Wednesday, June 18, 2008

Memoir Dua Dunia !

Pagi ini saya cukup gembira kerana berjaya menamatkan pembacaan saya terhadap buku terbaru karyawan Anis Sabirin, Memoir Dua Dunia yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Gembira pastinya atas dua premis utama!

Pertamanya, buku yang mengandungi 37 topik ini membuka dan mendedahkan pelbagai perspektif baru terhadap beberapa kefahaman saya sebelum ini. Secara akademik, saya bersetuju dengan pandangan penulis bahawa kita perlu sedikit objektif dan terbuka menanggapi sesuatu perkara. Anis Sabirin mendedahkan bagaimana sepanjang 27 tahun tinggal di Amerika Syarikat, sangat mudah mengikuti perkembangan di Malaysia kerana pendedahan pelbagai media disana, tetapi sekembalinya ke Malaysia sangat kurang diketahui perkembangan di Amerika Syarikat, jika adapun bersifat negatif.

Demikian juga pendedahan penulis tentang sikap dan keperibadian masyarakat Amerika Syarikat terhadap pencandu ilmu atau cendekiawan. Anis Sabirin sebagai seorang penuntut kedoktoran (Phd) di Universiti Claremont, Los Angeles mendapat kemudahan dan layanan cukup mesra apabila berkunjung ke Pepustakaan Kongres, di Washington D.C.. Situasi sebaliknya berlaku apabila Anis pergi ke perpustakaan Universiti Malaya. Banyak lagi pendedahan penulis buku ini dihamparkan di setiap topik yang dibicarakan, yang membuatkan saya terus teruja mengikuti pembacaan saya topik demi topik.

Mungkin saya dipengaruhi oleh minat pembacaan saya terhadap buku-buku berupa memoir atau catatan pengalaman seperti ini, tetapi secara jujur, saya berminat dengan gaya penulisan Anis Sabirin yang santai dan menggunakan bahasa yang amat mudah difahami. Tentunya gaya penulisan sebegini memudahkan penghantaran mesej penulisan kepada pembaca. Apatah lagi Anis dengan luwes dan jujur banyak mendedahkan cerita yang kelihatannya cerita picisan dalam hidup tetapi membawa makna yang boleh mematangkan dan mendewasakan kehidupan!.

Buku yang mengisahkan pengalaman peribadi Anis Sabirin di dua dunia yang berbeza, di Malaysia ke Amerika Syarikat dan kembali ke Malaysia cukup mengesankan. Sungguhpun hanya melalui pembacaan, saya seolah-olah dibawa 'menjelajah' dengan penuh minat dan rasa ingin tahu yang tinggi ke daerah pengalaman penulis. Setiap topik yang dinukilkan penuh dengan catatan pengalaman. Buku yang berharga RM22.00 ini antara buku koleksi peribadi yang membawa makna, dalam menanggapi kehidupan!.

Perkara kedua kegembiraan saya sehabisnya pembacaan terhadap buku ini adalah 'ketagihan' saya yang semakin 'menyeronokkan'. Saya sempat meluahkan kepada sahabat saya, Yani, bahawa mutakhir ini seperti mudah untuk menghabiskan pembacaan sesuatu buku setebal buku Anis Sabirin ini. Insya-Allah, seusai pembacaan buku Memoir Dua Dunia ini, saya menekuni pula pembacaan buku 'Pembelajaran Aktif' yang saya beli secara on-line dari Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM). Saya akan bicarakan kandungan buku ini sehabis saya melangsaikan pembacaan.