Ada kaitan dengan saranan saya sempena sambutan hari guru yang kita raikan ini, saban waktu kita dihidangkan dengan berita keruntuhan akhlak dan moral para remaja kita yang mutakhir ini semacam sukar dibendung dan diatasi.
Mungkin ada benarnya tanggapan yang mengatakan, inilah harga yang perlu dibayar sebagai galang ganti kepada pembangunan dan kemajuan yang ingin kita kecapi. Sungguhpun pelbagai usaha dan ikhtiar telah dan sedang diaplikasikan menghadapi kesukaran ini, tetapi setiap kali itu juga kelihatannya harmoni masyarakat seolah-olah dicabar.
Jika kita memilih untuk menunding jari kepada sesiapa sahaja sebagai 'kambing hitam' kepada kegagalan ini, rasanya kita memilih untuk tidak bijaksana menanggapi permasalahan generasi muda kita. Lebih parah lagi, tanpa sedar kita berpolemik tak sudah-sudah.
Pada hemat saya, kita sebenarnya belum lagi seoptimanya menggunakan kekuatan dan kelebihan yang kita ada untuk menghadapi 'racauan' anak-anak muda kita. Lebih spesifik dalam lingkungan pengaruh sekolah, peranan kita sebagai guru yang menggantikan ibu dan bapa dalam menggilap gemerlapan watak setiap anak-anak didik harus 'dilihat kembali'.
Sejauh mana kita telah menyumbang kepada penyelesaian polemik 'racauan' anak-anak didik kita, mungkin persoalan yang terlalu tipikal sifatnya. Tidak semua anak-anak didik kita yang akan berjaya dalam akademik mereka. Tetapi bagi setiap watak anak-anak kita ini harus dibekalkan dengan perisian nilai dan akhlak yang universal tetapi komprehensif.
Kita berusahalah semaksimanya untuk memberikan pendidikan yang baik kepada anak-anak didik seperti mana kita mendidik anak sendiri, Marilah kita 'mewariskan peninggalan berharga' yang memungkinkan kita menjadi "manusia mati meninggalkan nama"
No comments:
Post a Comment