Monday, November 24, 2008

Mencipta Kejayaan Kecil !

Malam ini saya merasa cukup segar. Sungguhpun baru masuk 'gym' pada jam 8.00 malam, tanpa berlengah saya terus masuk ‘sauna’. Sambil membaca buku, 42 minit kemudian saya keluar dengan badan basah kuyup. Terasa badan cukup ringan. Entah ‘angin’ apa yang menimpa saya, rasanya saya seperti mula seronok dengan aktiviti baru ini. Bersenam di gymnasium Seafest Hotel ini nampaknya ‘layak’ untuk masuk dalam carta senarai aktiviti harian saya. Insya-Allah, misinya untuk memulih dan mengekalkan kesihatan!.

Jam 11.33 malam saya mula menghadap Acer Aspire saya yang setia ini. Hajat hati ingin mencoretkan sesuatu bagi memenuhi momentum kesegaran saya malam ini. Dalam mencari arah, saya terfikir untuk membicarakan ‘Mencipta Kejayaan Kecil’.

Sudah 17 tahun saya bertugas di sekolah saya sekarang ini. Teman-teman sekelas masa sekolah dahulu, malah rakan setugas saya di sekolah sering mengajukan soalan, ‘tak bosan ke mengajar disini ?, dah lebih 10 tahun’, ‘bila nak pindah sekolah?’, ‘tinggal kau saja disini, orang lain semua dah pindah’ ( Soalan-soalan bernada negatif! ). Atau pertanyaan yang lebih lunak dan positif, ‘Macam mana kau boleh bertahan mengajar disini’, ‘Ada petua ka menjadi orang veteran?’ dan bermacam lagi.

Saya tidak menafikan pernah juga terlintas untuk memohon perpindahan sekolah. Tetapi setiap kali saya berhajat untuk mengisi borang, setiap kali itu juga terbit rasa ‘sayang’ dengan situasi yang saya ada sekarang. Mungkin benar sindrom ‘comfort zone’ itu merbahaya kepada perkembangan diri dan kerjaya. Tetapi saya merasakan ada kekecualiannya, bila mana kita menjadikan diri kita sebagai individu yang sentiasa relevan dengan persekitaran.

Berbalik kepada soalan-soalan lazim daripada teman-teman, setiap kali berbicara tentang tempat bekerjaya. Saya mengambil perspektif positif dalam menanggapinya. Tanpa perlu untuk saya mempamerkan reaksi kepada persoalan teman-teman, saya memacakkan keyakinan bahawa dimana pun kita bekerja, jika kita bekerja dengan rasa cukup gembira, seronok dan menjadikan diri sentiasa relevan dengan persekitaran, seharusnya tidak timbul persoalan ‘berpindah sekolah’.

Bukan niat untuk mengajar sesiapa, jauh sekali untuk bermegah diri. Tetapi secara jujur, saya merasakan masih seronok bekerja di sekolah saya sekarang. Bagaimana?. Saya hanya berani menyatakan sejujurnya, kita mesti mendorong diri kita, agar sentiasa padan dengan persekitaran dan keperluan kerjaya kita. Tanpa terlalu kisah sangat dengan saiz sumbangan kita kepada organisasi, kita mesti meletakkan ‘keseronokkan bekerja’ sebagai prioriti diri kita.

Sebab itu, bila diamanahkan menjadi setiausaha peperiksaan dalaman sekolah, sedapat upaya saya yang mungkin, saya cuba menginovasikan pengurusan dan pengendalian peperiksaan dalaman sekolah disamping tugas utama saya sebagai guru mata pelajaran. Saya cuba untuk seronok memikul tugas ini kerana saya amat pasti keseronokan itulah yang mencetuskan inovasi dan kreativiti. Hasilnya, beberapa borang pengurusan peperiksaan diperkenalkan untuk memudahkan kerja-kerja guru kelas, guru pengubal soalan, guru pemeriksa soalan, penyelaras tingkatan dan setiausaha peperiksaan sendiri.

