Thursday, May 22, 2008

Pembangunan Profesional Guru

Dr. Amin Senin melalui buku kecil ini sebenarnya membawa anjakan baru dalam menanggapi medan makna Pembangunan Profesional Guru. Mungkin daerah pembacaan saya yang agak terhad, tetapi inilah buku pertama yang saya temui, khusus membicarakan dimensi baru pembangunan profesional keguruan, khasnya yang dibicarakan dalam bahasa melayu.

Buku kecil ini sarat dengan gagasan dan pemikiran yang segar tentang bagaimana harus warga yang melibatkan diri dalam dunia keguruan membawa dan menampilkan diri agar sentiasa sesuai dan relevan dengan tuntutan semasa pendidikan masa kini. Bermula dengan bicara tentang perspektif pembangunan profesional guru, penulis mengupas pula realiti gaya pembelajaran orang dewasa yang sinonim dengan hambatan pembangunan profesional keguruan itu sendiri.

Penulis seterusnya menukilkan gagasan dan idea segar tentang cara bagaimana pembangunan profesional guru ini boleh direalitikan lewat beberapa model. Melengkapi 5 model yang diutarakan ini, penulis menghamparkan pula beberapa model penilaian. Pada bab akhir, penulis cuba menghampirkan gagasannya kepada realiti dilapangan khususnya, sekolah. Seusai sahaja seseorang guru menghabiskan ‘perguruannya’ di institusi-institusi perguruan, semangat tinggi dan berkobar-kobar guru itu untuk menguji ilmu yang telah diperolehinya dilapangan sebenar profesion, sentiasa membara.

Tetapi obor semangat itulah yang selalunya, malap sebelum masanya. Pada hemat saya, ditahap inilah sebenarnya seorang warga guru perlu ‘mengkhatam’ idea dan gagasan yang dibicarakan dalam buku kecil ini. Proses peremajaan dan pematangan idealisme atau lebih tepat lagi pembangunan profesional guru itu sendiri sentiasa memerlukan segaran sesuai dengan dinamiknya profesion ini. Individu yang memilih untuk menjadi sebahagian daripada keluarga besar profesion ini perlu lebih bersedia menghadapi dan lebih penting lagi, memenuhi keperluan ini.

Memetik saranan penulis buku ini dalam catatan akhirnya, “gagasan pembangunan profesional guru berasaskan sekolah perlu diperhebat dan diperluaskan”, maka sudah selayaknya semua orang tanpa mengira tingkat dan kastanya dalam profesion keguruan perlu memilih untuk sentiasa ‘muda dan remaja’ dalam kerjaya guru. Suatu yang pasti, menurut Dr. Amin Senin lagi, melalui pembangunan profesional dapat merubah pengajaran guru dan pembelajaran pelajar di dalam bilik darjah.

Sungguhpun gaya bahasa yang digunakan agak mencabar tingkat pemahaman dan kualiti pembacaan, kepada semua yang prihatin dengan perkembangan pembangunan profesional guru, saya menganjurkan bacalah buku kecil yang penuh ilmu ini, yang tidak padan dengan saiz dan harganya ini.

Seri Ilham……







Sunday, May 18, 2008

Pertemuan Bersama Yani & Ramli

Bicara petang ini santai dan bersahaja……pagi nanti akan upload kandungan bicara santai ini !

Post from Word!

I am just try……a new simple way to publish my post directly from my word.

Saturday, May 17, 2008

Gambar-gambar Terbaru Adik Azzyati!






Gambar-gambar terkini adik Azzyati !



Friday, May 16, 2008

Mewariskan Peninggalan Berharga!

Kita tidak asing dengan bait kata-kata "harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama".

Ada kaitan dengan saranan saya sempena sambutan hari guru yang kita raikan ini, saban waktu kita dihidangkan dengan berita keruntuhan akhlak dan moral para remaja kita yang mutakhir ini semacam sukar dibendung dan diatasi.

Mungkin ada benarnya tanggapan yang mengatakan, inilah harga yang perlu dibayar sebagai galang ganti kepada pembangunan dan kemajuan yang ingin kita kecapi. Sungguhpun pelbagai usaha dan ikhtiar telah dan sedang diaplikasikan menghadapi kesukaran ini, tetapi setiap kali itu juga kelihatannya harmoni masyarakat seolah-olah dicabar.

Jika kita memilih untuk menunding jari kepada sesiapa sahaja sebagai 'kambing hitam' kepada kegagalan ini, rasanya kita memilih untuk tidak bijaksana menanggapi permasalahan generasi muda kita. Lebih parah lagi, tanpa sedar kita berpolemik tak sudah-sudah.

