Saturday, August 6, 2011

Merancang Perubahan..

Babak 1: Perubahan.

Seorang teman yang baru balik dari mengerjakan umrah menceritakan dan memperihalkan pengalaman semasa berada di sana. Antara topik yang sangat menarik perhatian adalah perihal pembangunan yang sedang memamah lanskap Kota Mekah keseluruhannya, khusus untuk pembinaan bangunan pencakar langit di sekeliling binaan Masjidil Haram. Bangunan tinggi tentunya menyediakan kemudahan kepada para jemaah dan tetamu Allah untuk selesa mengerjakan amal ibadat sepanjang berada di sana. Demikian juga pembinaan sistem pengangkutan awam, LRT apabila siap kelak bakal memberikan keselasaan berganda kepada para jemaah. Dikisahkan juga para dermawan di tanah suci Mekah yang menghantar sedekah jariah mereka bukan lagi mengangkut dengan lori tetapi mengangkut menggunakan trailer sehingga 5, 6 buah oleh setiap seorang dermawan. Unsur modenisme dimanfaatkan untuk memaknakan ritual beragama, tentu sahaja dengan niat menjadi lebih sempurna.


Walau sekadar cerita, saya terfikir sendiri....perubahan sesuatu yang tidak boleh dihalang dan dinafikan. Perubahan akan tetap berlaku dan menjamah sesiapa sahaja sama ada kita bersedia menerima kehadirannya atau tidak!. Di satu sudut ritual agama yang diamalkan tidak pernah menghalang kita daripada 'berakomodasi' dengan aplikasi moden dan memudahkan kehidupan manusia. Pada sudut kontradik, perubahan sewajarnya menghampirkan kita kepada unsur penambahbaikan, tanpa mengubah matlamat dan fungsi asal perkara yang diinovasikan!.

Babak 2 : Merancang.

Petang kelmarin sempat berbual-bual dengan saudara dan jemaah kariah kampung mengenai proses renovasi yang sedang dijalankan di surau kampung. Sebagaimana biasa, sebagai pengkritik bebas, banyak komen dan kritikan yang diberikan khususnya dalam hal pemilihan warna dan cat. Dari sudut artistik, pemilihan warna yang tepat tentunya menghamparkan pemandangan yang sejuk dan enak pada halwa mata. Natijahnya, mungkin kita boleh mengandaikan 'suasana' yang terpamer akan berharmoni dengan fungsi surau dan sekaligus sentiasa 'mengundang' para tetamu untuk berkunjung dan mengimarahkan fungsi surau berkenaan.

Namun soal kos memaksa keadaan untuk lebih realistik. Lantas, dimensi artistik yang dilemparkan terencat kerana upaya sebenar yang juga terhad. Maka dengan segala kekuatan yang dimiliki, perancangan perlu dibuat agar segala yang dilaksanakan kalaupun tidak seperti yang diharapkan, tetapi sekurang-kurangnya 'hampir' kepada apa yang dirancangkan. Maka dilaksanakanlah apa yang telah dirancang dan disepakati.

Walau sekadar cerita, saya terfikir sendiri.....perancangan adalah elemen penting yang juga tidak harus diambil mudah. Tanpa mengira situasi yang ada, perancangan perlu dilakukan. Andai 'berlebihan' perancangan itu akan mengelakkan pembaziran, dan andai 'kekurangan' perancangan itu akan memastikan ketepatan dan kecekapan!.

Babak 3 : Peleraian...

Terkait dengan cerita di babak 1 dan babak 2, agaknya beginilah resam kehidupan manusia. Saya bermonolog dengan urutan plot 'cerita' ini kerana keghairahan kita mengejar sesuatu dalam kehidupan kita akan cenderung mengalpakan kita daripada unsur merancang dan memilih perubahan. Dalam kita 'asyik' merancang perubahan itupun kadang-kadang ada perkara yang terlepas daripada pandangan kita, sekaligus 'menarik' semua perancangan perubahan yang direncanakan ke titik permulaan yang asal. Akhirnya, kita perasan sudah sampai ke garis penamat, tetapi tanpa sedar kita sebenarnya baru bermula!. Agaknya inilah 'harga' yang terpaksa kita bayar secara tunai, tanpa kita mengetahui berapakah kos sebenar plot cerita yang kita tekuni ini.

Saya memperteguh keyakinan, 'buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali'. Kalaupun kos itu tidak dapat kita jangkakan, namun 'niat betul dan baik' rasanya akan memberi diskaun dan potongan harga yang menarik yang kita tidak pernah terfikir sebelumnya. Benar begitu.....mungkin pada saya dan tak semestinya benar pada orang lain!. Let's think it!

( Kredit Foto : Lano Lan )

Posted using BlogPress from My iPad's

Location:Seri Ilham, Kg. Kabogan, Semporna

No comments: