Pada ketika catatan ini saya nukilkan, seperti sukar untuk saya menemukan bait-bait yang berupaya menzahirkan rasa hati........pentaakulan saya terhadap beberapa peristiwa besar yang saya alami beberapa hari lalu. Berbantukan My iPad yang cukup 'cerdik' saya menggelongsorkan jari jemari mencari-cari sesuatu di alam maya. Pada mulanya......saya tergerak menelusuri facebook anak-anak. Saya menemui video clip Maher Zain - Insya Allah dalam fb anak.
Sambil mendengar alunan suara Maher Zain dengan susunan muzik yang syahdu, saya terfikir meneruskan 'perjalanan' menjejaki teman-teman, dan saya temui beberapa sahabat lama yang sememangnya saya cari-cari. Dari perbualan mereka lewat laman-laman sosial, saya sedikit merasa terusik betapa teman-teman, juga dalam kembara kehidupan masing-masing......menzahirkan keinginan, kerinduan dan ingatan yang berkekalan terhadap diri kita.
Saya terfikir sendiri.....betapa mahalnya nilai persahabatan. Tidak terbanding dengan nilaian wang ringgit dan harta benda semata-mata. Sesungguhnya pertemuan yang terjadi dalam reunion hari khamis yang baru lalu menyebabkan saya memacak keazaman baru untuk mempertautkan kembali hubungan dengan teman-teman lama. Betapa mempunyai teman-teman yang ramai apatah lagi dengan ingatan yang tak pernah padam terhadap persahabatan yang pernah terjalin, merupakan 'kenikmatan' yang luar biasa.
Mana tidaknya, dalam kealpaan kita meneruskan kembara kehidupan, ada teman-teman yang merindui kita. Ada teman-teman yang mengingati kita. Tentu sahaja ingatan itu tidak dizahirkan andai kita bukan teman yang sesuai untuk diingati. Rasanya, tidak memerlukan indeks dan skala yang tertentu bagaimana untuk menjadi teman sejati yang diingati. Kita sendirilah yang rasanya terlebih dahulu mesti menjadi teman sejati. Bukan menjadi teman dikala ada keperluan sahaja, tetapi seperti tidak kenal apabila tiada keperluan!.
Saya tidak berniat untuk memperincikan bagaimana untuk menjadi teman sejati.......kerana ianya terlalu subjektif untuk diukur!. Namun, percayalah....menjadi teman sejati hanya memerlukan penghayatan nilai-nilai sarwajagat. Sifir mudah harus digunakan, "Jangan kira apa yang orang beri kepada kita, tetapi perhitungkanlah yang telah kita beri pada orang lain!". Insya Allah, takkan lari gunung dikejar!.
Saya merasa amat bertuah kerana mempunyai ramai teman-teman yang selalu mengingati saya. Mungkin nada bahasa saya agak nostalgik. Tetapi rasanya tidak keterlaluan untuk saya menyatakan 'kegembiraan' kerana dikelilingi teman-teman yang sejati itu!. Ayuh....kita jaga hubungan dengan teman-teman!. Terima kasih kepada guru-guruku dan teman-temanku!.
- Posted using BlogPress from my iPad
Location: Seri Ilham, Kg. Kabogan, Semporna
No comments:
Post a Comment