Baru sahaja melabuhkan badan di tilam empuk penginapan di Kundasang. Perjalanan panjang semalaman, bertolak kelmarin sekitar jam 7.42 malam. Bas ekspress yang dinaiki dipandu oleh teman-teman yang memang dikenali. Lantas keyakinan tinggi kepada para pemandu membolehkan saya melayan 'kuyu dan layu' mata. Sungguhpun tempat duduk yang hanya bersaiz 'L' pada saya, namun masih jauh selasa, apatah lagi jika orang lain memandu. Cuma sejuknya sahaja yang cukup mencabar.
Perjalanan panjang yang melenakan itu menyebabkan saya tidak sedar melewati Pekan Kunak dan Bandar Lahad Datu. Sedar-sedar sahaja apabila bas berhenti berhampiran Kampung Sentosa tidak jauh dari Pekan Kinabatangan. Rehat panjang disebabkan jalan yang tersekat kerana berlaku kemalangan melibatkan 2 kenderaan pacuan 4 roda. Dengar kata, melibatkan nyawa melayang!. Saya tidak berminat menyibukkan diri ke sana kerana anggota polis dan ambulans telahpun tercegat berdiri di sana membantu menyelamatkan mangsa. Terlintas pertanyaan, bagaimana boleh bertembung 2 kenderaan besar, pada waktu malam ( sudah tentu cahaya lampu cukup terang ) dan di jalan lurus dan rata pula. Saya tidak mahu membuat telahan, tetapi suatu yang umum difahami, jika pemandu berhati-hati semasa memandu, saya yakin tidak akan berlaku kemalangan!. Demikian saya meyakini.
Berhenti rehat di Telupid. Pemandu bertukar giliran. Pemandu kedua menambah keyakinan saya untuk tidur lebih nyenyak kerana sememangnya saya mengenali dia. Makan dan minum sebagai bekalan, perjalanan bersambung dan cahaya bergemerlapan di Pekan Ranau menyebabkan mata terbuka dan sukar melelapkan diri lagi. Akhirnya sampai di Kundasang, dan menukilkan coretan ini. Lengkap dan sempurna rasanya sesudah menunaikan kewajipan, santai mengisi catatan dan selepas ini 'menyambung' apa yang telah terputus!. Agaknya bagaimana permulaan hari kita hari ini ?
No comments:
Post a Comment