Saturday, June 12, 2010

Nilai...Modal Nilai !

Semalam sempat sembang-sembang dengan teman saya tentang pelbagai perkara. Macam biasalah.... Salah satu topik yang menarik perhatian saya adalah kisah kejayaan seorang
manusia yang telah berjaya dalam perniagaannya. Modalnya mudah......kepercayaan dan kejujuran. Sebenarnya usahawan ini tidaklah berapa 'dikenali', apatah lagi dengan profail dan gaya yang mempamerkan susuk sederhana dan bersahaja. Perniagaannya hanyalah menjadi tukang hantar barang dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Barangan yang dihantar pula adalah pelbagai. Dari barangan pukal sehinggalah membuat bayaran ansuran kereta di bank-bank komersial.

Pada peringkat awal perniagaannya, dengan hanya menggunakan kenderaan yang kecil, beliau mengambil upah menghantar atau mengambil barangan di bandar ke daerah kecil. Ada juga pelanggan yang menggunakan perkhidmatannya untuk membuat bayaran ansuran kereta di bandar, apatah lagi dengan bayaran yang jauh lebih murah berbanding dengan kos kita pergi sendiri. Suatu yang menarik untuk dinukilkan adalah nilai kejujuran dan kepercayaan yang dibina oleh usahawan itu sendiri.

Setiap barangan yang dihantar diterima dengan penuh tanggungjawab dan amanah. Janji ditepati seperti mana disepakati. Jika tidak dapat dipenuhi, sedari awal dimaklumi. Jika janji tidak tertunai, sesegeranya tambatan janji dilerai. Hari demi hari berlalu, kepercayaan demi kepercayaan semakin menebal dan menghapus sama sekali keraguan. Suatu yang jelas berlaku pada usahawan ini adalah penjenamaan 'jujur dan boleh dipercayai' itu telah menebal dan menjadi buah mulut para pelanggan. Akhhirnya, semakin ramai yang mempercayai perkhidmatannya.
Hari ini, usahawan ini bukan sahaja mempunyai barisan kenderaan yang besar dalam perniagaan penghantarannya, malah rangkaian perniagaannya sudah menjalar ke daerah-daerah bukan tradisionalnya. Malah beberapa gedung membeli belah besar 'terpikat' dengan perkhidmatannya dan menjadikan usahawan ini sebagai agensi penghantaran barangan gedung mereka. Tidak heranlah kini, usahawan yang bermodalkan nilai kepercayaan dan kejujuran ini, sudah mampu memiliki 'gudang' sendiri sebagai depot simpanan barangan yang menunggu dihantar ke destinasi yang dituju. Bukan sahaja dirinya berjaya, tetapi lebih ramai lagi yang berpeluang memiliki sumber pekerjaan kesan daripada kejayaan perniagaannya.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa modal material tetap diperlukan dalam menjayakan perniagaan. Tetapi pada pengamatan saya, usahawan ini telah melaburkan modal 'nilai' jauh lebih banyak daripada modal 'material' dalam menjayakan perniagaannya. Saya terfikir sendiri.... berapa lamakah masa yang telah diambil untuk 'membina' kepercayaan ini dan palling penting lagi.....cukup bersabarkah kita menanti 'kepercayaan ini sebati' dengan diri kita!. Lu fikirlah sendiri.......

No comments: