Sunday, September 5, 2010

Bekalan Perjalanan Panjang!

Tiga perkara yang akan menjadi bekalan yang dibawa ke liang lahat. Doa dari anak soleh, ilmu yang telah diajarkan dan diamalkan dan sedekah jariah yang telah diwaqafkan. Demikian yang saya fahami daripada bacaan dan bicara agama tentang pahala dan kebaikan yang akan kita bawa dalam kehidupan sesudah mati. Begitu mudahnya hidup ini dimanfaatkan. Saya terfikir sendiri, dalam banyak-banyak hal yang kita ambil pusing dalam dunia ini, hanya tiga perkara itu sahaja yang akan mengalirkan sumber pahala dan kebaikan yang berterusan kepada hidup kita selepas mati kelak.

Lalu bagaimana harus kita bertindak laku menanggapi 'janji' dari Yang Maha Esa ini. Tentu sahaja sebagai seorang anak kepada ayah dan ibu saya, selayaknya menjadi dan menyediakan diri menjadi orang berguna. Bergunanya saya menjadi manusia yang bermanfaat kepada diri dan sekeliling tentu sahaja banyak manfaat. Berjayanya saya sebagai orang berguna tentu sahaja akan memberikan kebaikan kepada arwah ayah saya kerana didikan dan nasihat serta doa ayahlah yang mencorakkan kejayaan saya hari ini. Setiap butir kebaikan yang kita lakukan tentu sahaja ibu dan ayah kita juga turut mendapat kebaikan itu. Lantas, doa yang tidak putus-putus memohon kesejahteraan Ayah adalah antara yang boleh kita lakukan. Agaknya begitu untuk menjadi anak soleh!.

Hari ini, mungkin kita pula mengambil peranan sebagai ayah. Perbuatan kita mendoakan ayah, menziarahi pusara ayah dan bertekad sentiasa melakukan perbuatan yang baik dan menjauhi perkara-perkara yang dilarang mungkin 'sedang' diperhatikan oleh anak-anak kita. Selayaknya kita zahirkan perbuatan ini untuk menjadi pengetahuan dan ilmu kepada anak-anak, agar nantinya kita berdoa moga mereka melakukan demikian 'sepeninggalan' kita dari dunia ini kelak!.

Ilmu. Pada hemat saya, setiap butir nasihat dan kata-kata yang kita sampaikan juga adalah butir-butir ilmu, dan bukan terhad kepada skop ilmu dalam konteks yang komprehensif, yang disampaikan secara formal di bilik-bilik darjah dan dewan kuliah. Dorongan dan nasihat juga adalah sebahagian ilmu. Anda bayangkan sahaja seorang penagih dadah yang berubah menjadi baik setelah mendengar nasihat dan bimbingan daripada kita. Nasihat dan bimbingan itu pula lah yang menjadi obor perubahan kepada dirinya menjalani kehidupannya pada hari-hari mendatang. Rasa saya itu juga 'ilmu yang bermanfaat' yang kita ajarkan kepada orang. Apatah lagi jika ianya ilmu yang kita berikan secara formal itu benar-benar dari cabang dan ranting ilmu pokok yang mendasari hidup dan kehidupannya.

Tentu sahaja ia akan memberikan kebaikan yang berpanjangan. Hari ini kita mengenal A, B, C dan Alif Ba Ta tentu sahaja dengan dedikasi guru kita. Hari ini kita mengenal kehidupan kita tentu sahaja dengan pentaakulan terhadap hubungan kita dengan Tuhan, Alam sekeliling dan sesama manusia. Hubungan sesama manusia secara langsung juga adalah guru yang telah mendewasakan kita. Dari sekecil-kecil kata yang menjadi pegangan orang sehinggalah kepada cabang ilmu yang kompleks adalah juga ilmu yang telah bermanfaat. Agaknya begitulah yang dikatakan 'ilmu' yang bermanfaat!. Ayuh......jangan penat berkongsi ilmu !.

Sedekah jariah dan harta yang diwaqafkan. Saya teringat 'diskusi ramadhan' bersama sifu dan beberapa teman, beberapa hari yang lalu, inilah antara hikmah Allah tidak menjadikan 'pahala' dalam bentuk yang boleh diukur-sukat oleh manusia. Kita berkencenderungan untuk menggunakan indeks manusia untuk membandingkan 'pahala' yang Allah s.w.t. berikan kepada kita. Lantas, orang kaya apabila mensedekahkan hartanya tentu akan mendapat pahala yang lebih berbanding orang biasa yang bersedekah dengan penuh ikhlas, adalah kefahaman yang kurang tepat. Keikhlasan jua yang akhirnya menjadi ukuran besar dan kecil pahala yang dijanjikan Allah s.w.t. kepada kita. Sebab itulah.....dalam soal sedekah jariah ini sebaik-baiknya tangan kanan yang memberi tidak diketahui oleh tangan kiri. Sampai begitu sekali.....tahap keikhlasan yang dianjurkan!. Agaknya begitulah kefahaman saya......menanggapi persoalan ini!.

Tindakannya, ayuh.....kita perbanyakkan amalan 'mengisi' tabung bekalan kita dalam perjalanan ke alam yang kekal abadi itu. Segalanya tentu sahaja dengan kudrat dan iradah dari-Nya jua. Catatan inipun saya nukilkan untuk memperteguhkan kefahaman dan menyaringkan 'suara ingatan' kepada diri sendiri yang amat jauh dari kesempurnaan!. Keampunan Allah s.w.t. jua yang kita harapkan!. Wallahu' alam.

No comments: