Tuesday, November 30, 2010

Ah..ha....

November itu pergi.......

Bulan November berlalu pergi. Sebagaimana nada dan lenggok bahasa pujangga, tentu sahaja november 2010 ini berlalu dan tak akan kembali..... walau bagaimana sekalipun kita ingin mengembalikannya. Perginya....tentu sahaja memalitkan pelbagai peristiwa yang sarat dengan seribu satu kisah dan tafsiran.

Acapkali kita mendengar pelbagai celoteh daripada teman-teman dan sebagainya yang memperihalkan begitu cepatnya masa berlalu. Demikian berbeza 'pergerakan masa' itu dirasakan amat perlahan semasa kita masih di alam kanak-kanak dan zaman persekolahan. Dahulu terasa amatlah lamanya untuk menghabiskan tempoh setahun. Kini.....november berlalu, tetapi masih terasa seolah-olah baru semalam januari 2010 menjengah kita, dan kini menanti hitungan 31 hari untuk menutup episod 2010 menjadi lipatan sejarah.

Lantas, bagaimanakah kita menghadapi fenomena ini. Tanpa terlalu gusar dengan apa yang telah berlalu, dan tidak juga terlalu misteri untuk mendepani hari-hari mendatang, selayaknya kita lebih dewasa menghadapi hari mendatang. Selayaknya.......kerana sekurang-kurangnya kita telah mencuba yang terbaik mampu kita lakukan sepanjang tahun 2010 ini. Tunjukkan saya..... manusia yang tidak terlepas daripada melakukan kesilapan dan menempuh kegagalan. Ciri yang amat pasti dimiliki oleh setiap manusia pasca-Muhammad s.a.w.

Saya zahirkan coretan pendapat ini kerana ada insan yang meluahkan rasa hati.... bagaimana untuk menikmati kepuasan berkerjaya, jika asyik mengajar 'kelas hujung' yang anak muridnya adalah dari kalangan yang tidak mengenal huruf, jauh sekali menguasai kemahiran 3M sebagaimana anak murid biasa!. Secara berseloroh saya sepontan menjawab, "Cikgu berhadapan dengan anak murid yang tidak mengenal huruf inipun sebenarnya adalah satu bentuk kepuasan berkerjaya. Disitulah nikmatnya menjadi seorang guru".

Sebagai seorang guru, tentu sahaja tidak wajar untuk kita asyik berasa bersalah atas apa yang telah kita lakukan kepada anak murid kita. Saya tegaskan kepada rakan sekerjaya ini bahawa kita terperangkap oleh definisi kepuasan berkerjaya versi lama. Dahulu, kebanyakkan kita, malah membarah sehingga kepada masyarakat sivil berpersepsi bahawa seorang guru itu hanya dikira hebat apabila dia berjaya 'meluluskan' anak muridnya dalam peperiksaan awam yang didudukinya, tanpa kompromi!. Indikator utamanya adalah lulus peperiksaan!.

Kini, realitinya sudah jauh berbeza. Sungguhpun kemajuan teknologi telah mencetuskan pelbagai penemuan yang inovatif untuk meningkatkan keberkesanan proses 'memanusiakan' anak-anak murid, namun sumber manusia yang ada kelihatan tidak seiringan dengan perkembangan pesat dunia masa kini. Oleh itu, kejayaan kita mengisi nilai dan perspektif alternatif kepada seseorang murid juga seharusnya "dianggap" sebagai kepuasan berkerjaya. Tidak ramai kalangan kita yang melihat 'dimensi berbeza' sebagai satu bentuk kepuasan berkerjaya!.

Lantas, usah berjiwa kerdil!. Pada hemat saya, adalah lebih hebat jika kita berupaya menjelmakan anak murid yang mempunyai dukungan nilai dan perspektif yang segar, berbanding kejayaan menyediakan anak murid hanya untuk lulus peperiksaan!. Tentu sahaja kombinasi keduanya adalah jauh lebih baik. Wajar kita mengenang kisah lalu, untuk menentukan hala tuju baru hari esok!. Tetapi sangat tidak wajar untuk kita terus berjiwa kerdil 'menangisi' setiap inci ketidak-sempurnaan yang telah kita tinggalkan.......

Aku bangga menjadi seorang guru!. November 2011 tetap akan muncul semula......jika kita bersandar kepada realiti kita sebagai manusia biasa. Esok masih ada....untuk sesiapa sahaja yang ingin menjayakan hidupnya!.

Monday, November 29, 2010

Aurora Borealis...

Aurora Borealis timelapse HD - Tromsø 2010 from Tor Even Mathisen on Vimeo.

Ikhlas....


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

Set Nilai......

Semalam saya berkesempatan menghadiri suatu program yang berupa pengisian untuk beberapa insan terpilih yang melibatkan diri dalam bidang keusahawanan. Dari seorang pakcik yang bermodalkan sepasang kambing di tanah tidak bergeran sehinggalah kepada seorang anak muda yang sedang menunggu keputusan peperiksaan PMR, mempamer riak wajah bersungguh-sungguh ingin menjayakan matlamat diri masing-masing ( sekurang-kurangnya terserlah pada penyertaan mereka dalam program ini ).