Inovasi ini bukan sahaja memudahkan kerja-kerja saya menyediakan analisis peperiksaan yang komprehensif untuk rujukan dan perancangan sekolah keseluruhannya, tetapi yang lebih menyeronokkan adalah apabila kerja-kerja kita itu mampu meringankan kerja-kerja rakan guru yang lain. Bukan niat hati ‘masuk bakul, angkat sendiri’ tetapi komen dan penghargaan daripada teman-teman sekerja!.

Perlu saya tegaskan, sungguhpun inovasi ini tidak pernah mendapat pujian dari ‘big bos’ ( mungkin ada… cuma saya tak dengar agaknya! ), sedikitpun saya tidak rasa terkilan!. Prinsipnya jelas, bagi saya ‘keseronokkan’ bekerja itu tidak patut diletakkan indikatornya kepada orang lain. Bahasa mudahnya, janganlah kita merasa ‘seronok’ itu kerana kita dipuji, atau ‘dikenali’ oleh big bos. Biarlah kita ‘seronok’ kerana kita telah menghasilkan satu kerja yang menyenangkan dan memudahkan orang lain dan diri kita juga.

Natijah juga jelas. Jika kita mengharapkan pujian big bos atau sesiapa sahaja, kita sebenarnya sedang menyediakan ruang untuk kita ‘kecewa’ dan ‘malas bekerja’ terutamanya apabila harapan kita itu tidak menjadi kenyataan!. Sebaliknya, jika kita melakukan kerja itu dengan rasa ‘seronok’ kerana kita ingin melakukannya untuk kepuasan sendiri, kita bukan sahaja menyediakan ‘ruang yang luas dan selesa’ untuk kita bereksperimen dengan kerja kita, malah yang lebih hebat lagi, kita akan sentiasa ‘bertenaga’ melakukan kerja-kerja kita.

Inilah yang saya maksudkan ‘mencipta kejayaan kecil’. Mungkin pada orang lain, kerja saya itu tidaklah seberapa. Tetapi bagi diri saya, saya tetap menghargai ‘sumbangan’ itu. Kejayaan kecil itulah yang sentiasa ‘mendorong’ saya untuk terus ‘seronok’ bekerja. Saya percaya banyak lagi ruang dan peluang inovasi dalam diri kita yang belum diteroka sepenuhnya. Jika ‘seronok’, kejayaan kecil itu akan membenihkan peluang baru untuk kita depani. Akhirnya…episod baru pula muncul, dan rasa teruja kita berkesinambungan……. Ingatlah bahawa rasa ‘seronok’ itu tidak akan terlepas daripada perhitungan pahala daripada Allah s.w.t. . Ayoh !

Thursday, November 20, 2008

Gembira Sepanjang Usia !

Minggu lalu, saya sempat bertemu dengan seseorang yang banyak mempengaruhi gaya berfikir saya. Bagi saya beliau adalah sifu, yang sabar menghadapi ‘kelembapan’ saya. Beliau juga adalah ayah, yang banyak memberi nasihat dan membina gaya berfikir. Biarlah hanya saya yang tahu…..!

Kelaziman setiap kali berkesempatan bertemu dengan beliau, pasti ada ole-ole yang ditinggalkan berupa nasihat dan pandangan atau perspektif terhadap sesuatu. Kali inipun kelaziman itu berulang lagi. Tetapi penegasan beliau bertumpu kepada persoalan ‘dendam’.

Tidak kiralah atas alasan apa sekalipun, perbuatan dendam ini mesti dihapuskan dari kamus kehidupan kita. Memang tepat mengambarkan ‘dendam’ umpama kita sendiri meminum racun tetapi mengharapkan dengan kita meminum racun itu, orang yang kita dendam itu akan mati. Anda fikirlah sendiri bagaimana mungkin, lain yang minum racun, lain pula yang mati oleh racun itu.

Amat pasti bahawa berdendam hanya akan menjadikan kita seperti mengusung tong sampah yang penuh dengan sampah sarap ke mana sahaja kita pergi. Mana tidaknya, rasa dendam yang kita pendam itu akan sentiasa tersimpan dalam benak pemikiran kita sama ada orang yang kita dendam itu berada dihadapan kita atau tiada. Rasa dendam kesumat itu akan sentiasa bermain difikiran dan mengakibatkan kita asyik terfikirkan bagaimana hendak ‘mengenakan’ dia.

