Sunday, June 1, 2008

Doktor....Ohhh Doktor!

Hari ini merupakan hari terakhir saya mengendalikan sesi latihan dinamika kumpulan (LDK) untuk Kursus Doktor-doktor yang bertugas di merata negeri Sabah. Orang kata, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Suka saya menzahirkan rasa empati kepada profesion kedoktoran dan para doktor di mana sahaja mereka bertugas, atas ketabahan dan kegigihan mereka memikul amanah sungguhpun mereka dilingkari pelbagai cabaran dan kekangan dalam menjalankan tugas mereka. Kesanggupan mereka untuk mengorbankan kehidupan bersosial seperti mana manusia normal yang lain, harus diberikan penghargaan dan apresiasi.

Salah seorang doktor dalam kumpulan LDK saya, menyatakan bagaimana beliau terpaksa berhadapan dengan tanggapan serong masyarakat atas sedikit kelewatan atau kesilapan tertentu, lantas seolah-olah menidakkan segala pengorbanan yang dilakukannya.

Anda bayangkan sendiri, bagaimana seorang doktor boleh menghargai kehidupan peribadinya sendiri jika hanya 2 orang doktor yang bertugas di hospital di satu pekan kecil yang tentunya kehadiran doktor berkenaan amat dirasai.

Anda bayangkan juga, jika salah seorang doktor berkenaan terpaksa meninggalkan tugas kerana tugasan lain diluar daerah, apa akan jadi dengan tugas yang dipikul oleh doktor yang tinggal itu. Laratkah kita melakukan tugasan 24 jam sehari, 7 hari seminggu.........? Dengan pelbagai jenis 'case notes' yang perlu dikendalikan dan memerlukan penyelesaian segera !

Lantas, sewajarnya kita harus memikirkan kembali, persepsi kita terhadap para doktor. Kebergantungan kita yang tinggi terhadap dedikasi mereka dalam kerjaya ini menuntut kita untuk harus sentiasa memberikan penghargaan dan rasa terima kasih atau selemah-lemahnya sentiasa menghadiahkan kuntuman 'senyuman' setiap kali bersua dengan mereka yang berkerjaya dalam profesion ini.

Terima kasih para doktor !