Thursday, May 22, 2008

Pembangunan Profesional Guru

Dr. Amin Senin melalui buku kecil ini sebenarnya membawa anjakan baru dalam menanggapi medan makna Pembangunan Profesional Guru. Mungkin daerah pembacaan saya yang agak terhad, tetapi inilah buku pertama yang saya temui, khusus membicarakan dimensi baru pembangunan profesional keguruan, khasnya yang dibicarakan dalam bahasa melayu.

Buku kecil ini sarat dengan gagasan dan pemikiran yang segar tentang bagaimana harus warga yang melibatkan diri dalam dunia keguruan membawa dan menampilkan diri agar sentiasa sesuai dan relevan dengan tuntutan semasa pendidikan masa kini. Bermula dengan bicara tentang perspektif pembangunan profesional guru, penulis mengupas pula realiti gaya pembelajaran orang dewasa yang sinonim dengan hambatan pembangunan profesional keguruan itu sendiri.

Penulis seterusnya menukilkan gagasan dan idea segar tentang cara bagaimana pembangunan profesional guru ini boleh direalitikan lewat beberapa model. Melengkapi 5 model yang diutarakan ini, penulis menghamparkan pula beberapa model penilaian. Pada bab akhir, penulis cuba menghampirkan gagasannya kepada realiti dilapangan khususnya, sekolah. Seusai sahaja seseorang guru menghabiskan ‘perguruannya’ di institusi-institusi perguruan, semangat tinggi dan berkobar-kobar guru itu untuk menguji ilmu yang telah diperolehinya dilapangan sebenar profesion, sentiasa membara.

Tetapi obor semangat itulah yang selalunya, malap sebelum masanya. Pada hemat saya, ditahap inilah sebenarnya seorang warga guru perlu ‘mengkhatam’ idea dan gagasan yang dibicarakan dalam buku kecil ini. Proses peremajaan dan pematangan idealisme atau lebih tepat lagi pembangunan profesional guru itu sendiri sentiasa memerlukan segaran sesuai dengan dinamiknya profesion ini. Individu yang memilih untuk menjadi sebahagian daripada keluarga besar profesion ini perlu lebih bersedia menghadapi dan lebih penting lagi, memenuhi keperluan ini.

Memetik saranan penulis buku ini dalam catatan akhirnya, “gagasan pembangunan profesional guru berasaskan sekolah perlu diperhebat dan diperluaskan”, maka sudah selayaknya semua orang tanpa mengira tingkat dan kastanya dalam profesion keguruan perlu memilih untuk sentiasa ‘muda dan remaja’ dalam kerjaya guru. Suatu yang pasti, menurut Dr. Amin Senin lagi, melalui pembangunan profesional dapat merubah pengajaran guru dan pembelajaran pelajar di dalam bilik darjah.

Sungguhpun gaya bahasa yang digunakan agak mencabar tingkat pemahaman dan kualiti pembacaan, kepada semua yang prihatin dengan perkembangan pembangunan profesional guru, saya menganjurkan bacalah buku kecil yang penuh ilmu ini, yang tidak padan dengan saiz dan harganya ini.