Tuesday, March 23, 2010

Wednesday, March 10, 2010

Meremajakan Diri......

Hari ini menghadiri Kursus Peningkatan Profesionalisme di Sekolah. Sungguhpun bahan dan pengisian adalah berupa pengulangan apa telah pernah dihadiri sebelum ini, namun secara positif, saya mengharap dan mendambakan 'sentuhan' baru. Manalah tau!. Tidak kisahlah....bagaimana nanti. Paling penting pada saya adalah peluang untuk kita 'meremajakan profesionalisme' adalah antara perkara yang tidak boleh dikesampingkan. Apatah lagi sekolah saya kini sudahpun diiktiraf sebagai Sekolah Bestari Luar Bandar. Kelihatannya banyak yang perlu saya lakukan menjelang tempoh peralihan. Tak taulah......

Saya terfikir sendiri, apa akhirnya semua program peningkatan profesionalisme seumpama ini. Program disusun demikian kemas dan terancang, pemilihan kandungan kursus yang tentunya ke arah memenuhi tuntutan dan keperluan 'organisasi'. Matlamat akhirnya, seperti yang tertera pada Kertas Kerja Program tentunya untuk melengkapkan staf atau tenaga penggerak dengan 'peralatan' atau 'kelengkapan' melangsaikan tugasan dilapangan sebenar. Murninya....hasrat yang terkandung dalam 'paper work'.

Setuju atau tidak, walau apapun kerjaya kita, sektor awam atau swasta, saya berani mengatakan bahawa kita tidak dapat lari daripada 'meremajakan' diri sendiri. Saya teringat, kata-kata seorang tokoh akademik, orang muda penuh dengan idealisme dan sangat bertenaga. Orang tua pula penuh dengan pengalaman tetapi kurang energetik. Kombinasi ini sebenarnya saling melengkapi. Orang muda yng kurang pengalaman tetapi penuh energetik dengan idealisme yang tentunya berciri futuristik. Generasi 'facebook' ini sebenarnya memerlukan bimbingan dan pedoman daripada orang lama. Orang lama pula harus lebih galak mencurahkan segala pengalaman mereka kepada generasi 'facebook' ini, tanpa......rasa penat dan jemu melakukanya. Hakikat bahawa gandingan dua generasi ini saling melengkapi harus dilihat dari perspektif positif dan konstruktif.

Bagaimana mungkin generasi 'facebook' mampu dan bersedia menghadapi hari-hari mendatang tanpa curahan pengalaman orang lama. Dalam masa yang sama orang lama mungkin hanya akan tinggal dalam lipatan sejarah sekiranya tiada 'pewarisan' kepada generasi penerus tamadun bangsa. Pada tahap inilah, pada hemat saya perlunya kita 'meremajakan diri'. Orang tua yang berpengalaman perlu meremajakan diri untuk bersedia menghadapi generasi facebook!. Orang muda yang memang sedia 'remaja' perlu sentiasa 'meremajakan diri' agar citra dan rasa dahagakan ilmu dan bimbingan orang tua sentiasa tersemat dalam pemikiran. Janganlah sehingga terfikir, saya generasi 'facebook', yang orang-orang tua sudah ketinggalan zaman, maka ianya menjadi 'dalil' menghalalkan apa sahaja pandangan dan tindakan mereka, tanpa perlu menoleh lagi kepada generasi lama!. Jangan......... Fikir-fikirkan!

Wednesday, March 3, 2010

Punca.......

Menghisab kembali tempoh perkhidmatan saya sebagai seorang guru, agaknya banyak suka duka yang pernah saya tempuhi. Bukanlah berniat untuk membicarakannnya disini.... tetapi kelihatan perlu untuk saya menilai kembali apa yang telah saya lakukan dalam tempoh itu. Memang tidak sedar pergerakan masa. Minggu lepas semasa melawat anak, saya memeluk erat dan lama anak sulung saya yang baru 2 bulan lebih memasuki alam persekolahan sekolah menengah. Ahhh.......terasa benar ketiadaan kakak Anis di rumah. Tapi tak apalah......
Dalam proses menghisab diri ini, saya teringat bekas pelajar saya yang kebetulan terserempak semasa 'lepak' di sebuah restoran di Sinsuran, Kota Kinabalu. Pelajar saya ini adalah antara generasi awal yang saya ajar di awal profesion saya ini. Tidak dinafikan semangat pada masa itu sememangnya cukup tinggi. Kem Bina Semangat yang pernah kami anjurkan pada masa itu adalah antara catatan dan ingatan yang tidak pernah padam daripada memori bekas pelajar saya ini, dia kata dan bukan saya!. Kini bekas pelajar saya itu telahpun bekerja di salah sebuah Jabatan Kerajaan di Kota Kinabalu, dan tak sudah-sudah menzahirkan rasa terima kasihnya atas apa yang telah beliau perolehi daripada kami, bekas guru-gurunya.
Pernah juga suatu ketika, saya merasa amat kesal apabila mengenangkan nasib seorang bekas pelajar saya yang terpaksa berhenti sekolah kerana masalah kewangan, keluarga dan tempat tinggal. Saya kesal kerana pelajar berkenaan pernah memohon untuk menumpang dan tinggal dengan saya, tetapi kerana sebab peribadi saya terpaksa menolak permohonannya. Secara kebetulannya, memang telah ada 3 orang pelajar yang tinggal dengan saya, yang pada masa itu. Mungkin......!, jika pelajar ini saya terima untuk tinggal, agaknya nasib berbeza pada hari ini. Agaknya.....apalah yang dia akan kata tentang saya. Ahhhh......bagaimana saya harus menebus semua ralat dan kesilapan lalu. Tak mungkin berulang lagi!. Kini, azam saya untuk menyusun kembali perspektif saya melihat pelajar, profesion dan dunia pembinan modal insan ini. Sekurang-kurang ada inisiatif untuk mengubah sejarah lampau dan mereka satu model baru yang menjadi kerangka utama 'menghadapi' semua ini.
Demikianlah kisahnya jika kita menjadi sumber atau punca 'pengalaman' yang baik atau yang tidak baik, yang telah diperolehi. Perjalanan hari-hari mendatang, ingin saya lalui dengan menjadikan diri saya, sumber atau punca 'pengalaman' yang baik......bukan untuk pelajar sahaja, tetapi juga untuk sesiapa yang berurusan dengan saya. Agaknya....demikianlah jika terkesan 'punca' kepada apa sahaja perkara, tak taulah...... Kepada-Nya sahajalah aku berserah!

