Bulan November berlalu pergi. Sebagaimana nada dan lenggok bahasa pujangga, tentu sahaja november 2010 ini berlalu dan tak akan kembali..... walau bagaimana sekalipun kita ingin mengembalikannya. Perginya....tentu sahaja memalitkan pelbagai peristiwa yang sarat dengan seribu satu kisah dan tafsiran.
Acapkali kita mendengar pelbagai celoteh daripada teman-teman dan sebagainya yang memperihalkan begitu cepatnya masa berlalu. Demikian berbeza 'pergerakan masa' itu dirasakan amat perlahan semasa kita masih di alam kanak-kanak dan zaman persekolahan. Dahulu terasa amatlah lamanya untuk menghabiskan tempoh setahun. Kini.....november berlalu, tetapi masih terasa seolah-olah baru semalam januari 2010 menjengah kita, dan kini menanti hitungan 31 hari untuk menutup episod 2010 menjadi lipatan sejarah.
Lantas, bagaimanakah kita menghadapi fenomena ini. Tanpa terlalu gusar dengan apa yang telah berlalu, dan tidak juga terlalu misteri untuk mendepani hari-hari mendatang, selayaknya kita lebih dewasa menghadapi hari mendatang. Selayaknya.......kerana sekurang-kurangnya kita telah mencuba yang terbaik mampu kita lakukan sepanjang tahun 2010 ini. Tunjukkan saya..... manusia yang tidak terlepas daripada melakukan kesilapan dan menempuh kegagalan. Ciri yang amat pasti dimiliki oleh setiap manusia pasca-Muhammad s.a.w.
Saya zahirkan coretan pendapat ini kerana ada insan yang meluahkan rasa hati.... bagaimana untuk menikmati kepuasan berkerjaya, jika asyik mengajar 'kelas hujung' yang anak muridnya adalah dari kalangan yang tidak mengenal huruf, jauh sekali menguasai kemahiran 3M sebagaimana anak murid biasa!. Secara berseloroh saya sepontan menjawab, "Cikgu berhadapan dengan anak murid yang tidak mengenal huruf inipun sebenarnya adalah satu bentuk kepuasan berkerjaya. Disitulah nikmatnya menjadi seorang guru".
Sebagai seorang guru, tentu sahaja tidak wajar untuk kita asyik berasa bersalah atas apa yang telah kita lakukan kepada anak murid kita. Saya tegaskan kepada rakan sekerjaya ini bahawa kita terperangkap oleh definisi kepuasan berkerjaya versi lama. Dahulu, kebanyakkan kita, malah membarah sehingga kepada masyarakat sivil berpersepsi bahawa seorang guru itu hanya dikira hebat apabila dia berjaya 'meluluskan' anak muridnya dalam peperiksaan awam yang didudukinya, tanpa kompromi!. Indikator utamanya adalah lulus peperiksaan!.
Kini, realitinya sudah jauh berbeza. Sungguhpun kemajuan teknologi telah mencetuskan pelbagai penemuan yang inovatif untuk meningkatkan keberkesanan proses 'memanusiakan' anak-anak murid, namun sumber manusia yang ada kelihatan tidak seiringan dengan perkembangan pesat dunia masa kini. Oleh itu, kejayaan kita mengisi nilai dan perspektif alternatif kepada seseorang murid juga seharusnya "dianggap" sebagai kepuasan berkerjaya. Tidak ramai kalangan kita yang melihat 'dimensi berbeza' sebagai satu bentuk kepuasan berkerjaya!.
Lantas, usah berjiwa kerdil!. Pada hemat saya, adalah lebih hebat jika kita berupaya menjelmakan anak murid yang mempunyai dukungan nilai dan perspektif yang segar, berbanding kejayaan menyediakan anak murid hanya untuk lulus peperiksaan!. Tentu sahaja kombinasi keduanya adalah jauh lebih baik. Wajar kita mengenang kisah lalu, untuk menentukan hala tuju baru hari esok!. Tetapi sangat tidak wajar untuk kita terus berjiwa kerdil 'menangisi' setiap inci ketidak-sempurnaan yang telah kita tinggalkan.......
Aku bangga menjadi seorang guru!. November 2011 tetap akan muncul semula......jika kita bersandar kepada realiti kita sebagai manusia biasa. Esok masih ada....untuk sesiapa sahaja yang ingin menjayakan hidupnya!.
No comments:
Post a Comment