Akibatnya, produktiviti kita mungkin akan terganggu. Sebab itulah, seseorang yang ingin maju kehadapan dalam hidupnya mesti mengambil jalan dan pandangan positif. Sudah tentu memilih antara berdendam atau berlapang dada bukanlah tindakan yang mudah untuk dilakukan. Tetapi jika kita memilih untuk berlapang dada, sebenarnya kita membuat pilihan positif dan bijak!. Kita bukan sahaja membebaskan bebanan fikiran kita dari perkara yang tiada faedahnya, tetapi yang lebih penting lagi, kita menjadikan dunia ini seronok untuk kita diami.

Sangat jarang kita temui individu yang sentiasa gembira sungguhpun ia berhadapan dengan pelbagai masalah. Orang positif selalunya cenderung melihat masalah yang dihadapinya sebagai cabaran-cabaran yang hanya akan mendewasakan dirinya untuk berjaya. Perlu ditegaskan, hari ini dan hari-hari yang telah berlalu hanya tinggal sebagai sejarah kehidupan kita. Sama ada sejarah itu penuh dengan kegembiraan atau kedukaan, kita tidak boleh lagi mengubah apa-apa. Tetapi percayalah bahawa hari esok tetap menjanjikan kebahagiaan jika kita mempermudah tafsiran kepada perkara-perkara negatif. Walau besar mana sekalipun saiz cabaran atau halangan yang merempuh kehidupan kita, janganlah sehingga menjadikan halangan itu sebagai perkara yang mengganggu dan mengusutkan pemikiran kita.

Biarlah kita menjadikan hari-hari yang kita lalui ini sentiasa dilatari oleh suasana gembira dan ceria. Esok dan hari-hari mendatang adalah tidak pasti untuk kita, tetapi tidaklah keterlaluan jika kita sentiasa ‘menjangkakan’ yang baik untuk kita. Yang paling hebat, jikapun kita mengalami apa-apa ‘musibah atau masalah’, biarlah kita tenang dan redha – cuba untuk senyum dan gembira walau cukup berat memikulnya. Jangan biarkan hari-hari berlalu tanpa senyuman mekar dan kuntuman kegembiraan!

Monday, November 17, 2008

Lelaki ini......Warisan !

Penghargaan kepada teman-teman seprofesion ! Saudara Suhaimi, Jubrin ( Boy ), Brader Beaufort – Saudara Najib, Mustaqim ( Taqim ), Hasnah ( Nanang ), Jusiah ( Ju ), Rozianie ( Ani ), Pn. Liza, Norshahida, Das Manir ( Gadis Kaunseling – yang bersemangat ! ) dan gadis yang tak banyak karenah ( Flora David ) serta kak cik dari Terengganu ( Wan Norizan ) kerana memberikan saya peluang yang amat selesa meneroka dan berkongsi daerah pemikiran dengan bakal guru anak-anak bangsaku!

Dalam perjalanan pulang dari Kem Ranggu pagi ini, saya memilih untuk mengumandangkan lagu Anuar Zain – Lelaki ini !. Saya sengaja memilih pemanduan yang santai kerana tiada apa yang perlu untuk saya bersegera kemana-mana. Pastinya destinasi saya adalah ke Seri Ilham, istana keluarga saya!

