Dahulu semasa zaman persekolahan saya di SMK. Datuk Panglima Abdullah, pengetua sering menggunakan istilah ‘memanjangkan hidup’ dalam uncapan-ucapannya di perhimpunan rasmi sekolah dan seumpamanya. Sekali imbas, kelihatannya kita bagaikan manusia yang benar-benar ‘super’ kerana berupaya memanjangkan hidup mengikut pilihan sendiri. Tetapi apa yang sebenarnya dimaksudkan oleh pengetua pada masa itu sebenarnya adalah ‘mengurangkan masa tidur’ dan ‘melebihkan masa bangun’.
Hari ini giliran saya pula menggunakan istilah berkenaan kepada anak-anak murid saya. Namun ada perkara yang seharusnya dianalisis andai kita menggunakan istilah ini dalam rangka menjayakan agenda masing-masing. Asas logik dengan menggunakan sifir 1, agaknya apalah maknanya ‘memanjangkan hidup’ jika kebanyakkan masa yang ‘lama’ itu dibelanjakan untuk agenda yang sia-sia dan kurang mendatangkan faedah. Malah lebih parah lagi, rasanya lebih baik menggunakan masa yang ada untuk tidur lebih lama daripada menggunakan masa itu untuk tujuan yang boleh ‘merosakkan’ diri dan masa depan kita sendiri. Demikian antara lain, sering saya menyatakannya kepada anak-anak murid.
Sebab itulah saya menegaskan perlunya untuk kita menentukan ‘fokus’ dan ‘titik sasaran’ dengan jelas dan penuh sedar. Pada hemat saya hanya dengan ‘membidik’ pada sasaran yang jelas dan tepat maka ‘memanjangkan hidup’ itu akan mempunyai makna dan manfaatnya. Jika kita seorang guru, fokus kepada profesionalisme keguruan itu bukan sahaja harus digilap malah perlu sentiasa diberikan segaran dan peremajaan. Fokus yang tajam dan jelas itu nanti akan meningkatkan kompetensi keguruan guru berkenaan dan menjadikannya guru yang sentiasa relevan dengan keperluan pendidikan semasa. Jika situasi ini yang benar berlaku, maka amat wajarlah untuk kita ‘memanjangkan hidup’ berbanding kebanyakkan ‘hayat hidup’ manusia lainnya.
Demikian halnya andai kita adalah seorang pelajar. Terlalu ramai pelajar yang mudah hilang fokus dan tumpuannya semasa belajar. Implikasi langsung daripada keadaan seumpama itu adalah ‘kerosakkan’ yang bersaiz besar kepada anak-anak pelajar ini. Mana tidaknya, jika fokus yang sepatutnya dicurahkan kepada profesion ‘belajar’ itu hanya dibazirkan dengan perkara picisan dalam profesion itu. Lebih banyak masa terbuang menguruskan masalah disiplin dan perlanggaran peraturan sekolah daripada mentadbir progres dan pencapaian akademik.
Akibatnya, penguasaan akademik yang sepatutnya berupaya ‘meredakan’ amarah remaja dan seumpamanya telah tergadai dan musnah. Kemusnahan itu bukan sahaja mengorbankan masa depan mereka, malah turut menggadaikan nasib dan masa hadapan ‘kehidupan’ mereka. Lebih parah lagi kerana generasi inilah yang dipikulkan harapan untuk menggalas tugas ‘melukiskan’ rupa wajah agama, bangsa dan Negara. Sekali lagi….tiadalah gunanya kita ‘memanjangkan hidup’ andai benar begitu keadaanya. Bayangkan pula andai yang sebaliknya berlaku, ‘memanjangkan hidup’ itu bukan sahaja memanifestasikan ‘kerja keras’ menggapai apa yang dicita-citakan, malah ia juga menzahirkan gambaran awal generasi yang boleh kita percayai menggalas beban tugas yang berat suatu hari kelak.
Lantas, saya lontarkan persoalan ‘apa tengok-tengok?’. Jika benar kita menyedari akan hal ini, ayuh……kita panjangkan hayat hidup kita!. Asal saja kita tidak asyik ‘tengok-tengok’ sahaja. Jangan lupa beri fokus dan tumpuan. Kita fikirlah bersama……..
No comments:
Post a Comment