Deretan cerita gembira dua tiga minggu mutakhir ini mengundang penaakulan terhadap makna sesuatu. Saya kurang pasti bagaimana merangkumkannya menjadi satu, tetapi terasa ia mungkin boleh dikisahkan secara berbabak untuk memudahkan penaakulan.
Gol
Pertemuan buku dan ruas antara Malaysia dan Indonesia semalam dalam perhitungan akhir pingat emas bola sepak Sukan SEA ke-26 rasanya memborong banyak makna kepada sesiapa sahaja yang menontonnya. Dari sudut mata anak Malaysia, kemenangan skuad muda negara, menerusi sepakan penalti membolehkan 'tidur lena dan nyenyak' semalam. Mengapa tidak, kemampuan mengukir kemenangan ditengah-tengah sorakan puluhan ribu warga Indonesia dalam Stadium Gelora Bung Karno dilakar dengan penuh bergaya. Sungguhpun dibolosi awal, skuad negara berupaya menyamakan kedudukan. Lebih dari itu, terbukti bahawa usaha yang bersungguh-sungguh, tanpa mengenal penat lelah berupaya 'memungkinkan segala-galanya'. Tiada yang mustahil! Asal saja gol!.
Bonai....
Satu watak yang mencuri perhatian saya semalam adalah penyerang Indonesia, Bonai namanya. Pemain ini mempamerkan gaya permainan yang tersendiri. Ramuan gaya permainannya disulami peragaan sikap yang cukup berkualiti. Rajinnya, cekapnya, bersungguh-sungguhnya, azamnya, tidak kenal putus asanya, malah rasa hormatnya pada pemain lawan harus dicontohi. Pada ketika yang lain, selepas Indonesian mengalami kekalahan, Bonai masih mampu menguntumkan senyuman dan berkata sesuatu, tahniah agaknya, kepada pemain Malaysia. Watak positifnya membolehkannya senyum meskipun mengalami kekalahan!.
Sukses....
Sememangnya kekalahan sesuatu yang sukar diterima. Dalam mana-mana persaingan, matlamat akhirnya hanyalah menang, menang dan menang. Kalaupun sebaliknya, kekalahan hanya akan menambahkan keazaman, usaha berganda malah perseteruan yang tidak kunjung sudah. Namun ciri penting yang ada pada setiap sisi sama ada kalah atau menang adalah 'usaha untuk sukses'. Manusia normal, selayaknya beranjak untuk sentiasa maju kehadapan. Jika berlakupun kecacatan, kekalahan dan seumpamanya, ia hanyalah sebahagian daripada ciri dan bukti bagaimana kejayaan atau sukses itu diusahakan.
Posted using BlogPress from my iPad
Location:Kantin SBPLD, Lahad Datu.
No comments:
Post a Comment