Sambil memandu saya meletakkan Pda Dell disisi untuk bersedia merakamkan apa-apa idea yang terlintas difikiran untuk dimuntahkan dalam blog. Saya bertekad untuk terus memasukkan coretan saya sesampainya saya di Seri Ilham nanti ( menyesal tak bawa laptop ke kem…). Hasrat di hati hendak ‘membunuh’ budaya bertangguh yang terkadang singgah dalam pemikiran. Lagu Anuar Zain seolah-olahnya mengumpankan ilham yang banyak untuk saya catatkan…….hinggakan terpaksa singgah bersarapan di Sedap Corner, Balung! ( Jiwang sungguh....he he! )

Program LDK semalam seperti kebiasaan ditamatkan dengan sedikit penghayatan. Saya terfikir untuk memilih perkataan ‘warisan’ menjadi topik bicara saya kali ini. Saya teringat di awal-awal saya ‘cuba’ jatuh cinta dengan profesion guru, daerah pemikiran saya hanya terjurus kearah memintal nasib diri dan keluarga yang berselimut dengan kepayahan kehidupan!. Saya hanya memikirkan bagaimana memperoleh sumber pendapatan, mengubah nasib keluarga. Kisah lebih 18 tahun yang lalu, tanpa saya sedari rupanya adalah sejarah yang cukup berharga.

Saya tersentak sedikit apabila Taqim bertanya sepontan, adakah saya seorang motivator. Sepontan juga saya menjawab, kepayahan yang saya lalui mengajar saya untuk menjadi manusia yang suka ‘mendorong’. Iltizam dan keseronokkan memberi dorongan dan galakan ini rupa-rupanya telah mendewasakan saya ( tanpa sedar ) menjadi motivator ( kalau gelaran itu layak untuk saya ! ).

Kejayaan saya dalam bidang akademik semasa bersekolah dahulu dicapai dengan pelbagai kepayahan…. berjalan kaki setiap kali ke sekolah!. Bantuan dari guru-guru saya memungkinkan nukilan kejayaan itu tetapi pastinya dengan usaha dan inisiatif diri sendiri. Gandingan kerja keras guru dan keazaman diri untuk mengubah nasib menghasilkan ‘result exam’ yang hebat rupanya!.

Sebab itu, saya memberi penegasan kepada Taqim dan rakan-rakannya, tidak rugi jika kita semua berjaya dengan cemerlang ( dalam apa-apa lapangan sekalipun… ). Apa yang paling penting, kita menjadikan diri kita manusia yang dirasai kehadirannya oleh orang sekeliling. Bukan sebagai ‘ikon glamor’ tetapi sebagai manusia yang suka mewariskan sesuatu untuk orang lain !. “Jika dahulu, guru saya mendorong saya mencipta kejayaan, maka hari ini selayaknya saya mendorong murid saya mencatat kejayaan juga. Jika hari ini saya buat baik kepada anak orang lain, saya amat yakin, suatu hari nanti akan ada ‘anak orang’ buat baik kepada anak-anak saya”.

Kalaupun ini mungkin tidak benar, saya masih yakin ‘butir’ kebaikan yang saya lakukan akan mendapat balasan setimpal dari Yang Maha Esa ! Insya-Allah! Jangan penat membuat kebaikan, kerana hari esok tetap menjanjikan kegembiraan kepada sesiapa yang mahu mengambil peluang dan kesempatan.

Marilah kita mewariskan sesuatu untuk orang lain, .....yang sebenarnya untuk kita juga! Saya meminjam lirik lagu Anuar Zain, ……Lelaki ini yang selalu mencintaimu…selalu ….tanpa ragu, ……hanya dirimu yang bertakhta dalam sanubariku…. . I love my job!

Tuesday, November 11, 2008

Memoir Samsiah Fakeh!

Al-fatehah buat Samsiah Fakeh yang kembali ke rahmatullah beberapa minggu yang lalu. Berita kematiannya membuatkan saya tergerak untuk mengenali allahyarhamah.

Lebih dari itu, nama Samsiah Fakeh ini sering dicatatkan dalam halaman buku sejarah semasa saya masih bersekolah dahulu. Lantas, saya memulakan pencarian melalui sesawang buku di internet.
Hasilnya saya temui buku 'Memoir Samsiah Fakeh - Dari AWAS ke Rejimen 10' di laman http://www.kinibooks.com/ .

Pembacaan saya terhadap buku ini baru lebih separuh. Namun setakat ini banyak 'benda' yang sebelum ini saya tidak ketahui, dihamparkan dalam memoir ini.
Namun saya tidak berminat untuk menyatakan pendapat saya tentang Samsiah Fakeh sehinggalah seusai saya membacanya.


