Tuesday, March 2, 2010

Belon.....

Beberapa hari ini saya mencuri sedikit kesempatan untuk membaca buku Teknik Mendorong Pelajar Belajar..... tulisan Robert F. Mager. Sengaja membaca semula buku setebal 146 muka surat ini untuk memugar kembali idealisme dan profesionalisme saya sebagai seorang guru. Ibaratkan parang, jika sudah tumpul, asahlah kembali.....insya-Allah, parang itu akan tajam semula. Ulasan kandungan buku ini akan saya perincikan dalam kesempatan yang lain.
Saya tertarik untuk berkongsi kandungan bab 2, Mengapa Begini?. Untuk menjadikan diri kita sentiasa 'bertenaga' dalam erti kata tidak kehabisan modal dan idea menzahirkan rasa gembira dan ceria kita, sungguhpun kita tidak akan sunyi daripada pelbagai cabaran hidup. Robert F. Mager mengandaikan kita seperti belon. Untuk menghasilkan bentuk belon, sudah tentu kita perlu mengisikan angin pada belon berkenaan. Semakin banyak angin yang kita tiupkan ke dalam belon itu, maka semakin terserlahlah bentuk belon yang terhasil. Sebaliknya, jika angin keluar daripada belon berkenaan, maka belon itu akan kempis sehingga lama kelamaan bentuk belon itu tidak lagi terhasil.
Analogi Robert F. Mager ini sangat tepat untuk menggambar dan mendorong kita menjadi orang yang sentiasa bermanfaat kepada orang dan alam sekeliling kita. Jika kita memuji seseorang dengan ikhlas, orang tersebutnya tentunya akan berasa gembira. Rasa gembiranya itu menjadikan belonnya berkembang dan membesar. Semakin banyak pujian yang diterimanya, maka semakin besarlah belonnya yang terhasil. Sebaliknya, jika kita asyik mengutuk dan mengata seseorang, tentu sahaja orang yang kita kutuk itu akan berasa sedih, rendah diri malah mungkin akan berdendam dengan kita. Paling tidak pun, orang itu akan menjadi sukar bekerjasama dengan kita. Robert F. Mager menggambarkan situasi ini sebagai belon yang semakin mengempis. Semakin banyak kutukan dan umpatan yang diterima individu berkenaan, maka semakin kempislah belon dirinya. Bayangkan apa akan jadi pada belon yang sudah tiada angin!. Begitulah nasib belon orang yang sentiasa dipuji dan yang selalu kena kutuk!.
Demikian halnya diri kita yang suka memuji atau yang mengutuk orang!. Tanpa sedar, jika kita sering memuji orang lain, berterima kasih pada orang yang membantu kita, suka menolong orang dan pelbagai lagi perkara yang baik-baik, tentu sahaja belon diri kita juga akan turut membesar dan membesar. Semakin banyaklah kita buat perkara yang baik, maka semakin besarlah belon kita. Keperibadian baik kita akan terserlah akhirnya. Sebaliknya, jika kita asyik mengutuk dan menyalahkan orang lain!, hatta dalam hal yang melibatkan pengurusan diri kita sendiri, maka semakin mengecillah belon diri kita........dan lama kelamaan keperibadian kita juga akan rosak. Jelasnya, segala apa yang kita buat pada orang lain, juga akan memberi kesan pada diri kita sendiri.
Sebab itulah kita dianjurkan untuk sentiasa melakukan perkara dan perbuatan yang baik-baik. Jika bekerja, bekerja bersungguh-sungguh, jika membantu, membantu sungguh-sungguh.....kerana diri kita adalah ibarat cermin pada orang lain. Serba sedikit akan ada perkara yang ada pada diri kita, mungkin ditiru atau dicontohi oleh orang lain. Sekiranya kita sentiasa mempamerkan kualiti diri yang baik, 'biasan' perbuatan baik itu akan terpancar bukan sahaja pada diri kita, tetapi 'sirnanya' juga turut menyimbah orang lain!. Demikian juga sebaliknya!. Ayuh.....jadikan diri kita seperti belon yang sentiasa membesar dan berguna kepada orang lain. Jom.......heboh-heboh!

2 comments:

Anonymous said...

Salaam...

Tuan, sima tu apa? 'tempias'???

nice pic... :)

Rafi Harumin said...

Salaam..

Tuan.. sima tu apa? 'tempias' kah?

nice pic.. :)