Saturday, October 30, 2010
Tuesday, October 12, 2010
Saturday, October 9, 2010
Journey for Kundasang!
Friday, October 8, 2010
Thursday, October 7, 2010
Moon and plane.....
Apa tengok-tengok.....
Dahulu semasa zaman persekolahan saya di SMK. Datuk Panglima Abdullah, pengetua sering menggunakan istilah ‘memanjangkan hidup’ dalam uncapan-ucapannya di perhimpunan rasmi sekolah dan seumpamanya. Sekali imbas, kelihatannya kita bagaikan manusia yang benar-benar ‘super’ kerana berupaya memanjangkan hidup mengikut pilihan sendiri. Tetapi apa yang sebenarnya dimaksudkan oleh pengetua pada masa itu sebenarnya adalah ‘mengurangkan masa tidur’ dan ‘melebihkan masa bangun’.
Hari ini giliran saya pula menggunakan istilah berkenaan kepada anak-anak murid saya. Namun ada perkara yang seharusnya dianalisis andai kita menggunakan istilah ini dalam rangka menjayakan agenda masing-masing. Asas logik dengan menggunakan sifir 1, agaknya apalah maknanya ‘memanjangkan hidup’ jika kebanyakkan masa yang ‘lama’ itu dibelanjakan untuk agenda yang sia-sia dan kurang mendatangkan faedah. Malah lebih parah lagi, rasanya lebih baik menggunakan masa yang ada untuk tidur lebih lama daripada menggunakan masa itu untuk tujuan yang boleh ‘merosakkan’ diri dan masa depan kita sendiri. Demikian antara lain, sering saya menyatakannya kepada anak-anak murid.
Sebab itulah saya menegaskan perlunya untuk kita menentukan ‘fokus’ dan ‘titik sasaran’ dengan jelas dan penuh sedar. Pada hemat saya hanya dengan ‘membidik’ pada sasaran yang jelas dan tepat maka ‘memanjangkan hidup’ itu akan mempunyai makna dan manfaatnya. Jika kita seorang guru, fokus kepada profesionalisme keguruan itu bukan sahaja harus digilap malah perlu sentiasa diberikan segaran dan peremajaan. Fokus yang tajam dan jelas itu nanti akan meningkatkan kompetensi keguruan guru berkenaan dan menjadikannya guru yang sentiasa relevan dengan keperluan pendidikan semasa. Jika situasi ini yang benar berlaku, maka amat wajarlah untuk kita ‘memanjangkan hidup’ berbanding kebanyakkan ‘hayat hidup’ manusia lainnya.
Demikian halnya andai kita adalah seorang pelajar. Terlalu ramai pelajar yang mudah hilang fokus dan tumpuannya semasa belajar. Implikasi langsung daripada keadaan seumpama itu adalah ‘kerosakkan’ yang bersaiz besar kepada anak-anak pelajar ini. Mana tidaknya, jika fokus yang sepatutnya dicurahkan kepada profesion ‘belajar’ itu hanya dibazirkan dengan perkara picisan dalam profesion itu. Lebih banyak masa terbuang menguruskan masalah disiplin dan perlanggaran peraturan sekolah daripada mentadbir progres dan pencapaian akademik.
Akibatnya, penguasaan akademik yang sepatutnya berupaya ‘meredakan’ amarah remaja dan seumpamanya telah tergadai dan musnah. Kemusnahan itu bukan sahaja mengorbankan masa depan mereka, malah turut menggadaikan nasib dan masa hadapan ‘kehidupan’ mereka. Lebih parah lagi kerana generasi inilah yang dipikulkan harapan untuk menggalas tugas ‘melukiskan’ rupa wajah agama, bangsa dan Negara. Sekali lagi….tiadalah gunanya kita ‘memanjangkan hidup’ andai benar begitu keadaanya. Bayangkan pula andai yang sebaliknya berlaku, ‘memanjangkan hidup’ itu bukan sahaja memanifestasikan ‘kerja keras’ menggapai apa yang dicita-citakan, malah ia juga menzahirkan gambaran awal generasi yang boleh kita percayai menggalas beban tugas yang berat suatu hari kelak.
Lantas, saya lontarkan persoalan ‘apa tengok-tengok?’. Jika benar kita menyedari akan hal ini, ayuh……kita panjangkan hayat hidup kita!. Asal saja kita tidak asyik ‘tengok-tengok’ sahaja. Jangan lupa beri fokus dan tumpuan. Kita fikirlah bersama……..
Wednesday, October 6, 2010
Io in True Color!
In-house training with.....