Pada hemat saya, kita sebenarnya belum lagi seoptimanya menggunakan kekuatan dan kelebihan yang kita ada untuk menghadapi 'racauan' anak-anak muda kita. Lebih spesifik dalam lingkungan pengaruh sekolah, peranan kita sebagai guru yang menggantikan ibu dan bapa dalam menggilap gemerlapan watak setiap anak-anak didik harus 'dilihat kembali'.

Sejauh mana kita telah menyumbang kepada penyelesaian polemik 'racauan' anak-anak didik kita, mungkin persoalan yang terlalu tipikal sifatnya. Tidak semua anak-anak didik kita yang akan berjaya dalam akademik mereka. Tetapi bagi setiap watak anak-anak kita ini harus dibekalkan dengan perisian nilai dan akhlak yang universal tetapi komprehensif.

Kita berusahalah semaksimanya untuk memberikan pendidikan yang baik kepada anak-anak didik seperti mana kita mendidik anak sendiri, Marilah kita 'mewariskan peninggalan berharga' yang memungkinkan kita menjadi "manusia mati meninggalkan nama"

Selamat Hari Guru !

16 Mei setiap tahun adalah tarikh keramat bagi warga guru. Sudah menjadi lumrah manusia yang hanya tahu menghargai sesuatu setelah ketiadaan sesuatu itu. Sebagai warga pendidik, marilah kita bersama-sama menilai kembali peranan dan fungsi yang kita dukung selama ini.

Seorang kawan, Cikgu Chin Hector, menghantar sms kepada saya, "Good teacher explains, Better teacher demonstrates, Best teacher motivates and Great teacher inspires...for a Great teacher "Happy Teachers Day". Terima kasih smsnya, tetapi bersama sms ini juga mengundang sama pertangungjawaban yang bukan kepalang kepada kita untuk bersama memastikan kejayaan hasrat pendidikan.

"Anak-anak yang dilahirkan hari ini adalah lahir untuk hidup dalam zaman yang sama sekali berbeza dengan zaman kita". Sejauh mana kita telah berusaha dan menyumbang kepada persediaan generasi baru untuk menghadapi hari esok mereka. Kepada para guru, inilah antara tugas yang menanti kita.

Selamat Hari Guru kepada semua bekas guruku dimana sahaja mereka berada. Jasamu hanya Allah s.w.t. sahaja yang mampu membalasnya.

Selamat Hari Guru!

Salam Siber !

"Jika anda benar-benar pasti bahawa diri anda benar, anda tidak perlu bimbang atau risau apa dunia fikir tentang anda", demikian petikan kata-kata Napolean Hill. Sekurang-kurangnya pada diri saya, memanfaatkan laman blog seperti ini cukup mengujakan.

Mengapa blog ini dihasilkan bukan lagi menjadi pokok persoalan pada saya. Apa yang pasti usaha ini didorong oleh semangat ingin tahu yang tinggi, minat dan kecenderungan terhadap penguasaan dunia ICT dan laman maya menjadi jantung utama yang mendorong saya terkinja-kinja menghasilkan laman blog yang tidak sepertinya ini. Jauh disudut hati kecil saya, blog ini nantinya berupaya menjadi laman 'bertelinga' yang akan sentiasa mendengar leteran, rintahan malah luahan hati dan sanubari saya. Atau mungkin juga laman blog ini boleh menjadi 'halaman' untuk saya 'bermain' mengenang kembali masa kanak-kanak saya dahulu, guna mewariskan pengalaman 'zaman dhaif' itu untuk menjadi tatapan kepada anak-anak dan generasi muda.

Atau .......entah apa lagi! Blog ini boleh menjadi segalanya. Memilih untuk sekadar melihat, tidak menjanjikan apa-apa......, memilih untuk mempelajarinya.....mungkin menjanjikan sesuatu, atau memilih untuk mahir dan mempelajarinya.......sudah tentu menjadikan kita manusia yang mungkin 'berilmu' ......atau memilih untuk mengguna dan memanfaatkannya ......menjadikan kita manusia yang 'lebih baik daripada semalam' !........ Sekurang-kurangnya pada tahap ini, kita menggunakan semaksima mungkin kecanggihan teknologi untuk berdiskusi lewat di alam maya, disamping kita mencarilah 'mutiara' yang mungkin tersembunyi dibalik hamparan-hamparan siber ini.