Berhenti!. Bila kita nak berhenti?. Agaknya dalam situasi yang bagaimana soalan berkenaan sesuai untuk dilontarkan. Apa agaknya yang mendorong kita menimbulkan persoalan ini?. Semasa menghadiri suatu kursus, sekiranya penyampaian penceramah itu membosankan, persoalan ‘bila nak berhenti?’ mungkin antara yang kerap bermain dalam pemikiran. Demikian juga semasa kita mengikuti suatu perjalanan panjang, ‘bila nak berhenti?’ mungkin antara soalan yang menyebabkan kita tak senang duduk.
Duduk bersembang dengan teman-teman, acapkali kita bertemu dengan teman yang tak henti-henti hendak bercakap. Sekali lagi, ‘bila nak berhenti?’ mungkin berlegar dalam pemikiran kita sungguhpun kita tidak sampai hati untuk menyampaikannya.
Tetapi saya tidak memilih untuk membicarakan ‘berhenti’ dalam konteks seperti di atas. Dari sudut dinamika, ‘berhenti’ sering kali membawa konotasi yang negatif sebagaimana yang dibincangkan di atas. Sedangkan ‘berhenti’ juga boleh berdiri dinamik jika kita meletakkan perspektif segar. Tanpa menambah apa-apa perkataan, ‘berhenti’ boleh berdiri sendiri dengan maksud dan nada yang lebih positif. Untuk memudahkan perbincangan, saya mengambil situasi kerja seorang guru.
‘Berhenti’ membebel!. Demikian seorang penceramah mengingatkan kalangan guru dalam sebuah program segaran untuk guru-guru. Betul juga, sudah berpuluh tahun mengajar, suatu habit yang sepatutnya ‘dikaji’ ialah kecenderungan kita yang suka membebel sungguhpun kita sendiri tidak suka kepada habit yang kita sendiri buat ini. Mana tidaknya, kita sendiripun tidak gemar mendengar orang lain membebel dengan kita. Rasakan sahaja, jika kita pula yang membebel kepada orang lain. Setelah sekian lama, habit yang tidak positif seharusnya dicanai dan dinyahkan sedikit demi sedikit.
‘Berhenti’ mengeluh!. Beban tugas seorang guru sememangnya bukan mudah. Daripada kerja-kerja perkeranian, menguruskan data-data pelajar sehinggalah kerja-kerja diagnostik pencapaian pelajar bagai seorang doktor yang memantau graf perkembangan pesakitnya. Guru sebagai akauntan, mengutip yuran-yuran dan bayaran, guru sebagai ibu dan ayah, membentuk sahsiah dan akhlak pelajarnya, guru sebagai polis, mengawal disiplin dan tingkah laku muridnya. Guru sebagai pegawai imigresen yang mengesan dan mengesahkan kewarganegaraan pelajar terutama semasa sesi pendaftaran pelajar di awal tahun dan banyak lagi.
Lantas, dengan mengeluh, adakah semua kerja-kerja ini boleh diselesaikan ?. Tentu sahaja….akal normal akan mengakui bahawa kaedah menyelesaikan semua kerja-kerja ini hanya dengan buat kerja kita bersungguh-sungguh. Mengeluh lebih kelihatan kita membenarkan diri kita untuk bertangguh dan membunuh keinginan untuk menyudahkan tanggungjawab kita.
Banyak lagi situasi ‘berhenti’ yang boleh kita perincikan sesuai dengan ‘nature job’ kita sendiri. ‘Berhenti’ boleh sahaja menjadi positif atau boleh saja menjadi negatif. Jika itu berlaku…..tidak teringinkah kita ‘berhenti’ melakukan perkara yang mendatangkan keburukan, tidak kiralah kepada siapapun yang mendapat manfaat daripada tindakan kita. Benarkah begitu…….anda sahajalah yang menjawabnya!.
No comments:
Post a Comment