Bertenang dan berehat seketika sesampai sahaja dari perjalanan seharian dalam Program Membasahkan Daerah Gersang. Program diakhiri dengan acara menikmati sup payau.... Sungguhpun Eksplorasi Minda Menerobos Suria berlangsung seharian, namun bersemangat dan sentiasa bernyawa menelusuri diskusi yang mengujakan.
Benarlah bahawa semakin kita mendalami sesuatu, semakinlah kita mengetahui kekurangan yang kita miliki. Program hari ini saya acapkali menzahirkan positifisme sebagai asas menapak sesuatu. Sememangnya sukar untuk mengakui kekurangan dan kelemahan diri, apatah lagi dengan ciri egoistik yang dimiliki setiap individu. Namun, halangan sebegini tentu sahaja menyukarkan perjalanan kita dalam mencari makna.......yang kita cari. Lantas, pilihan yang sewajarnya dipertimbangkan adalah berlapang dada mendepani segala bentuk halangan.
Ramuan yang kita perolehi dari setiap detik dan peristiwa yang kita alami sewajarnya memberikan input yang bukan sedikit kepada pembinaan watak yang mencirikan identiti kita. Pengalaman realiti hidup dan gelagat setiap watak manusia menyediakan satu siri 'tayangan gambar' secara 'live' untuk kita menentukan pilihan. Kita mempunyai 'lesen' untuk membuat telahan, jangkaan dan ramalan. Dalam masa yang sama, kita juga mempunyai 'lesen' untuk membuat pilihan.
Lantas, amat wajar sekiranya kita kreatif membangunkan suatu 'ramuan hidup' hasil dari pengamatan dan pentaakulan terhadap setiap fasa dalam kehidupan kita. Agaknya, inilah yang dikatakan sebagai membuat 'pendirian'. Saya amat meyakini keperluan kita membuat pendirian masing-masing akan menjelmakan perwatakkan kita. Tentu sahaja natijah daripada pendirian itu adalah obligasi yang akan mengekori kita kemana sahaja. Cuma, mungkin bentuknya terjelma dalam pelbagai rupa, dalam bentuk penghormatan atau penghinaan, atau lebih kritikal lagi.....dalam bentuk dosa dan pahala.
Bersama kita memikirkannya. Benar pada saya tak semestinya benar pada anda. Tetapi usah takut menjawab salah!. Agaknya begitu.....
- Posted using BlogPress from my iPad
No comments:
Post a Comment