Sunday, November 8, 2009

Cermin mata.....

Pagi ini terasa amat syahdu. Hujan yang turun dari awal pagi seakan faham dengan runtunan hati dan perasaan saya. Mungkin juga sudah agak lama tetesan hujan tidak menyirami kulit tanah dalam jangka waktu yang agak lama begini. Jam 12.08 tengah hari seakan suasana jam 7.00 pagi. Redup dan mendung yang memayungi bumi Semporna. Ahh…sangat melankolik rasanya pagi ini.

Duduk di gerai makan berhadapan Pejabat Perhutanan mencetuskan ‘rasa’ untuk saya menukilkan sesuatu. Tetapi tak tahu apa yang hendak diperkatakan. Pandangan saya menerobos kembali menjejaki hari-hari yang berlalu. Terasa amat cepatnya pergerakan masa. Hari ini tak lama lagi akan meninggalkan kita. Mata saya tiba-tiba tertumpu pada seorang anak kecil. Dalam keadaan basah kuyup, dengan rambut yang tidak terurus disirami butir-butir air hujan, singgah di meja makan sekumpulan lelaki dewasa. Pada rupa dan gaya mereka, kelihatannya adalah kelompok kontraktor yang sedang membincangkan hal perniagaan mereka agaknya. Lagi pula kenderaan yang mereka pakai adalah kereta besar dari jenama luar negara. Tentu mereka banyak duit dan hidup mewah.

Dari jauh saya memerhatikan apakah yang anak kecil ini hendak buat kepada kumpulan lelaki dewasa berkenaan. Telahan saya ternyata benar, anak kecil ini menadahkan sebelah tapak tangan untuk meminta sesuatu sambil tangan kirinya memberi isyarat ‘menyuap’ kepada kumpulan lelaki dewasa berkenaan. Dari riak wajahnya amat jelas anak kecil berkenaan meminta belas kasihan kelompok lelaki dewasa berkenaan untuk memberinya makanan. Alasannya hanya dia seorang sahajalah yang tahu.

Saya sendiri sering menghadapi dilema melihat babak kehidupan anak kecil itu, meminta-minta makanan dalam keadaan bumi ini sangat kaya dan luas penuh dengan segala macam benda yang boleh digunakan untuk mendapatkan makanan. Dilema….kerana terfikir adakah jika saya menolong dan memberinya duit atau makanan, akan menjadikannya ‘menghargai’ pemberian itu, lantas memberinya semangat untuk berusaha merubah kehidupannya, seterusnya…. menjadikan dirinya manusia yang mampu berdikari dan mampu berdiri atas kaki sendiri.

Atau lebih teruk dari itu, pemberian itu mungkin akan lebih menggalakkan nya untuk terus ‘meminta-minta’ daripada orang lain. Pemberian itu nanti, dibimbangi akan menjadikannya individu manusia yang malas, mati akal dan hilang punca. Makan minumnya pun mudah diperoleh dengan hanya menyorong tangan dan meminta belas ihsan orang lain. Saya membentak diri........ harus jelas bagaimana membantu dan menolong orang lain.
Ahhh......jangan beri duit, nanti dia gunakan duit itu untuk membeli rokok, syabu dan seumpamanya. Berilah dia makanan.......kalau benar dia tersangat lapar, harapnya dia akan lebih merasa dan menghargai nikmat makanan itu. Tapi......beri makan pun, tak baik juga...nanti dia akan menjadi malas dan tak berusaha!. Jadi........ tolong sahajalah dengan niat dan doa moga dia menjadi manusia yang baik!. Habis cerita......selebihnya.....saya sendiripun tak tahu. Hujan kini dah berhenti......

No comments: