Hari ini menghadiri Kursus Peningkatan Profesionalisme di Sekolah. Sungguhpun bahan dan pengisian adalah berupa pengulangan apa telah pernah dihadiri sebelum ini, namun secara positif, saya mengharap dan mendambakan 'sentuhan' baru. Manalah tau!. Tidak kisahlah....bagaimana nanti. Paling penting pada saya adalah peluang untuk kita 'meremajakan profesionalisme' adalah antara perkara yang tidak boleh dikesampingkan. Apatah lagi sekolah saya kini sudahpun diiktiraf sebagai Sekolah Bestari Luar Bandar. Kelihatannya banyak yang perlu saya lakukan menjelang tempoh peralihan. Tak taulah......
Saya terfikir sendiri, apa akhirnya semua program peningkatan profesionalisme seumpama ini. Program disusun demikian kemas dan terancang, pemilihan kandungan kursus yang tentunya ke arah memenuhi tuntutan dan keperluan 'organisasi'. Matlamat akhirnya, seperti yang tertera pada Kertas Kerja Program tentunya untuk melengkapkan staf atau tenaga penggerak dengan 'peralatan' atau 'kelengkapan' melangsaikan tugasan dilapangan sebenar. Murninya....hasrat yang terkandung dalam 'paper work'.
Setuju atau tidak, walau apapun kerjaya kita, sektor awam atau swasta, saya berani mengatakan bahawa kita tidak dapat lari daripada 'meremajakan' diri sendiri. Saya teringat, kata-kata seorang tokoh akademik, orang muda penuh dengan idealisme dan sangat bertenaga. Orang tua pula penuh dengan pengalaman tetapi kurang energetik. Kombinasi ini sebenarnya saling melengkapi. Orang muda yng kurang pengalaman tetapi penuh energetik dengan idealisme yang tentunya berciri futuristik. Generasi 'facebook' ini sebenarnya memerlukan bimbingan dan pedoman daripada orang lama. Orang lama pula harus lebih galak mencurahkan segala pengalaman mereka kepada generasi 'facebook' ini, tanpa......rasa penat dan jemu melakukanya. Hakikat bahawa gandingan dua generasi ini saling melengkapi harus dilihat dari perspektif positif dan konstruktif.
Bagaimana mungkin generasi 'facebook' mampu dan bersedia menghadapi hari-hari mendatang tanpa curahan pengalaman orang lama. Dalam masa yang sama orang lama mungkin hanya akan tinggal dalam lipatan sejarah sekiranya tiada 'pewarisan' kepada generasi penerus tamadun bangsa. Pada tahap inilah, pada hemat saya perlunya kita 'meremajakan diri'. Orang tua yang berpengalaman perlu meremajakan diri untuk bersedia menghadapi generasi facebook!. Orang muda yang memang sedia 'remaja' perlu sentiasa 'meremajakan diri' agar citra dan rasa dahagakan ilmu dan bimbingan orang tua sentiasa tersemat dalam pemikiran. Janganlah sehingga terfikir, saya generasi 'facebook', yang orang-orang tua sudah ketinggalan zaman, maka ianya menjadi 'dalil' menghalalkan apa sahaja pandangan dan tindakan mereka, tanpa perlu menoleh lagi kepada generasi lama!. Jangan......... Fikir-fikirkan!
No comments:
Post a Comment