Sekali lagi pagi ini diisi dengan Program Hari Profesionalisme 5. Demikiannya namanya kursus dalaman bagi sekolah saya. Pagi ini diisi dengan Ceramah Pengurusan Fail yang dikendalikan oleh orang yang bergelumang dengan fail-fail sekolah saya, Pn. Siti Rudah, Penbantu Tadbir sekolah saya yang menguruskan segala jenis fail-fail sekolah. Banyak juga perkara yang baru saya ketahui dalam hal pentadbiran fail-fail terutamanya pentadbiran fail peribadi kita di sekolah.
Slot jam 10.00 diisi oleh pengetua saya dengan tajuk Program 5S. Seiri ( Sisih ), Seiton ( Susun ), Seiso ( Sapu ), Seiketshu ( Seragam ) dan Shitsuke ( Sentiasa amal ). Saya sendiripun tidak pernah mendengar perbincangan tajuk sebegini, apatah lagi dalam konteks pembangunan komuniti sekolah yang progresif. Bagus juga jika ianya diaplikasikan. Jom….buat apa yang sepatutnya dibuat!.
Jalan Pasti.....
Pernahkah kita berhadapan dengan dilema ‘yakin pasti’ atau ‘ragu-ragu’ dengan apa yang dipilih ?. Sebagai manusia normal tentu sahaja kita tidak terlepas dari menghadapi situasi seumpama ini. Ada beberapa perkara, pada hemat saya, harus difikirkan apabila kita berhadapan dengan dilema sebegini. Antaranya darjah keperluan mencapai atau menggapai sesuatu sasaran, saiz risiko yang kemungkinan kita hadapi, tahap kerosakan dan pemulihan yang mesti disediakan dan pelbagai lagi perkara lain yang memungkinkan dilema seumpama itu bukanlah suatu yang menyeronokkan.
Namun, rasanya tiada manusia yang boleh menyisihkan dirinya dari mencapai sesuatu yang diimpikan. Waima manusia yang mengisi tingkat tahap sosial yang rendah sekalipun ( Sekurang-kurangnya begitulah pandangan dunia ) tentu mempunyai impian. Sebagaimana resmi periuk, makin besar periuk maka makin besarlah keraknya. Namun dihujung setiap impian tentu sahaja penuh dengan tanda tanya dan misteri.
Bagi orang miskin, antara impian itu agaknya dalam bentuk menyediakan makan minum keluarga dan anak-anaknya. Bagi orang kaya, mungkin untuk memaksimakan keuntungan syarikatnya atau seumpamanya. Tentu sahaja pada kedua-dua keadaan, darjah keperluan mencapai impian itu tinggi. Lantas, sungguhpun penuh dengan ketidak-pastian, impian itu cuba direalisasikan….walau berdepan risiko sekalipun. Dengan kata lain, sungguhpun segala-galanya belum pasti, kita nekad untuk sedia menempuhinya kerana keperluan untuk mencapai impian itu adalah pada tahap tinggi!.
Seringkali juga kita ‘skeptikal’ melihat risiko!. Pada kebanyakkan situasi, risiko sebenarnya adalah sesuatu yang boleh diurus dan dikendalikan dengan baik. Lantas, kebanyakkan kita melihat risiko seperti kita ‘melihat hantu’. Takut dan seram sendiri pada sesuatu yang tidak pasti. Malah semuanya juga adalah dipenuhi ilusi. Akibatnya kita lebih rela duduk mendiamkan diri, daripada meredah ‘risiko’ bertemu dengan ‘hantu’ yang wujud dalam versi hayalan dan gambaran ilusi kita sahaja.
Sedangkan saiz risiko mungkin boleh kita kurangkan sekiranya kita mengendalikan perancangan dan usaha menjayakan perancangan itu dengan baik. Cuma kita perlu akur bahawa saiz risiko itu mungkin perlu ‘diukur’, mungkin alasan yang paling hampir adalah untuk memastikan manfaat lebih besar daripada risiko….agaknyalah!.
Pada hemat saya, menjayakan setiap yang kita impikan adalah suatu yang perlu kita lakukan sungguhpun dengan beribu ketidakpastian!. Namun, kita harus realistik dengan risiko. Untuk lebih pasti dengan apa yang kita lakukan, kenalpasti tahap keperluan sasaran dan cirikan setiap risiko. Semakin kita teliti merencana laluan perancangan, logiknya semakin kecillah saiz risiko yang mungkin kita hadapi!. Lantas, mengapa harus gundah gulana!. Jika benar itu yang dituju…….yakin dan rentaslah perjalanan itu, walau berdepan pelbagai ketidakpastian!. Agaknya…..begitulah sepatutnya, sungguhpun mungkin hanya sesuai untuk saya!. Haa..haa…..