Insya-Allah saya akan hamparkan nukilan saya tentang watak ini dalam 'updated' saya yang akan datang !.
"Saya hanya nak menyatakan secara ringkas, cerakinan saya lewat pembacaan terhadap buku ini dengan memetik kata-kata akhir penulis memoir ini dalam wawancaranya dengan wartawan Mastika pada 2 Okt. 2007 yang lalu, " Memperjuangkan kemerdekaan negara adalah satu-satunya perkara yang telah aku lakukan untuk bangsa dalam hidupku ".
Saya melanjutkan pertanyaan kepada diriku.....apakah yang telah aku sumbangkan kepada bangsa dan negaraku? Selayaknya kita harus menghargai setiap butir sumbangan yang telah kita lakukan, tidak kira bagaimana rupa dan saiznya. Saya tetap meyakini bahawa setiap kebaikan yang kita lakukan tidak akan terlepas daripada perhitungan amalan kita di hari esok !

Monday, November 10, 2008

Berpandangan Jauh.....


Pagi tadi, lebih kurang jam 2.00 pagi saya sampai di rumah sekembalinya dari menjalankan jursus kenegaraan SSM untuk pelatih Institut Perguruan Tawau. Walaupun letih dan mengantuk tetapi saya menggagahkan diri untuk mencoretkan sesuatu dalam laman saya ini atas dua sebab. Pertamanya, sudah menjadi rutin saya sehabis sesuatu kursus yang saya kendalikan, catatan pengalaman itu saya akan kongsikan lewat blog ini. Keduanya, saya berasa cukup puas, seronok dan gembira melangsaikan tugasan saya dalam kursus ini.

Sekadar menyatakan nama dan penghargaan kepada bakal guru…..Saudara Maing, Saudara Man, James, Silvia ( Baling… ), Ann Marie, Pn. Norma, Sumiati, Anna Octavia, Francisca, Jutawan Taini dan gadis Ranau, Emilda. Selamat Bertugas…..Semoga menjadi guru yang prolifik! Demi anak bangsa.

Pada kali ini saya sering tekankan perlunya kita mempunyai pandangan yang lebih jauh menerobos sempadan kepercayaan kita, tidak kiralah apa posisi kita dalam masyarakat. Kita tidak dapat menafikan hakikat diri kita sebagai manusia yang mempunyai batasan-batasan tertentu.

Pertamanya, saya anjurkan perlunya kita sentiasa menjadikan senyuman sebagai ‘opening relationship’ antara kita dengan sesiapa sahaja. Sangat jarang diantara kita melihat senyuman dengan fungsi sebegitu. Mana tidaknya, sering kali kita sangat kedekut melemparkan senyuman termasuk kepada orang yang selalu berurusan dengan kita.

Sedangkan potensinya, dengan ‘senyuman manis’ itu kita mungkin menyenangkan hati orang lain. Natijahnya kita bukan sahaja menjadikan hati kita sendiri ‘senang hati’ tetapi juga menjadikan orang lain ‘senang hati’ sama seperti kita. Melihatnya, dari perspektif agama, sudah tentunya amalan menguntum senyuman ini akan mendapat balasan pahala, insya-Allah!

Saya katakan berpandangan jauh, kerana dengan kita mengamalkan pendekatan ini, saya amat yakin ianya akan menjadikan kita sentiasa seronok melakukan apa sahaja tugasan kita, tidak kira dalam apa-apa posisi. “Always alive” bukan sahaja menjadikan kita individu yang berkesan dalam fungsinya, tetapi yang lebih hebat lagi, menjadikan kita ‘tahan’ kepada pelbagai cabaran dan halangan!

Saya amat pasti bahawa seseorang yang berada dalam kereta, sudah boleh membayangkan destinasi yang ditujunya adalah gambaran berpandangan jauh yang sangat berkesan dan menakjubkan!. Kenapa? Kerana individu berkenaan sudah boleh membayangkan hasil dari setiap tindakan dan perancangannya menuju destinasi berkenaan. Jumpa lagi !