ibu ayah, guru dan orang yang lebih tua daripada kita, mengapa harus nilai ini sudah semakin luntur kini.......demikian persoalan saya lontarkan kepada peserta-peserta seminar pada kali ini. Tentu sahaja kerjasama pintar dan erat antara dua organisasi masyarakat menganjurkan program sebegini harus diraikan dan ddiberikan galakan. Terima kasih saya utuskan kepada pihak-pihak yang berkenaan.
No comments:
Post a Comment