Tuesday, October 5, 2010
In-house training with.....
Pagi ini menghadiri Kursus Dalaman Bersama Unit Psikologi & Kaunseling Pejabat Pendidikan Daerah Semporna. Penceramah dan Pengisian disempurnakan oleh Pn. Siti Namla Bte Abd. Hamid. Bagus juga...pengisian yang direncana untuk mengisi masa senggang guru-guru yang hadir ke sekolah sepanjang Minggu Peperiksaan PMR. Banyak juga mesej yang disampaikan.
Friday, October 1, 2010
Stop !
Berhenti!. Bila kita nak berhenti?. Agaknya dalam situasi yang bagaimana soalan berkenaan sesuai untuk dilontarkan. Apa agaknya yang mendorong kita menimbulkan persoalan ini?. Semasa menghadiri suatu kursus, sekiranya penyampaian penceramah itu membosankan, persoalan ‘bila nak berhenti?’ mungkin antara yang kerap bermain dalam pemikiran. Demikian juga semasa kita mengikuti suatu perjalanan panjang, ‘bila nak berhenti?’ mungkin antara soalan yang menyebabkan kita tak senang duduk.
Duduk bersembang dengan teman-teman, acapkali kita bertemu dengan teman yang tak henti-henti hendak bercakap. Sekali lagi, ‘bila nak berhenti?’ mungkin berlegar dalam pemikiran kita sungguhpun kita tidak sampai hati untuk menyampaikannya.
Tetapi saya tidak memilih untuk membicarakan ‘berhenti’ dalam konteks seperti di atas. Dari sudut dinamika, ‘berhenti’ sering kali membawa konotasi yang negatif sebagaimana yang dibincangkan di atas. Sedangkan ‘berhenti’ juga boleh berdiri dinamik jika kita meletakkan perspektif segar. Tanpa menambah apa-apa perkataan, ‘berhenti’ boleh berdiri sendiri dengan maksud dan nada yang lebih positif. Untuk memudahkan perbincangan, saya mengambil situasi kerja seorang guru.
‘Berhenti’ membebel!. Demikian seorang penceramah mengingatkan kalangan guru dalam sebuah program segaran untuk guru-guru. Betul juga, sudah berpuluh tahun mengajar, suatu habit yang sepatutnya ‘dikaji’ ialah kecenderungan kita yang suka membebel sungguhpun kita sendiri tidak suka kepada habit yang kita sendiri buat ini. Mana tidaknya, kita sendiripun tidak gemar mendengar orang lain membebel dengan kita. Rasakan sahaja, jika kita pula yang membebel kepada orang lain. Setelah sekian lama, habit yang tidak positif seharusnya dicanai dan dinyahkan sedikit demi sedikit.
‘Berhenti’ mengeluh!. Beban tugas seorang guru sememangnya bukan mudah. Daripada kerja-kerja perkeranian, menguruskan data-data pelajar sehinggalah kerja-kerja diagnostik pencapaian pelajar bagai seorang doktor yang memantau graf perkembangan pesakitnya. Guru sebagai akauntan, mengutip yuran-yuran dan bayaran, guru sebagai ibu dan ayah, membentuk sahsiah dan akhlak pelajarnya, guru sebagai polis, mengawal disiplin dan tingkah laku muridnya. Guru sebagai pegawai imigresen yang mengesan dan mengesahkan kewarganegaraan pelajar terutama semasa sesi pendaftaran pelajar di awal tahun dan banyak lagi.
Lantas, dengan mengeluh, adakah semua kerja-kerja ini boleh diselesaikan ?. Tentu sahaja….akal normal akan mengakui bahawa kaedah menyelesaikan semua kerja-kerja ini hanya dengan buat kerja kita bersungguh-sungguh. Mengeluh lebih kelihatan kita membenarkan diri kita untuk bertangguh dan membunuh keinginan untuk menyudahkan tanggungjawab kita.
Banyak lagi situasi ‘berhenti’ yang boleh kita perincikan sesuai dengan ‘nature job’ kita sendiri. ‘Berhenti’ boleh sahaja menjadi positif atau boleh saja menjadi negatif. Jika itu berlaku…..tidak teringinkah kita ‘berhenti’ melakukan perkara yang mendatangkan keburukan, tidak kiralah kepada siapapun yang mendapat manfaat daripada tindakan kita. Benarkah begitu…….anda sahajalah yang menjawabnya!.