Monday, November 29, 2010

Set Nilai......

Semalam saya berkesempatan menghadiri suatu program yang berupa pengisian untuk beberapa insan terpilih yang melibatkan diri dalam bidang keusahawanan. Dari seorang pakcik yang bermodalkan sepasang kambing di tanah tidak bergeran sehinggalah kepada seorang anak muda yang sedang menunggu keputusan peperiksaan PMR, mempamer riak wajah bersungguh-sungguh ingin menjayakan matlamat diri masing-masing ( sekurang-kurangnya terserlah pada penyertaan mereka dalam program ini ).

Tentu sahaja antara elemen yang mesti dibicarakan dalam program seumpama ini adalah soal nilai. Kefahaman umum seolah-olah cenderung untuk mengenalpasti set-set nilai tertentu untuk bidang-bidang tertentu. Kalangan kita cenderung mengenalpasti mana satu set nilai yang digunakan untuk menjadi seorang usahawan. Set nilai untuk menjadi seorang guru. Set nilai untuk menjadi seorang ayah dan ibu. Set nilai untuk menjadi pemain bola sepak, petani dan sebagainya.

Pada hemat saya, nilai-nilai yang dianjurkan dalam kehidupan manusia sememangnya bersifat sarwajagat. Nilai-nilai sarwajagat ini tidak terhad kepada batasan jenis profesion atau kerjaya, malah melampaui batasan agama dan etnik. Tiada nilai yang saling bercanggahan untuk diamalkan, tanpa mengira apapun kerjaya, agama dan bangsa kita. Nilai-nilai universal inilah yang seharusnya dianjurkan untuk sentiasa diamalkan, walau apapun keadaan dan penglibatan kita dalam mana-mana profesion.

Adalah sesuatu yang agak canggung jika berlaku penggunaan set nilai tertentu untuk profesion tertentu. Seolah-olah memakai baju untuk majlis tertentu. Apabila ke majlis yang bercorak agama, maka pemakaian adalah yang bersesuaian dengan majlis tersebut. Tentulah agak janggal jika kita berpakaian sukan ke majlis bercorak keagamaan, sungguhpun ianya bukanlah sesuatu yang berstatus haram. Pemakaian untuk majlis atau peristiwa tertentu adalah semudah kita menukarkan fesyen pakaian kita mengikut situasi majlis yang kita hadiri.

Tetapi tidak pada set nilai untuk profesion tertentu. Pada hemat saya, untuk menjadi seorang usahawan berjaya ( atau apa-apa sahaja profesion! ), semua nilai-nilai murni itu adalah sama penting dan berguna. Nilai rajin adalah relevan untuk semua profesion, tidak terhad kepada kerjaya keusahawanan sahaja. Demikian nilai amanah, juga merentas kesemua jenis kerjaya. Nilai berdikari, jujur, berhemah tinggi, setia, cekal, tekun dan tabah, dan pelbagai nilai lainnya tetap ada relevansinya dengan mana-mana profesion.

Lantas, saya membuat penegasan dalam program ini, asal sahaja kita manusia normal yang berupaya mengamalkan kesemua nilai-nilai murni, maka kita boleh menjadi apapun….. kerana ianya fitrah manusia yang dipadankan dengan nilai dan unsur yang baik. Tidak akan berlaku percanggahan dan konflik nilai walau apapun profesion kita. Jika berlakupun percanggahan dan konflik nilai, ianya mungkin terselit dalam soal tujuan dan matlamat kita mendapatkan sesuatu.

Contohnya, seorang pencuri atau penyamun, tentu sahaja berlaku konflik nilai kerana tujuan atau matlamatnya mencuri itu dihalalkannya lantaran kegagalannya mengotakan tujuan dan niat asal nilai-nilai murni dalam kehidupan manusia. Saya bersetuju, ada nilai-nilai tertentu yang perlu ditonjolkan dalam menjayakan sesuatu, tetapi tidaklah seperti kita menukarkan baju untuk ke majlis tertentu. Akal normal manusia tidak akan mengiyakan pembuangan nilai jujur oleh si penjual yang menipu timbangan barang jualannya, semata-mata hanya kerana set nilai itu perlu ada pada seorang usahawan dalam usahanya untuk berjaya sebagai usahawan berjaya!.

Kita fikirlah bersama……

No comments: