Wednesday, September 1, 2010

Susah......

Saya terlihat seorang ibu muda yang sedang melayan beberapa orang anak kecilnya. Dari raut wajahnya, ibu muda ini sarat menghadapi cabaran melayan karenah anak-anaknya. Apatah lagi mereka tinggal di bawah runtuhan bangunan yang kelihatan bagai jerangkap samar dan hanya menunggu masanya untuk runtuh.

Lantaran merasa insaf dan kasihan saya menawarkan sedikit bantuan kewangan kepada ibu muda ini. Melalui seorang perantara, saya menyatakan hasrat ini. Namun, alangkah terkejutnya saya kerana niat baik saya ditolak secara baik oleh ibu muda ini, sambil menyatakan pihak baitulmal lebih berhak menerima bantuan kewangan yang saya berikan!.

Pada satu ketika yang lain, saya melihat sekumpulan kanak-kanak sedang bermain kegembiraan. Riak wajah kanak-kanak ini langsung tidak mempamerkan aroma kegusaran, kesedihan jauh sekali mempamerkan rasa penderitaan yang amat sangat sungguhpun bermain dilaman permainan yang penuh berserakkan dengan bongkah runtuhan bangunan kesan peperangan.

Terdetik hati untuk memberikan sebungkus biskut wafer kepada salah seorang dari mereka yang kebetulan berada berhampiran saya. Sekurang-kurangnya terukir rasa kegembiraan pada wajahnya, sebagaimana kebanyakkan kanak-kanak lain sering pamerkan. Sekali jangkaan saya meleset. Kanak-kanak itu tiba-tiba memanggil kawan-kawannya yang lain dan memakan biskut wafer sebungkus itu bersama-sama. Situasi yang selalunya berlaku, biskut wafer itu dimakan sendirian. Saya menghela nafas panjang sambil mengkagumi betapa kesengsaraan kanak-kanak ini telah menjadikan mereka amat menghargai setiap nikmat dan kelebihan yang mereka perolehi.

Demikian antara cebisan kisah yang diceritakan dan dialami sendiri oleh seorang Wira Gaza dalam program tempoh hari. Pada saya kisah ini jauh lebih menerbitkan keinsafan betapa pengorbanan yang kita lakukan sebenarnya tidaklah seberapa berbanding dengan pengorbanan yang dilakukan warga Palestine berkenaan. Lalu apakah sikap kita?. Tentu sahaja dengan segala kepayahan yang dipaparkan cerita ini menuntut kita untuk lebih berjiwa besar melihat sesuatu kesulitan dan kepayahan yang kita alami.

Hanya dengan berjiwa besar itu nanti kita tahu menilai harga sebuah pengorbanan dan menjadikan kita kerdil menanggapi segala ujian yang Allah s.w.t. berikan kepada kita. Lebih penting lagi, jika kita merasa cukup susah, percayalah ada lagi yang lebih susah daripada kita. Lantas, selayaknya kita lebih kental menghadapi kepayahan yang mengusik kita!. Fikirlah sendiri…..!

No comments: