Tuesday, December 28, 2010

The Next Three Days....

Meniti hari-hari akhir tahun 2010 tentu sahaja mengundang kita untuk menghisab perjalanan kehidupan sepanjang 365 hari yang bakal berlalu. Mahu atau tidak, kita harus menyediakan ruang ‘berfikir’…..mentaakul setiap inci kehidupan kita, tentu sahaja dengan niat baik, ‘memperbaiki’ apa sahaja. Pada hemat saya, usah kita terlalu sinistik dan skeptikal menanggapi peralihan tahun sebegini.

Menghisab diri bukan sahaja untuk mengukur saiz kejayaan dan kegagalan yang kita capai sepanjang tahun semata-mata. Bukan juga untuk mencari kelemahan, jauh sekali memilih untuk menyesali setiap detik yang pernah kita lalui. Insan yang berjiwa dinamik, tentu sahaja akan menjadikan detik peralihan tahun ini sebagai titik penanda kepada banyak perkara.

Pada ketika seumpama inilah, kelihatannya sangat signifikan untuk kita menilai diri kita, keluarga kita, kerjaya kita, hubungan dengan teman-teman kita, hubungan kita dengan sekeliling dan hubungan kita dengan tuhan!. Tetapi…..harus diingat, penilaian itu sepatutnya menggunakan sudut pandang positif, agar setiap keputusan yang kita pilih tidak cenderung menerbitkan kerosakan pada diri kita apatah lagi kepada orang lain.

Sering bersarang dalam pemikiran saya, mengapa manusia berkecenderungan tidak pernah cukup dan puas dengan apa yang ada, khususnya dalam soal pemilikan harta, pangkat dan seumpamanya. Tetapi kelihatan amat ‘berkira’ dalam membuat kebaikan dan kebajikan. Mungkin nada pendapat saya ini kelihatan pesimistik!. Tetapi hakikat yang tidak dapat dinafikan…..dikala kita laju berlari ‘melakar’ kejayaan dan mencipta kecemerlangan, jangan lupa pada setiap ‘butir’ kegagalan yang pernah kita ukirkan pada mana-mana bahagian kehidupan kita.

Saya teguh meyakini bahawa catatan kegagalan yang pernah kita capai adalah ‘batu loncatan’ yang teguh dan tegap… ‘mengajar’ kita bagaimana untuk berjaya. Lantas, amat wajar…….untuk kita tidak terlalu merasa ‘rendah diri’. Bukan situasi yang janggal apabila seseorang berbangga kerana berjaya dalam apa-apa lapangan sekalipun. Tetapi tentu kebanyakkan kita merasa pelik dan heran, apabila kita menzahirkan rasa berbangga kita kerana berjaya mencapai ‘kegagalan’. Kelihatan lucu……

Kegagalan juga……adalah pengalaman yang cukup mendewasakan!. Lantas, pada hemat saya, disamping kita meraikan ‘kejayaan’ yang kita capai, jangan lupa ‘meraikan sama’ rentetan kegagalan yang telah ‘memanusiakan’ kita. Sudah tiba ketikanya…..untuk kita memberikan definisi yang ‘luas dan lapang’ tentang makna kejayaan dan kegagalan. Lainlah halnya……jika kegagalan yang kita alami itu adalah kerana kegagalan yang dirancang lantaran tiada perancangan!.

Saya mencari detik…..untuk membuat perhitungan dan penghisaban akhir sebelum berakhirnya sinaran cahaya mentari tahun 2010. Cahaya yang menyimbah kehidupan kita…….tentunya tidak berlalu begitu sahaja, tanpa tujuan dan cita-cita, sama seperti berlalunya kelam malam tanpa beribu persoalan yang melingkari setiap mimpi dalam kegelapan. Ayuh…..kita melihatnya bukan dengan mata sahaja…………..

- Posted using BlogPress from my iPad

Monday, December 27, 2010

Teman sejati......

