Wednesday, September 29, 2010

Tahu dan buat !

Apa beza antara tahu dan buat ?. Jika tafsiran kita merujuk kepada medan makna perkataan semata-mata, mungkin mudah untuk kita menyatakan perbandingan antara kedua-dua perkataan tersebut. Saya timbulkan persoalan ini bukan untuk mencirikan makna perkataan semata-mata. Untuk memudahkan daerah kefahaman kita, persoalan ini dilontarkan khususnya untuk menanggapi polemik yang diakibatkan oleh perbezaan antara dua perkataan berkenaan.

Kecenderungan yang sering berlaku, betapa kita mudah mengaku tahu. Malah pada tahap yang lebih parah, mengakui sangat arif tentang sesuatu perkara. Andai yang diakui itu benar-benar seperti yang diakui maka tidak sangat menimbulkan persoalan. Sebaliknya, andai yang diakui ‘tahu’ sedangkan yang sebenarnya ‘tidak tahu’ atau lebih lebih lembut sedikit ‘tahulah sikit-sikit’ maka tahap ini memerlukan muhasabah. Lebih rendah daripada tahap itu, tentu sahaja sudah memasuki zon lain, iaitu berbohong!.

Saya tidak kisah sangat dengan soal pembuktian yang mencirikan dia tahu atau tidak. Tetapi persoalan yang lebih mendasar adalah soal integriti dan harga diri seseorang yang mengaku tahu. Mungkin persoalan ini boleh lagi diperincikan sejauh mana perkara yang diakui itu memberi implikasi kepada diri dan manusia sekeliling, malah kepada persekitarannya. Seseorang yang mengaku tahu dan dengan pengetahuannya itu berupaya membantu manusia lain mempermudahkan sesuatu perkara, tidak sangat menimbulkan polemik.

Sebaliknya, andai perkara itu penting kepada kehidupan manusia dan seumpamanya, dan kita mengakui bahawa kita tahu, pada hal dalam keadaan sebenarnya kita tidak tahu apa-apa……bukan sahaja kita kehilangan integriti malah kita juga turut merisikokan manusia lain dengan tindakan pengakuan kita yang tidak bertanggungjawab. Tetapi lazimnya, kita sendiri tentu sahaja tidak mengaku ‘tahu’, apatah lagi jika perkara itu besar implikasinya kepada manusia lain.

‘Buat’ kelihatannya perkataan yang bersifat ‘pragmatik’. Memang pragmatikpun!. Jika diperhalusi, ‘buat’ menggambarkan sesuatu yang dilakukan dan direalitikan. Bukan hanya pada kata-kata. Sama ada ‘buat’ itu sempurna atau tidak, pada hemat saya adalah persoalan lain. Tahap sempurna rasanya adalah fasa yang datang kemudian setelah sesuatu itu dibuat!. Kita hanya mengetahui tahap kesempurnaan sesuatu perkara setelah terlebih dahulu kita ‘buat’ perkara itu!.

Penambahbaikan adalah antara perkataan yang sinonim dengan sempurna. Sesuatu yang telah dibuat boleh ditingkatkan kesempurnaannya dengan melakukan penambahbaikan. Bukankah sesuatu yang ‘pelik’ membuat penambahbaikan terhadap sesuatu yang belum dibuat!. Maknanya, walau apapun pokok perbincangan dan polemik yang timbul, ‘buat’ dahulu adalah perkara yang paling hampir mesti didahulukan!. Jika berlakupun debat awal semasa sesuatu itu ingin dibuat, tentu sahaja perdebatan itu dengan niat menjadikan apa yang ingin dibuat itu menghampiri kesempurnaan. Sesuatu yang menafikan fitrah alam andai ada yang ingin membuat sesuatu tetapi tidak mengharapkan kesempurnaan.

Kembali kepada perbincangan awal, perbezaan tahu dan buat sememangnya jelas. Walau dalam apa-apa lapangan sekalipun, jika kita ingin melihat hasil….’buat’ adalah lebih baik dari sekadar ‘tahu’!. Tetapi……mungkinkah kita boleh ‘buat’ jika kita tidak ‘tahu’. Perlu juga ditegaskan, ‘tahu’ sahajapun tidak memadai jika kita tidak ‘buat’. Tahap yang agaknya boleh menjamin kesempurnaan hasil…. rasanya adalah ‘tahu’ dan ‘buat’ beriringan!. Teramatlah malangnya….. jika kita tidak ‘buat’ walaupun kita ‘tahu’. Lebih malang lagi…..punca kita tidak ‘buat’ adalah gara-gara kita tidak ‘tahu’!. Lantas, ayuh kita ambil ‘tahu’ supaya kita boleh ‘buat’. Agaknya……begitu makna keduanya dari kacamata mindaku!

No comments: