Saya baru sahaja kembali dari menjalankan kursus untuk para pelatih Institut Perguruan Seluruh Negeri Sabah ( bakal guru ) dan para pelatih dari Kolej Kejururawatan Kota Kinabalu ( bakal Jururawat Masyarakat ). Suka saya menyatakan kegembiraan yang amat sangat kerana mengendalikan peserta-peserta Kumpulan Tujuh ini, hidangan buah fikiran pelbagai perspektif tentunya menambahkan lagi khazanah pengalaman saya.
Sekadar menyebutkan nama, Lerry, Yenny, Damcyk, Zaikah, Siti Hajar, Hawa, Rostinah, Fadelia, Afifah, Darleen, Napsiah, Mastikah, Denny..........
Satu mesej yang saya perolehi daripada bicara bersama mereka adalah nilai menghargai perhubungan. Benarlah bahawa kita hanya tahu menilai sesuatu setelah kita kehilangannya. Apatah lagi dalam konteks hubungan sesama manusia. Saya sentiasa teringat 'pengalaman' yang dilalui Yenny dengan temannya yang menghidap penyakit barah, yang meninggal dunia dan menyebabkan Yen belajar nilai 'menghargai perhubungan'.
Selemah-lemahnya, mengukir senyuman sudah cukup membahagiakan. Pernahkah kita mengukur diri sejauh mana kita sentiasa menghargai hubungan persahabatan dengan sesiapa sahaja disekeliling kita. Tentunya dengan pelbagai gajet canggih yang ada dalam dunia teknologi komunikasi masa kini, tidak memungkinkan kita beralasan lagi atas kelalaian mengekalkan hubungan.
Berapa ramai dikalangan kita, yang sanggup meluangkan masa menghabiskan kredit telefon bimbit meng'sms' semua kawan-kawan dengan mesej seringkas "Apa khabar?, apa perkembangan". Jika kita mengukur nilai kredit telefon yang kita habiskan itu lebih mahal daripada nilai hubungan persahabatan yang tidak ternilai itu, rasanya kita seolah-olah memilih untuk tidak hidup gembira dan bahagia.
Secara peribadi, saya sentiasa berusaha melakukan dan menganjurkan......mengukir senyuman apabila saling bertemu pandang, bertanya 'sihat ke...?' apabila bersalaman !. Saya yakin bahawa perkara sekecil ini mampu menjadi duta peribadi kita dalam mengekalkan hubungan persahabatan......dan yang lebih penting lagi, menjadikan kita sentiasa gembira dan bahagia!.
Saya yakin......jika kita amat pemurah berkongsi senyuman dan wajah ceria kita dengan seramai mungkin manusia, apatah lagi sahabat-sahabat kita....akan menjadikan hidup kita sentiasa bermakna!
Senyumlah......sentiasa !