Pada ketika catatan ini saya nukilkan, seperti sukar untuk saya menemukan bait-bait yang berupaya menzahirkan rasa hati........pentaakulan saya terhadap beberapa peristiwa besar yang saya alami beberapa hari lalu. Berbantukan My iPad yang cukup 'cerdik' saya menggelongsorkan jari jemari mencari-cari sesuatu di alam maya. Pada mulanya......saya tergerak menelusuri facebook anak-anak. Saya menemui video clip Maher Zain - Insya Allah dalam fb anak.
Sambil mendengar alunan suara Maher Zain dengan susunan muzik yang syahdu, saya terfikir meneruskan 'perjalanan' menjejaki teman-teman, dan saya temui beberapa sahabat lama yang sememangnya saya cari-cari. Dari perbualan mereka lewat laman-laman sosial, saya sedikit merasa terusik betapa teman-teman, juga dalam kembara kehidupan masing-masing......menzahirkan keinginan, kerinduan dan ingatan yang berkekalan terhadap diri kita.

Saya terfikir sendiri.....betapa mahalnya nilai persahabatan. Tidak terbanding dengan nilaian wang ringgit dan harta benda semata-mata. Sesungguhnya pertemuan yang terjadi dalam reunion hari khamis yang baru lalu menyebabkan saya memacak keazaman baru untuk mempertautkan kembali hubungan dengan teman-teman lama. Betapa mempunyai teman-teman yang ramai apatah lagi dengan ingatan yang tak pernah padam terhadap persahabatan yang pernah terjalin, merupakan 'kenikmatan' yang luar biasa.

Mana tidaknya, dalam kealpaan kita meneruskan kembara kehidupan, ada teman-teman yang merindui kita. Ada teman-teman yang mengingati kita. Tentu sahaja ingatan itu tidak dizahirkan andai kita bukan teman yang sesuai untuk diingati. Rasanya, tidak memerlukan indeks dan skala yang tertentu bagaimana untuk menjadi teman sejati yang diingati. Kita sendirilah yang rasanya terlebih dahulu mesti menjadi teman sejati. Bukan menjadi teman dikala ada keperluan sahaja, tetapi seperti tidak kenal apabila tiada keperluan!.

Saya tidak berniat untuk memperincikan bagaimana untuk menjadi teman sejati.......kerana ianya terlalu subjektif untuk diukur!. NBoldamun, percayalah....menjadi teman sejati hanya memerlukan penghayatan nilai-nilai sarwajagat. Sifir mudah harus digunakan, "Jangan kira apa yang orang beri kepada kita, tetapi perhitungkanlah yang telah kita beri pada orang lain!". Insya Allah, takkan lari gunung dikejar!.

Saya merasa amat bertuah kerana mempunyai ramai teman-teman yang selalu mengingati saya. Mungkin nada bahasa saya agak nostalgik. Tetapi rasanya tidak keterlaluan untuk saya menyatakan 'kegembiraan' kerana dikelilingi teman-teman yang sejati itu!. Ayuh....kita jaga hubungan dengan teman-teman!. Terima kasih kepada guru-guruku dan teman-temanku!.

- Posted using BlogPress from my iPad

Location: Seri Ilham, Kg. Kabogan, Semporna

Reunion di Table...








Kesinambungan daripada aktiviti pada hari khamis yang baru lalu, disusuli dengan pengisian aktiviti lawatan ke Pulau Sibuan, Semporna. Tetapi saya tidak menyertai aktiviti berkenaan kerana mempunyai komitmen awal.

Pada hari ketiga, sabtu, 25 Disember, reunion berpindah lokasi ke Taman Bukit Tawau, atau lebih dikenali 'Table' dikalangan masyarakat setempat. Sungguhpun tidak ramai yang dapat menyertai lantaran komitmen masing-masing, namun kesempatan ini....sukar untuk 'dilepaskan'. Pertemuan di Table ini bukan sahaja mengeratkan semula hubungan dengan guru-guru dan teman-teman bekas pelajar tingkatan 6, malah....membangkit nostalgia silam.........

Reunion di Seri Ilham...











Semalam adalah antara hari-hari yang mengembirakan dalam kehidupan saya sepanjang tahun 2010. Pertemuan semalam berlalu dengan detik yang sentimental dan nostalgik. Pertemuan bersama rakan-rakan .....sekelas..... diadakan di teratak saya!. Tawa riang menyulami pertemuan dengan pelbagai cerita masing-masing. Paling lucu apabila mengimbau kembali kenangan lama...sungguhpun ada yang mengusik rasa hati !. Semuanya tinggal kenangan.....

