Monday, June 7, 2010

Sumbanganku...sumbanganmu!

Lebih kurang jam 2.00 pagi saya dan sahabat saya sampai di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. Perjalanan balik yang mengambil masa hampir 2.00 jam dari Kundasang tidak terasa kerana lena tidur sepanjang perjalanan. Rencananya perjalanan awal pagi 07 Jun 2010 ini adalah untuk kembali ke ‘pengkalan hadapan’ setelah menyudahkan tugasan dalam satu program kemasyarakatan.

Pada laman ini, saya mengambil kesempatan sekali lagi untuk menzahirkan rasa terima kasih yang tidak terhingga kepada teman-teman baru saya Cikgu Romanus, Cikgu Stephen, Cikgu Chow, Cikgu Shukor, Cikgu Dumik, Cikgu Veron, Cikgu Ho, Cikgu Liah, Cikgu Angela, Cikgu Corina, Cikgu Zainab dan Cikgu Monaliza.

Perkongsian bersama mereka saya menegaskan beberapa perkara yang rasanya, pada hemat saya amat berguna bukan sahaja untuk profesion malah juga untuk perkara lain dalam kehidupan sebagai seorang manusia. Seringkali kita menilai sesuatu berdasarkan indikator tertentu. Jika menilai sumbangan, banyak mana sumbangan yang telah dibuat. Lebih banyak sumbangannya, tentu sahaja dinilai lebih baik. Pada hemat saya…..tafsiran sebegitu harus ada kekecualiannya. Jika sesebuah bandaraya itu dipuji bersih dan bebas daripada sampah, lazimnya Datuk Bandar lah yang akan menerima ‘ganjaran’ daripada sesiapa sahaja ( tidak kira apa bentuk ganjarannya ).

Tetapi tiada siapa dapat menafikan peranan yang dilaksanakan oleh tukang sapu sampah di bandaraya itu. Apakah mungkin tukang sapu sampah itu menerima ‘ganjaran’ yang sama seperti yang diterima Datu Bandar?. Tentu sahaja ada perbezaannya!. Suatu yang sering kita terlepas pandang….belajarlah kita menghargai sumbangan yang telah diberikan oleh seseorang walau sumbangan itu datangnya daripada golongan ‘kasta’ rendah pada nilaian masyarakat material. Bagaimana?.

Mungkin kelihatan lucu……jika semua orang menemui tukang sapu sampah hanya untuk mengucapkan terima kasih atas sumbangannya membersihkan sampah-sarap di bandaraya kita. Cara penghargaan seumpama itu ‘mungkin’ juga akan lebih menjadikan tukang sapu sampah itu tidak dapat menumpukan perhatian pada ‘profesionnya’. Adalah lebih baik, kita sendiri secara individu memastikan sampah-sampah yang kita ‘hasilkan’ kita buang ke dalam tong sampah.

Jika sikap ini yang kita amalkan, kita bukan sahaja memudahkan kerja tukang sapu sampah tersebut, malah secara tidak langsung sikap ini merupakan ‘ganjaran’ yang lebih bernilai kepada tukang sapu sampah tersebut!. Apa lagi jika sikap seperti ini mampu kita ‘muat-turun’ kepada orang-orang yang hampir dengan kita. Dapatkah kita bayangkan…..senyum manis tukang sapu sampah ‘melihat’ perlakuan kita membuang sampah itu. Tanpa perlu menuturkan kata-katapun…..anda sudah rasa kepuasannya.

Saya menyedari kefahaman ini masih boleh dibahaskan. Tetapi suka saya menegaskan, perkara pokoknya adalah….kita belajarlah ‘menghargai’ setiap sumbangan yang diberikan walau sebesar manapun saiz sumbangan itu. Kefahaman ini bukan sahaja menjadikan orang yang memberikan sumbangan itu berasa dihargai, tetapi yang lebih penting lagi……kita akan sentiasa penuh ‘bertenaga’ memperbanyakkan sumbangan dan kebaikan, kerana kita meyakini sumbangan kecil kita tetapi ada manfaatnya. Apatah lagi jika kefahaman ini disandarkan pada tuntutan agama. Ayuh……kita jangan penat berbuat kebaikan!.

1 comment:

Rafi Harumin said...

Tidak rugi berbuat baik.. teringat akan entri yang saya masukkan di bulan lepas.. "Mereka Yang Bukan Seperti Kita"..