Tuesday, March 2, 2010

Belon.....

Beberapa hari ini saya mencuri sedikit kesempatan untuk membaca buku Teknik Mendorong Pelajar Belajar..... tulisan Robert F. Mager. Sengaja membaca semula buku setebal 146 muka surat ini untuk memugar kembali idealisme dan profesionalisme saya sebagai seorang guru. Ibaratkan parang, jika sudah tumpul, asahlah kembali.....insya-Allah, parang itu akan tajam semula. Ulasan kandungan buku ini akan saya perincikan dalam kesempatan yang lain.
Saya tertarik untuk berkongsi kandungan bab 2, Mengapa Begini?. Untuk menjadikan diri kita sentiasa 'bertenaga' dalam erti kata tidak kehabisan modal dan idea menzahirkan rasa gembira dan ceria kita, sungguhpun kita tidak akan sunyi daripada pelbagai cabaran hidup. Robert F. Mager mengandaikan kita seperti belon. Untuk menghasilkan bentuk belon, sudah tentu kita perlu mengisikan angin pada belon berkenaan. Semakin banyak angin yang kita tiupkan ke dalam belon itu, maka semakin terserlahlah bentuk belon yang terhasil. Sebaliknya, jika angin keluar daripada belon berkenaan, maka belon itu akan kempis sehingga lama kelamaan bentuk belon itu tidak lagi terhasil.
Analogi Robert F. Mager ini sangat tepat untuk menggambar dan mendorong kita menjadi orang yang sentiasa bermanfaat kepada orang dan alam sekeliling kita. Jika kita memuji seseorang dengan ikhlas, orang tersebutnya tentunya akan berasa gembira. Rasa gembiranya itu menjadikan belonnya berkembang dan membesar. Semakin banyak pujian yang diterimanya, maka semakin besarlah belonnya yang terhasil. Sebaliknya, jika kita asyik mengutuk dan mengata seseorang, tentu sahaja orang yang kita kutuk itu akan berasa sedih, rendah diri malah mungkin akan berdendam dengan kita. Paling tidak pun, orang itu akan menjadi sukar bekerjasama dengan kita. Robert F. Mager menggambarkan situasi ini sebagai belon yang semakin mengempis. Semakin banyak kutukan dan umpatan yang diterima individu berkenaan, maka semakin kempislah belon dirinya. Bayangkan apa akan jadi pada belon yang sudah tiada angin!. Begitulah nasib belon orang yang sentiasa dipuji dan yang selalu kena kutuk!.
Demikian halnya diri kita yang suka memuji atau yang mengutuk orang!. Tanpa sedar, jika kita sering memuji orang lain, berterima kasih pada orang yang membantu kita, suka menolong orang dan pelbagai lagi perkara yang baik-baik, tentu sahaja belon diri kita juga akan turut membesar dan membesar. Semakin banyaklah kita buat perkara yang baik, maka semakin besarlah belon kita. Keperibadian baik kita akan terserlah akhirnya. Sebaliknya, jika kita asyik mengutuk dan menyalahkan orang lain!, hatta dalam hal yang melibatkan pengurusan diri kita sendiri, maka semakin mengecillah belon diri kita........dan lama kelamaan keperibadian kita juga akan rosak. Jelasnya, segala apa yang kita buat pada orang lain, juga akan memberi kesan pada diri kita sendiri.
Sebab itulah kita dianjurkan untuk sentiasa melakukan perkara dan perbuatan yang baik-baik. Jika bekerja, bekerja bersungguh-sungguh, jika membantu, membantu sungguh-sungguh.....kerana diri kita adalah ibarat cermin pada orang lain. Serba sedikit akan ada perkara yang ada pada diri kita, mungkin ditiru atau dicontohi oleh orang lain. Sekiranya kita sentiasa mempamerkan kualiti diri yang baik, 'biasan' perbuatan baik itu akan terpancar bukan sahaja pada diri kita, tetapi 'sirnanya' juga turut menyimbah orang lain!. Demikian juga sebaliknya!. Ayuh.....jadikan diri kita seperti belon yang sentiasa membesar dan berguna kepada orang lain. Jom.......heboh-heboh!