- Posted using BlogPress from my iPad

Location:Seri Ilham, Kg. Kabogan, Semporna

Thursday, December 23, 2010

Reunion Ex-form 6







Ketika ini sedang duduk bersama teman-teman ex-tingkatan 6. Antara yang hadir Roli aliman dan isteri megawatt, Merinisa yang datang dari KL, Soaibah, Alani....

Pertemuan ini tentunya sangat bermakna..... Gambar-gambar akan upload kemudian....



- Posted using BlogPress from my iPad

Location:Semporna,Malaysia

Monday, December 20, 2010

Penultimate & Pogo sketch...!




Do you believe me?. You can sketch handwriting notes like this with iPad.... What else you need? Everything iPad have solution...... except......how you can have it!
- Posted using BlogPress from my iPad

Location:Kota Kinabalu,Malaysia

Amazing....iPad !




Sepanjang Tiga hari kebelakangan ini, saya asyik 'bercanda' dan 'memadu kasih' dengan kekasih baru, iPad!. Pertemuan dengan sifu kelmarin sememangnya 'ditunggu-tunggu' umpama bulan jatuh ke riba.

Percubaan menggunakan perisian pelantar ini adalah antara yang dipelajari daripada 'pertapaan' semalam. Sememangnya amat mudah dan mengasyikkan!. Apa lagi bila mendapat stylus Pogo sketch percuma!.

iPad ini sememangnya menghamparkan Eksplorasi Minda Menerobos Suria!. Cuba jangan tak cuba!. ...........


- Posted using BlogPress from my iPad

Location:Kota Kinabalu,Malaysia

Sunday, December 5, 2010

Mesilau, Kipungit......

Jom.... Jalan-jalan ke Mesilau Nature Resort dan mandi-manda di Air Terjun Kipungit, Poring, Ranau.






Kiram's Village..!






Percutian bersama keluarga besar kami bersambung di kaki banjaran Crocker yang dilatari kegagahan gunung Kinabalu. Kami menginap di Kiram's Village, Kundasang dengan menyewa Chalet Strawberry Cabin. Cuaca sejuk bersulamkan siraman hujan pagi di Kundasang cukup mencabar, apatah lagi dalam keletihan perjalanan dari Sandakan yang masih terasa 'mendorong' kami ini duduk dalam cabin sahaja. Begitupun, cuaca ini tidak mampu menghalang anak-anak saya dan sepupu-sepupu mereka mempamerkan 'aksi hiruk-pikuk'. Gamat suasana jadinya melihat karenah mereka.

Paling lucu melihat telatah mereka yang mandi di pagi hari dalam cuaca sejuk begini. Apapun...terasa puas melihat mereka 'seronok' begini.

Saturday, December 4, 2010

Maal Hijrah....


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

Revisit Sandakan!






Perjalanan mengunjungi Sandakan yang dijamah banyak perubahan. Setelah sekian lama tidak melawat ke sini, menyebabkan saya agak keliru dan sukar memandu menelusuri jalan-jalan disini. Bandar Indah yang nampaknya merupakan kawasan berimpak tinggi dijamah pembangunan pesat.
Kami menginap di Grand Hotel Sandakan di Bandar Indah. Keseronokan anak-anak yang gembira apa lagi percutian kali ini bersama dengan sepupu-sepupu mereka. Hiruk-pikuk hotel jadinya. Jadual telah ditetapkan dengan aktiviti pertama berkunjung semula ke Sepilok setelah lama tidak ke sana. Agaknya banyak juga perubahan yang berlaku!. Sememangnya .... ya!

Tuesday, November 30, 2010

Ah..ha....

November itu pergi.......

Bulan November berlalu pergi. Sebagaimana nada dan lenggok bahasa pujangga, tentu sahaja november 2010 ini berlalu dan tak akan kembali..... walau bagaimana sekalipun kita ingin mengembalikannya. Perginya....tentu sahaja memalitkan pelbagai peristiwa yang sarat dengan seribu satu kisah dan tafsiran.

Acapkali kita mendengar pelbagai celoteh daripada teman-teman dan sebagainya yang memperihalkan begitu cepatnya masa berlalu. Demikian berbeza 'pergerakan masa' itu dirasakan amat perlahan semasa kita masih di alam kanak-kanak dan zaman persekolahan. Dahulu terasa amatlah lamanya untuk menghabiskan tempoh setahun. Kini.....november berlalu, tetapi masih terasa seolah-olah baru semalam januari 2010 menjengah kita, dan kini menanti hitungan 31 hari untuk menutup episod 2010 menjadi lipatan sejarah.

Lantas, bagaimanakah kita menghadapi fenomena ini. Tanpa terlalu gusar dengan apa yang telah berlalu, dan tidak juga terlalu misteri untuk mendepani hari-hari mendatang, selayaknya kita lebih dewasa menghadapi hari mendatang. Selayaknya.......kerana sekurang-kurangnya kita telah mencuba yang terbaik mampu kita lakukan sepanjang tahun 2010 ini. Tunjukkan saya..... manusia yang tidak terlepas daripada melakukan kesilapan dan menempuh kegagalan. Ciri yang amat pasti dimiliki oleh setiap manusia pasca-Muhammad s.a.w.

Saya zahirkan coretan pendapat ini kerana ada insan yang meluahkan rasa hati.... bagaimana untuk menikmati kepuasan berkerjaya, jika asyik mengajar 'kelas hujung' yang anak muridnya adalah dari kalangan yang tidak mengenal huruf, jauh sekali menguasai kemahiran 3M sebagaimana anak murid biasa!. Secara berseloroh saya sepontan menjawab, "Cikgu berhadapan dengan anak murid yang tidak mengenal huruf inipun sebenarnya adalah satu bentuk kepuasan berkerjaya. Disitulah nikmatnya menjadi seorang guru".

Sebagai seorang guru, tentu sahaja tidak wajar untuk kita asyik berasa bersalah atas apa yang telah kita lakukan kepada anak murid kita. Saya tegaskan kepada rakan sekerjaya ini bahawa kita terperangkap oleh definisi kepuasan berkerjaya versi lama. Dahulu, kebanyakkan kita, malah membarah sehingga kepada masyarakat sivil berpersepsi bahawa seorang guru itu hanya dikira hebat apabila dia berjaya 'meluluskan' anak muridnya dalam peperiksaan awam yang didudukinya, tanpa kompromi!. Indikator utamanya adalah lulus peperiksaan!.

Kini, realitinya sudah jauh berbeza. Sungguhpun kemajuan teknologi telah mencetuskan pelbagai penemuan yang inovatif untuk meningkatkan keberkesanan proses 'memanusiakan' anak-anak murid, namun sumber manusia yang ada kelihatan tidak seiringan dengan perkembangan pesat dunia masa kini. Oleh itu, kejayaan kita mengisi nilai dan perspektif alternatif kepada seseorang murid juga seharusnya "dianggap" sebagai kepuasan berkerjaya. Tidak ramai kalangan kita yang melihat 'dimensi berbeza' sebagai satu bentuk kepuasan berkerjaya!.

Lantas, usah berjiwa kerdil!. Pada hemat saya, adalah lebih hebat jika kita berupaya menjelmakan anak murid yang mempunyai dukungan nilai dan perspektif yang segar, berbanding kejayaan menyediakan anak murid hanya untuk lulus peperiksaan!. Tentu sahaja kombinasi keduanya adalah jauh lebih baik. Wajar kita mengenang kisah lalu, untuk menentukan hala tuju baru hari esok!. Tetapi sangat tidak wajar untuk kita terus berjiwa kerdil 'menangisi' setiap inci ketidak-sempurnaan yang telah kita tinggalkan.......

Aku bangga menjadi seorang guru!. November 2011 tetap akan muncul semula......jika kita bersandar kepada realiti kita sebagai manusia biasa. Esok masih ada....untuk sesiapa sahaja yang ingin menjayakan hidupnya!.