Tentu sahaja antara elemen yang mesti dibicarakan dalam program seumpama ini adalah soal nilai. Kefahaman umum seolah-olah cenderung untuk mengenalpasti set-set nilai tertentu untuk bidang-bidang tertentu. Kalangan kita cenderung mengenalpasti mana satu set nilai yang digunakan untuk menjadi seorang usahawan. Set nilai untuk menjadi seorang guru. Set nilai untuk menjadi seorang ayah dan ibu. Set nilai untuk menjadi pemain bola sepak, petani dan sebagainya.

Pada hemat saya, nilai-nilai yang dianjurkan dalam kehidupan manusia sememangnya bersifat sarwajagat. Nilai-nilai sarwajagat ini tidak terhad kepada batasan jenis profesion atau kerjaya, malah melampaui batasan agama dan etnik. Tiada nilai yang saling bercanggahan untuk diamalkan, tanpa mengira apapun kerjaya, agama dan bangsa kita. Nilai-nilai universal inilah yang seharusnya dianjurkan untuk sentiasa diamalkan, walau apapun keadaan dan penglibatan kita dalam mana-mana profesion.

Adalah sesuatu yang agak canggung jika berlaku penggunaan set nilai tertentu untuk profesion tertentu. Seolah-olah memakai baju untuk majlis tertentu. Apabila ke majlis yang bercorak agama, maka pemakaian adalah yang bersesuaian dengan majlis tersebut. Tentulah agak janggal jika kita berpakaian sukan ke majlis bercorak keagamaan, sungguhpun ianya bukanlah sesuatu yang berstatus haram. Pemakaian untuk majlis atau peristiwa tertentu adalah semudah kita menukarkan fesyen pakaian kita mengikut situasi majlis yang kita hadiri.

Tetapi tidak pada set nilai untuk profesion tertentu. Pada hemat saya, untuk menjadi seorang usahawan berjaya ( atau apa-apa sahaja profesion! ), semua nilai-nilai murni itu adalah sama penting dan berguna. Nilai rajin adalah relevan untuk semua profesion, tidak terhad kepada kerjaya keusahawanan sahaja. Demikian nilai amanah, juga merentas kesemua jenis kerjaya. Nilai berdikari, jujur, berhemah tinggi, setia, cekal, tekun dan tabah, dan pelbagai nilai lainnya tetap ada relevansinya dengan mana-mana profesion.

Lantas, saya membuat penegasan dalam program ini, asal sahaja kita manusia normal yang berupaya mengamalkan kesemua nilai-nilai murni, maka kita boleh menjadi apapun….. kerana ianya fitrah manusia yang dipadankan dengan nilai dan unsur yang baik. Tidak akan berlaku percanggahan dan konflik nilai walau apapun profesion kita. Jika berlakupun percanggahan dan konflik nilai, ianya mungkin terselit dalam soal tujuan dan matlamat kita mendapatkan sesuatu.

Contohnya, seorang pencuri atau penyamun, tentu sahaja berlaku konflik nilai kerana tujuan atau matlamatnya mencuri itu dihalalkannya lantaran kegagalannya mengotakan tujuan dan niat asal nilai-nilai murni dalam kehidupan manusia. Saya bersetuju, ada nilai-nilai tertentu yang perlu ditonjolkan dalam menjayakan sesuatu, tetapi tidaklah seperti kita menukarkan baju untuk ke majlis tertentu. Akal normal manusia tidak akan mengiyakan pembuangan nilai jujur oleh si penjual yang menipu timbangan barang jualannya, semata-mata hanya kerana set nilai itu perlu ada pada seorang usahawan dalam usahanya untuk berjaya sebagai usahawan berjaya!.

Kita fikirlah bersama……

Monday, November 22, 2010

Home from above..


There's no place like home. Peering out of the windows of the International Space Station (ISS), astronaut Tracy Caldwell Dyson takes in the planet on which we were all born, and to which she would soon return.

Tuesday, November 16, 2010

Siri Bicara Restu Ilmu 3......

Petang kelmarin, lebih kurang jam 1.30 petang saya berkesempatan berbual bicara dengan anak-
anak pelajar Tingkatan 6 ( sebahagiannya bakal menduduki STPM hujung bulan ini ) di SMK. Bugaya. Program anjuran bersama sekolah berkenaan dan JHEAINS Semporna pada saya cukup signifikan dengan senario masa kini yang memerlukan 'formula' penyelesaian yang bukan sahaja mujarab tetapi juga bertindak balas dengan 'cepat' dan 'segera' terhadap pelbagai kegagalan dan kerosakan sosial yang melanda masyarakat Malaysia kini.

Sedapat mungkin, Seminar Kecemerlangan Insan 2010 ini saya cuba tempatan kan isu dan perspektifnya agar sesuai dan realistik dengan keadaan setempat. Beberapa sudut pandang saya berikan penegasan. Pertamanya, saya mengajak anak-anak pelajar ini untuk menggunakan 'kelebihan' memiliki akal fikiran. Saya tegaskan betapa, fungsi 'berfikir' pada komponen badan manusia ini adalah antara bahagian yang paling jarang digunakan...berbanding perut dan mulut, selain kaki dan tangan kita serta bahagian anggota badan yang lain.

Keduanya, saya tegaskan juga kecenderungan yang ada pada manusia untuk mudah meniru perkara yang tidak baik, tetapi kelihatan amat sukar untuk meniru dan melakukan perbuatan yang baik. Saya ambil contoh, mudahnya pelajar meniru guru atau ayahnya merokok, tetapi amat payah untuk meniru perbuatan baik yang dibuat ayah atau gurunya.
Saya berikan tumpuan khusus untuk memberikan perspektif alternatif dan berbeza daripada kebiasaan kerana kelihatannya amat kurang apresiasi diberikan kepada pemupukan nilai dan budaya ilmu yang, pada hemat saya, amat mendasar keperluannya kepada kehendak dan keperluan manusia masa kini, khususnya dalam masyarakat disini.

Semudah senyum dan menghormati ibu ayah, guru dan orang yang lebih tua daripada kita, mengapa harus nilai ini sudah semakin luntur kini.......demikian persoalan saya lontarkan kepada peserta-peserta seminar pada kali ini. Tentu sahaja kerjasama pintar dan erat antara dua organisasi masyarakat menganjurkan program sebegini harus diraikan dan ddiberikan galakan. Terima kasih saya utuskan kepada pihak-pihak yang berkenaan.

Siri Bicara Restu Ilmu 2......

Kepada pelajar-pelajar SPM dan STPM saya melontarkan persoalan, "Mengapa menjayakan
diri itu suatu yang perlu dikotakan!". Kejayaan mendakap keputusan peperiksaan yang baik pada hari ini, memberi cabaran yang berbeza khususnya pada generasi 'facebook' pada hari ini!. Tentu sahaja perkembangan teknologi telah begitu mempermudahkan usaha dan inisiatif pelajar untuk berjaya dalam pelajaran.

Namun realiti yang berlaku, mempamerkan hasil yang sebaliknya. Bukti jelas kepada premis kenyataan ini adalah dimanifestasikan dalam peratusan keputusan peperiksaan yang kurang memberangsangkan, ditengah-tengah capaian teknologi yang semakin canggih.
Saya teringat pesanan sifu dalam satu seminar kepimpinan pendidikan beberapa minggu yang lalu, "Pendidikan tetap akan dan boleh berlaku walau yang tinggal hanya guru dan pelajar, tanpa bangunan dan pelbagai kemudahan lain". Dengan kata lain, peperiksaan ini sebenarnya masih boleh dijayakan walau tanpa kemudahan yang lengkap. Logikanya, pastilah kejayaan lebih mudah dan boleh dijayakan jika kita mempunyai kemudahan yang lengkap termasuklah teknologi!.
Perspektif inilah antara yang saya berikan penegasan kepada anak-anak pelajar khususnya di SMK. Tagasan, dalam Program Restu Ilmu yang berjaya dianjurkan pada pagi kelmarin. Sebagaimana kebiasaan, kehadiran ibubapa juga amat mengecewakan sungguhpun program ini bertujuan murni untuk membantu anak-anak mereka menghadapi peperiksaan pada hujung bulan ini. Namun, saya mengambil kesempatan juga untuk mengheret pelajar kepada 'memiliki' satu set perspektif menanggapi makna 'menjayakan diri sendiri'.
Bual bicara selama sejam saya tutup dengan cerita kapal karam, siapa yang patut diselamatkan dahulu...... untuk memberikan asas berfikir tentang keutamaan yang ada dihadapan mata pada ketika tempoh kritikal dan penting, seumpama peperiksaan SPM dan STPM hujung bulan. Semoga berjaya ....... saya doakan kepada anak-anak murid saya!

Siri Bicara Restu Ilmu......


Pada hari Jumaat yang baru lalu, saya berkesempatan berbual bicara dengan masyarakat pelajar, guru-guru dan para ibubapa di SM. Teknik Lahad Datu. Teman-teman meminta saya membicarakan tentang merestui ilmu dengan redha ibu-ayah dan guru-guru kepada anak-anak pelajar yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia ( SPM ) hujung bulan ini.

Di samping memberikan penekanan kepada kehendak program pada pagi itu, penegasan juga saya lontarkan kepada para peserta tentang keperluan kita memiliki perspektif yang baik dalam menanggapi sesuatu perkara, apatah lagi mendepani peperiksaan sepenting SPM 2010 ini. Demikian juga saya mengambil kesempatan untuk membuat penegasan tentang komitmen ibubapa dalam menjayakan anak-anak yang memerlukan pengorbanan yang bukan kecil saiznya. Tentu sahaja tidak terlepas daripada peringatan tentang bagaimana mendepani peperiksaan sebegini.....yang kelak akan menentukan 'rupa wajah' kita pada masa hadapan tidak terlepas daripada penegasan saya kepada anak-anak yang diraikan.

Salam Aidil Adha...


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini