Seringkali polemik melingkari keberfungsian organisasi. Saya nyatakan demikian kerana acapkali polemik itu yang lebih mendominasi perbincangan daripada matlamat asal objektif sesuatu perkara atau dasar dibuat dan diperkenalkan. Sungguhpun tujuan polemik itu sendiri adalah kearah memastikan tercapainya objektif sesuatu dasar, tetapi pada hemat saya, tidak seharusnya perbezaan pendapat membantutkan matlamat organisasi.
Senario 1.
Seorang pekerja senior, yang telah lebih 10 tahun bekerja. Diberi tugas tertentu, dan sering kali menimbulkan masalah pada bahagiannya. Kerjanya seringkali tertunda, terabai malah langsung ‘hilang dari radar’.
Bagaimana kita menanggapi situasi ini. Memang pada keseluruhannya, tiada cerita, adalah lebih baik pekerja ini dtukarkan sahaja daripada bahagiannya. Tetapi adakah ini cara penyelesaian terbaik. Secara peribadi, menukarkannya ke bahagian lain bukan merupakan keputusan bijak. Malah keputusan ini kelihatan kejam kerana memindahkan masalah kepada orang lain. Kalaupun dia berubah, itu sudah merupakan satu bonus dan tidak perlu diperdebatkan lagi.
Kecenderungan yang sudah membarah kini adalah mengambil tindakan drastik. Ditanya dan ditagih, hasil kerja yang akhirnya memaksanya menyiapkan kerja seperti yang diinginkan, walaupun mungkin tidak akan memenuhi kriteria kerja seperti yang kita inginkan. Atau lebih lembut lagi, diamkan sahaja dan biarkan keadaan yang merubah segalanya. Kedua-duanya bagi saya adalah cara yang kurang tepat, dalam konteks kita sebagai seorang pengurus kepada situasi ini.
Saya suka melihat ke dalam diri menanggapi persoalan ini. Pada tahap inilah, pada hemat saya kita harus berkira soal profesionalisme kita kepada profesion. Tanpa selektif pada mana-mana profesion, saya amat yakin, tetap ada beza antara individu yang mempertahankan prinsip profesionalismenya dalam profesion dengan individu yang khianat pada profesionnya.
Kalaupun kita sudah tidak secergas dan sepantas dulu, sekurang-kurangnya kita tetap berjalan laju, jauh lebih baik daripada duduk menopang dagu. Kalaupun kita tidak memecahkan rekod, sekurang-kurangnya kita menyamai rekod, jauh lebih baik daripada langsung tidak mahu membuat rekod. Lebih jelas lagi, kalaupun kita tidak mampu menyumbang kepada kejayaan organisasi secara terus, sekurang-kurangnya janganlah menjadi penyumbang kepada kegagalan oganisasi.
Saya menyatakan demikian, iltizam sebagai seorang penjawat awam yang tetap mempunyai peranan tidak kira berapa saiz peranan dan posisi kita dalam organisasi. Paling mahal bagi saya adalah harapan bahawa iltizam ini adalah sebagai butir-butir kebaikan yang mampu kita lakukan, untuk dinilai sebagai pahala dan kebaikan. Bolehkah kita semua berfikir demikian ?. Selamat Hari Pekerja!.
No comments:
Post a Comment